Saturday, August 29, 2015

KAJI DAFTAR PEMILIKAN RUMAH: GOLONGAN PELABUR JANGAN JEJASKAN PELUANG 'MARHAEN' MILIKI RUMAH


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyarankan supaya pihak kerajaan memastikan kadar pemilikan rumah dihadkan bagi membendung kenaikan harga yang semakin 'membimbangkan' sekarang.

Langkah ini dilihat mampu memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan daripada menjadi 'mangsa broker' akibat harga asal jualan telah dimanipulasi untuk tujuan pelaburan.

Memetik semula laporan Utusan bertarikh 25 Ogos 2015, harga purata rumah di Malaysia sekarang adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar kita semua.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati, harga itu ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal’ berdasarkan piawaian antarabangsa. Ini adalah perkara yang patut dititikberatkan.

LAPORAN INSTITUT PENYELIDIKAN KHAZANAH (KRI) :

Median harga kediaman di negara ini ialah RM242,000 berbanding pendapatan bulanan RM4,585 dan tahunan RM55,020. Harga kediaman di Kuala Lumpur yang mendapat skor 5.4 jauh lebih tinggi iaitu RM490,000 de­ngan median pendapatan bulanan RM7,620 dan tahunan RM91,440, iaitu di atas paras ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal.’

Berada dalam kelompok sama ialah Kuala Terengganu (skor 5.5) iaitu RM250,000 berban­ding median pendapatan tahunan RM45,324; Pulau Pinang 5.2 (rumah RM295,000, pendapatan tahunan RM56,424) dan Sabah 5.1 (rumah RM230,000, pendapatan tahunan RM44,940).

Kajian itu membahagikan ne­geri-negeri kepada empat kelompok mampu milik iaitu skor 3 ke bawah sebagai mampu, 3.1 hingga 4 (sederhana), 4.1 hingga 5 (sangat tidak mampu), 5.1 ke atas (sangat-sangat tidak mampu).

Sementara itu, laporan terbabit juga mencadangkan perubahan fokus dalam polisi perumahan daripada inisiatif yang dipacu oleh permintaan bagi memperbaiki ketidakcekapan dalam bekalan perumahan.

Kawasan bandar menghadapi cabaran paling besar yang mana pemilikan rumah adalah pada kadar 69 peratus berbanding 72.5 peratus di seluruh Malaysia. Pemilikan perumahan di Kuala Lumpur adalah pada 53.5 peratus berdasarkan banci penduduk dan perumahan 2010.


APA RESPON PEMAJU PERUMAHAN TERHADAP KAJIAN KRI?

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyifatkan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berhubung harga purata rumah di negara ini sebagai tidak menyeluruh.

REHDA dalam satu kenyataan memberitahu, kajian KRI yang mendapati harga purata rumah ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal’ berdasarkan piawaian antarabangsa, hanya melibatkan sebahagian daripada kos-kos pembinaan.

Kata persatuan itu, kajian tersebut hanya tertumpu kepada tiga jenis kos iaitu bahan mentah, mesin dan peralatan serta buruh yang dua daripada tiga kos yang dianalisis menunjukkan sedikit penurunan manakala kos buruh masih menunjukkan peningkatan.

“Secara rea­litinya kos tenaga pekerja ini meningkat secara berterusan terutama sekali pada masa sekarang iaitu ketika industri mengalami kekurangan tenaga pekerja mahir yang sangat kritikal.

“Tenaga pekerja mahir yang telah lama dilatih di Malaysia ini sama ada telah kembali ke negara asal atau berhijrah ke negara lain di mana gaji yang ditawarkan adalah jauh lebih tinggi seperti di Dubai, Taiwan, Hong Kong dan sebagainya,” kata REHDA dalam satu kenyataan di sini hari ini.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...