Monday, November 5, 2012

655) BERITA:Sikap tamak raih pulangan tinggi buat ramai terjebak




Kuala Lumpur: Sikap tamak serta terpengaruh dengan ajakan rakan dan saudara-mara yang mendakwa meraih pulangan tinggi menjadi punca ramai yang menyertai pelbagai skim pelaburan palsu, termasuk urus niaga dagangan emas.

Walaupun pelabur skim berkenaan terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi, mereka tetap melabur sekalipun mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti sama ada sesuatu pelaburan itu berdaya tahan atau sebaliknya.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata faktor utama mendorong ramai menyertai pelbagai skim cepat kaya ialah sikap tamak dan mahu cepat kaya.

Sukar ditepis

Katanya, ini sekaligus menyebabkan skim pelaburan palsu termasuk kononnya yang bersandarkan emas terus mendapat sambutan orang ramai, termasuk golongan profesional.

"Dorongan pulangan keuntungan pelaburan luar biasa tinggi hingga 30 peratus setahun, menjadi tarikan utama yang sukar ditepis kalangan pelabur," katanya.

Pelabur skim cepat kaya atau pelaburan palsu mudah terpedaya hingga menyertainya selepas melihat pulangan pelaburan bulanan tinggi kirakira 10 peratus yang dinikmati rakan atau kenalan rapat mereka, walaupun pelaburan itu secara asasnya tidak mungkin berdaya tahan.

Kesukaran pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengambil tindakan pencegahan awal kerana dikhuatiri syarikat terbabit melakukan perniagaan berlandaskan undang-undang, dipercayai menyuburkan lagi skim pelaburan berkenaan.

Sudah terlewat

Maamor berkata, pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan selepas aduan terhadap sesuatu skim pelaburan, dan keadaan ketika itu mungkin sudah terlewat.

"Bagi kes pelabur teraniaya, sebagai persatuan pengguna, peranan PPIM hanya terhad kepada cadangan atau rayuan kepada BNM atau SC untuk mengambil tindakan mendapatkan kembali wang pelabur," katanya.

Baru-baru ini, BNM menyerbu sebuah syarikat yang didakwa menawarkan skim tipu pelaburan emas yang mana dilaporkan bank pusat mendapati aset dan tunai syarikat itu tidak mampu menampung dividen pelabur sedia ada.

Dalam pada itu, Maamor turut mengingatkan pelabur bahawa tindakan mereka melabur dalam skim berkaitan terdedah kepada tindakan undang-undang, termasuk penggubahan wang haram selain tindakan mengambil deposit secara haram terhadap syarikat pelaburan itu.

"Saya berharap pengguna negara ini tidak lagi tertipu dengan mana-mana skim pelaburan menawarkan keuntungan terlalu tinggi dan memastikan setiap pelaburan mereka ditumpukan dalam pelaburan sah di sisi undang-undang.

"Jangan mempunyai sikap tamak melabur dalam skim seperti ini kerana ia tidak akan mampu untuk menampung pembayaran dividen selama-lamanya. Bila keadaan itu berlaku, pelabur tidak akan sempat menarik kembali pelaburan mereka," katanya.

MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH: 3/11/12
M/S:7


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...