Wednesday, May 30, 2018

4492) PRESMA, PPIM HIDUPKAN RAMADAN DENGAN KUKUHKAN SILATURAHIM – PPIM – 29/5/18

Presma,PPIM semarakkan semangat ukhuwah, kebajikan pada Majlis Iftar
KUALA LUMPUR 29 Mei - Sebagai satu usaha untuk menyebarkan ibrah (pengajaran) Ramadan, Persatuan Pengusaha Restoran Makanan Muslim Malaysia (Presma) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menganjurkan satu majlis iftar untuk meraikan bukan sahaja golongan yang memerlukan tetapi juga jalinan persahabatan dan kerjasama yang dibentuk antara kedua belah pihak.
Menurut Presiden Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub, majlis iftar yang diadakan pada Selasa diadakan sebagai simbolik kepada kerjasama baharu yang bakal diadakan kedua-dua pertubuhan selain meraikan ukhuwah yang telah dibina sejak 20 tahun dahulu.









Jelas beliau, ke hadapan daripada ini kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada usaha keusahawanan bagi membangunkan serta memperkukuhkan tahap ekonomi ahli-ahli mereka.
“Bagi kami, majlis iftar pada kali ini bukan majlis berbuka puasa yang biasa kerana acara ini menjadi tanda aras kepada komitmen kedua-dua persatuan untuk memperkukuhkan lagi jalinan persahabatan dan menterjemahkannya dalam bentuk pemantapan ekonomi ahli-ahli yang dinaungi.



“Dengan meraikan mereka yang memerlukan pada majlis ini, kami berharap untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa kedua-dua pertubuhan ini mampu membawa kebaikan bukan sahaja dalam bentuk kebajikan kepada khalayak tetapi juga pengukuhan ekonomi ummah secara khusus,” kata beliau kepada media pada sidang akhbar yang diadakan sempena majlis berkenaan. 





Ayoob turut memaklumkan, untuk menjayakan kerjasama tersebut, ahli-ahli Presma juga telah mendaftarkan diri sebagai ahli Gerakan Tunai Zakat (GTZ) yang yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) yang dijalankan oleh PPIM.
SPPZ adalah kempen Penggalakan pembayaran zakat oleh peniaga Islam yang dikelolakan secara kerjasama antara PPIM dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pelancaran kempen berkenaan telah diadakan pada majlis iftar yang berlangsung di masjid Ar rahah yang mana acara tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi PPZ MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadil.


Mengenai kempen berkenaan, Che Mat memberitahu wartawan, gerakan tersebut merupakan satu usaha proaktif bagi menggalakkan lebih ramai peniaga Islam untuk mengeluarkan zakat dengan PPZ MAIWP.
Katanya kepada pemberita, penting bagi para peniaga Islam berurusan dengan pihaknya dalam urusan zakat kerana langkah itu dapat membantu mereka memastikan wang yang diinfak akan dapat diagihkan dengan baik kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Selain itu, dengan terlaksananya kempen SPPZ ini, mereka juga akan dapat meraih kebaikan lain seperti nasihat niaga serta latihan yang dibawakan di bawah GTZ,” jelas beliau.




Menyentuh perkara sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim berkata, sekiranya para peniaga sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pembayar zakat secara tidak langsung dapat mewujudkan satu masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain terutamanya kepada golongan asnaf.
“Kempen yang jalankan bersama PPZ-MAIWP ini sebagai satu langkah permulaan yang baik untuk mengubah ekonomi ummah supaya lebih cemerlang.
“PPIM berharap kempen SPPZ ini akan mendapat sambutan dan juga kerjasama diseluruh negeri Malaysia,” katanya.Turut berlangsung pada majlis iftar tersebut, majlis penyampaian bantuan pelajaran yang disumbangkan oleh Persatuan CHHA Yong Fay Choon Kuan Selangor dan Wilayah Persekutuan (atau lebih dikenali sebagai Persatuan Hakka) kepada tiga mahasiswa Universiti awam yang dipilih dari dalam kalangan anak-anak ahli PPIM.



Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Persatuan Hakka, T.S Wong berkata, bantuan berjumlah RM1,000 setiap seorang tersebut merupakan pemberian ihsan bagi membantu para siswazah yang terpilih meringankan beban kos sara hidup dan pembelajaran mereka.
Beliau yang juga Ketua Biro Siasatan persatuan tersebut menjelaskan, selain itu, pemberian bantuan berjumlah RM1,000 berkenaan adalah sebagai satu tanda persahabatan yang telah terjalin antara pihaknya dan PPIM.
“Pihak kami merasakan tiada cara yang lebih untuk meraikan persahabatan yang terjalin selain daripada berbuat kebajikan seperti pemberian bantuan ini.

“Kami berharap kerjasama yang dijalankan ini akan berkembang menjadi program kebajikan yang lebih besar dan mencapai lebih banyak golongan yang memerlukan,” jelas beliau.
Seramai lebih 1,200 jemputan telah hadir bagi memeriahkan majlis iftar yang julung kali diadakan tersebut.
Daripada jumlah itu, telah memilih 200 orang anak-anak yatim kurang upaya dan ibu tunggal untuk diberikan bantuan berbentuk barangan keperluan harian bernilai RM200 setiap seorang.
Berbeza dengan Majlis Berbuka puasa yang lain kesemua yang menerima bantuan tersebut turut diberikan layanan sebagai orang kenamaan (VIP) sebagai tanda penghargaan dan penghormatan buat mereka. – UNIT MEDIA PPIM

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...