Tuesday, November 29, 2016

3222) RIBUAN ETNIK ROHINGYA BERHIMPUN PROTES KEKEJAMAN KE ATAS SAUDARA MEREKA – ONLINE MERDEKA – 25/11/2016



MO, 25/11/2016, KUALA LUMPUR – Perhimpunan demonstrasi untuk etnik Rohingya diadakan di segenap negara tidak ketinggalan juga di Malaysia. Ribuan etnik Rohingya yang berada di Malaysia berhimpun dan mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bersama mengadakan perhimpunan mewakili rakyat Malaysia untuk menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Myanmar di ibu negara petang tadi.
Himpunan yang turut disertai ratusan warga Myanmar yang menetap di Malaysia itu telah berkumpul selepas solat Jumaat di hadapan masjid bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke kedutaan Myanmar.
Antara NGO yang hadir Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Gerakan Baju Merah V2 dan Pas.
Etnik Rohingya beragama Islam dilaporkan ditindas dan dizalimi dengan kejam, mengakibatkan beribu-ribu penduduk berkenaan meninggalkan kampung halaman bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman yang didakwa melibatkan tentera negara itu.
Rakyat Malaysia petang ini menyatakan solidariti mereka berarak dalam hujan mengutuk kekejaman junta tentera Myanmar.
Lebih 1,000 orang menyertai Himpunan Aman Solidariti Bebaskan Rakyat Myanmar Etnik Rohingya mengambil bahagian berarak ketka cuaca hujan lebat selepas solat Jumaat.
Tunjuk perasaan anjuran NGO dan parti politik itu menuntut supaya kekejaman dan pembersihan etnik terhadap kaum Rohingya dihentikan.
Terdahulu, solat hajat diadakan sejurus sembahyang Jumaat. Turut menyertai bantahan kezaliman junta tentera Myanmar itu adalah Unit Amal di bawah Pas yang mengawal pergerakan himpunan.
Himpunan tersebut juga menyaksikan peserta membawa sepanduk mengutuk kekejaman terbaharu tentera dan penduduk Buddha Myanmar membakar rumah, merogol wanita Rohingya dan membunuh orang awam.
Mereka berkumpul di hadapan Menara Tabung Haji sejurus selepas solat Jumaat sekitar jam 2.00 petang sebelum berarak menuju ke kedutaan Myanmar di Jalan Ampang bagi memprotes pembunuhan saudara dan rakan mereka oleh penguasa negara itu.
Peserta demonstrasi berarak kira-kira 2.6 kilometer sambil membawa sepanduk mengecam kekejaman kerajaan Myanmar, dan juga gambar-gambar mangsa yang dibunuh dengan kejam.
Ada di antara mereka yang berarak sambil berteriak-teriak menyatakan rasa kecewa dan sedih dengan nasib yang menimpa saudara-mara mereka itu.
Salah seorang peserta demonstrasi menyatakan beliau cukup sedih apabila diberitahu bahawa semua 17 anggota keluarga mati di bunuh di Arakan.
“Keluarga saya 17 orang mati dibunuh oleh tentera zalim dan orang Buddha, saya tak dapat cari mereka tapi akhirnya saya dapat tahu mereka mati dibunuh.
“Tidak ada siapa dengar suara kami, kami ibarat semut, kami tak ada nilai dalam dunia ini, dia perlakukan kami seperti semut,” kata beliau dengan nada sebak.
Beliau mendakwa kezaliman dilakukan ke atas etnik Rohingya kerana mereka menganut agama Islam.
“Kami tak pernah timbulkan kekacauan dan kami tidak ada senjata. Kami hanya mahu keamanan,” katanya.
Pada himpunan petang ini tiga orang peserta turut ditahan kerana berada di luar kawasan yang dibenarkan. Seorang daripada tahanan itu juga berkali-kali cuba mencederakan dirinya dengan menghentakkan kepalanya ke pagar besi di lori polis.
Manakala seorang lagi berteriak dengan menyatakan dirinya tidak bersalah dan Islam agamanya.
Perhimpunan petang tadi juga disertai oleh rakyat Malaysia daripada ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang kemudiannya cuba menyerahkan sebanyak lima memorandum kepada keduataan Myanmar.
Antara memorandum itu adalah daripada Gerakan Baju Merah V2, PAS, Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) dan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Bagaimanapun semua memorandum itu hanya dapat diserahkan kepada pengawal keselamatan di kedutaan Myanmar.
Hadir sama pada himpunan petang tadi adalah Ketua gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Etnik Rohingya beragama Islam dilaporkan ditindas dan dizalimi dengan kejam, mengakibatkan beribu-ribu penduduk berkenaan meninggalkan kampung halaman bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman yang didakwa melibatkan tentera negara itu.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...