Monday, January 29, 2018

4334) APLIKASI BOLEH JEJAS AKIDAH UMAT ISLAM – HARIAN METRO – 29/1/18



Kuala Lumpur: Beberapa aplikasi di laman sosial Facebook menawarkan ujian diri antaranya boleh meneka jodoh, ramalan masa depan, penentuan karakter yang semakin popular, namun ada di antaranya boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Penasihat Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, biarpun kuiz berkenaan disediakan untuk tujuan suka-suka, namun ada di antaranya melanggar hukum agama termasuk membuat ramalan mengenai berapa jumlah anak yang akan diperoleh di dalam hidup.
Katanya, persoalan mengenai seseorang di masa depan adalah hak mutlak Allah SWT dan sebagai manusia, kita tidak boleh membuat sebarang tekaan mengenainya.
“Saya terima aduan daripada ibu bapa yang bimbang kerana ada anak mula bertanyakan mengenai jumlah ahli keluarga.
“Bila diteliti, mereka memaklumkan ada laman web menyediakan ramalan mengenai diri, keluarga dan apa saja. Ada yang percaya ramalan itu akan berlaku dalam hidup mereka. Ini yang perlu kita lihat semula,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, terdapat lebih 100 kuiz mengenai kehidupan yang menjadi trending dalam laman web berkenaan dan orang ramai boleh membuat soalan untuk dikongsi dengan netizen lain.
Katanya, biarpun pengendali turut memaklumkan bahawa ia diwujudkan untuk suka-suka dan tidak akan bertanggungjawab sekiranya ia digunakan untuk tujuan lain, namun ia berisiko menjejaskan akidah dan pegangan sebagai seorang Islam.
“Mana boleh teka apa kita akan jadi pada masa depan. Kemudian ia akan dikongsi di dalam Facebook dan mengundang fitnah.
“Di dalam Islam, kita dituntut untuk mencegah. Ada banyak lagi saluran untuk bersuka-suka, bukan dengan permainan yang menggugat akidah. Jadi, hentikanlah.
“Setakat ini kita masih meneliti sama ada ia diwujudkan secara terancang untuk menyentuh sensitiviti umat Islam atau ada agenda lain, tetapi pada saya, walau apapun alasannya, ia tidak wajar,” katanya.
Artikel Oleh : Harian Metro
APLIKASI BOLEH JEJAS AKIDAH UMAT ISLAM

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...