Friday, May 11, 2018

4470) DATUK TIPU AKU – HARIAN METRO – 11/5/18



Kuala Lumpur: Perancangan seorang kakitangan kanan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) melebarkan perniagaan lebur apabila mendakwa ditipu lelaki bergelar Datuk menyebabkan dia kini menanggung hutang pembiayaan kenderaan berjumlah hampir RM1 juta.
Lelaki itu mendakwa butiran peribadi dirinya digunakan Datuk berkenaan bagi membuat pembelian tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Namun, berikutan kegagalan menjelaskan bayaran, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Arshad, 55, tahun kini berdepan risiko diisytihar muflis.
Menceritakan pengalamannya, Arshad berkata, dia berjumpa Datuk berkenaan selepas diperkenalkan seorang rakan, awal tahun lalu bagi membincangkan tawaran menjadi rakan kongsi perniagaan kurma hibrid.
“Saya tertarik kerana perniagaan itu dikatakan mampu membawa pulangan lumayan. Selepas pertemuan itu, Datuk berkenaan datang ke rumah saya untuk berbincang dengan lebih lanjut.
“Hasilnya kami setuju untuk menamakan anak saya sebagai antara ahli lembaga pengarah syarikat. Tidak lama kemudian, Datuk berkenaan meminta saya menyerahkan butiran diri bagi pembelian tiga MPV berkenaan, katanya adalah untuk kegunaan syarikat.
“Tanpa pengetahuan saya, dia membuat salinan slip gaji dan tidak menyerahkan semula dokumen asal kepada saya,” katanya yang ditemui ketika membuat aduan kepada aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Syed Kamarul Al Mahsyur di sini, baru-baru ini.
Arshad berkata, sebaik dihubungi pihak bank, dia kemudian menandatangani perjanjian jual beli kerana memikirkan ia akan menjadi aset syarikat dan Datuk berkenaan berjanji untuk membuat bayaran penuh dalam tempoh enam bulan.
“Selepas tiga bulan, saya dimaklumkan bank ada ansuran tertunggak untuk ketiga-tiga MPV itu dan saya perlu bertanggungjawab kerana pinjaman dibuat atas nama saya.
“Usaha menghubungi Datuk berkenaan pula gagal dan saya diberitahu kakitangan syarikat bahawa MPV dibeli dijadikan kereta sewa,” katanya.
Sementara itu, Syed Kamarul berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan ke Bank Negara Malaysia serta polis untuk tindakan lanjut kerana siasatan awal mendapati ada unsur penipuan pihak ketiga.

Artikel Oleh : Harian Metro
DATUK TIPU AKU

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...