Tuesday, November 13, 2012

657) BERITA HARIAN METRO : Pening hutang RM2j




Headline: Pening hutang RM2j
Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling


KUALA LUMPUR: Niat murni seorang wanita membantu orang lain terutama rakan yang dalam kesempitan dengan meminjamkan wang, memakan diri apabila dia kini menanggung hutang hampir RM2 juta.

Ibu kepada 12 anak yang bertugas sebagai guru di Sabah itu mengaku dia tidak berfikir panjang apabila menawarkan diri membantu 102 rakan dan kenalannya dengan meminjam wang daripada tiga ceti haram atau along tanpa pengetahuan suami dan keluarganya.

"Pada awalnya, saya hanya berniat ingin membantu rakan yang terdesak. Mungkin kerana bahagia melihat kegembiraan orang lain, saya langsung tidak terfikir niat baik itu memakan diri," katanya kesal.

Wanita berasal dari utara Semenanjung hanya mahu dikenali sebagai Masni, 50, berkata, hidupnya makin tersepit apabila rakan yang meminjam mula mengadu tidak mampu membayar semula mengikut jadual dipersetujui sebelum ini, kerana terikat dengan pelbagai komitmen.

"Bayangkan, hanya dalam tempoh kurang sebulan pada Jun lalu, saya sudah meminjam RM685,000 daripada ceti untuk membantu 102 rakan dan kenalan.

"Kini setiap bulan, saya terpaksa mendahulukan wang simpanan untuk menampung jumlah faedah tiga along sebanyak RM73,000.

"Ada masanya, saya terpaksa bergolok-gadai dan menebalkan muka meminta pertolongan daripada anak," katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ini tidak ada perkara lain yang terlintas dalam fikiran setiap kali bangun daripada tidur, selain mati.

"Saya betul-betul menyesal... kenapalah saya sanggup meminjam ceti haram untuk membantu kawan yang tidak mampu.

"Lebih luluh perasaan ini apabila seorang daripada anak menyatakan hasratnya untuk menjual organ tubuh semata-mata untuk membayar hutang dan mengembalikan kebahagiaan keluarga kami," katanya.

Masni berkata, hidupnya kini tidak tenteram apabila dikejar along setiap hari yang mendesak supaya wang pinjaman termasuk faedah berjumlah hampir RM2 juta dibayar tunai.

"Kalau dulu perkara ini saya cuba sembunyikan daripada pengetahuan suami, namun ia terbongkar apabila along menghantar orang untuk mengutip hutang di pintu rumah.

"Malah, kawan yang meminjam juga terpinga-pinga apabila nama mereka mula dikaitkan sebagai peminjam along terbabit," katanya.

Sedar usaha murninya mula menikam diri, Masni terpaksa mencari jalan untuk bersembunyi, sementara suaminya mencari jalan untuk menjual tanah pusaka keluarga.

"Lebih teruk, saya juga pernah terfikir untuk melarikan diri ke New Zealand semata-mata untuk bekerja dan mencari wang bagi membayar semua pinjaman selain mengelak daripada diganggu along berkenaan.

"Saya sudah melihat iklan daripada agensi pekerjaan luar negara, namun selepas berfikir panjang, saya memutuskan untuk berdepan masalah ini dengan sokongan suami serta anak," katanya.

Sementara itu, Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Yati Saharuddin berkata, kes berkenaan cukup unik dan pertama kali diterima pihak persatuan.

"Kami sudah berbincang dengan mangsa dan kini dalam proses melengkapkan laporan untuk mendapatkan jumlah sebenar pinjaman ketiga-tiga along.

"Pihak persatuan juga sudah mengatur satu pertemuan antara keluarga Masni dengan 102 peminjam di bawahnya dan tiga along untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran semula supaya tidak membebankan mangsa," katanya.

1 comment:

Sendiri said...

niat murni tapi dengan melakukan dosa pasti mengudang padah...sebelum tolong tu tanya dulu riba nie halal ke haram...

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...