Bukan sahaja dihukum atas kesalahan yang tidak dilakukan, maklumat akaun mereka pula digunakan oleh pihak-pihak tertentu itu untuk menipu hampir RM5 juta daripada mangsa lain.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nad­zim Johan, laporan-laporan diterima pihaknya mendapati kebanyakan mangsa merupakan me­reka yang pernah berurusan de­ngan ah long.
Ini kerana modus ope­randi yang digunakan oleh ah long mewajibkan peminjam menyerahkan salinan MyKad berwarna, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), nombor akaun serta nombor laluan keselamatan (pin).
“Peminjam yang terdesak ter­paksa akur dan memberikan maklumat berkenaan.
“Namun, oleh kerana per­kara ini berlaku tanpa pemantauan mahupun kawalan perundangan, apa sahaja boleh dilakukan dengan mak­­lumat tersebut,” jelas­nya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Nadzim, maklumat akaun itu sering digunakan dalam penipuan urus niaga dalam talian, jual beli kenderaan, hartanah dan paling popular, pinjaman mudah.
Tegas beliau, keadaan menjadi lebih parah apabila pihak yang ditipu dalam urusan-urusan berkenaan membuat laporan polis.
“Yang menyedihkan ialah disebabkan akaun yang men­­jadi petunjuk utama dalam siasatan polis itu milik mangsa, merekalah yang akan menanggung akibatnya manakala dalang sebenar terlepas.
“Mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak dapat memberikan maklumat me­ngenai identiti individu yang menyalahgunakan maklumat terbabit,” kata beliau.
Justeru, Nadzim menya­ran­kan pihak berkuasa supaya me­­neliti semula kes-kes ter­sebut agar dalang sebe­nar peni­puan berkenaan dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
Jelas beliau, jika ini tidak dilakukan, lebih ramai orang akan menjadi mangsa.