Monday, November 5, 2012

651) BERITA: Akta Kebankrapan 1967 tidak lagi relevan




Kuala Lumpur: Akta Kebankrapan 1967 yang didakwa sebagai lapuk dan tidak relevan memang wajar dipinda bagi membolehkan individu muflis tidak terperangkap dengan stigma itu sepanjang hayat mereka.

Akta itu juga tidak adil kerana hanya memberi kelonggaran kepada syarikat, berbanding individu yang perlu berdepan dengan semua kesukaran secara peribadi apabila diisytiharkan muflis .

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pelbagai kerenah birokrasi menyukarkan individu yang diisytihar muflis membersihkan nama mereka.

Beliau berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) perlu mewujudkan kaedah atau pemudah cara untuk membolehkan golongan berkenaan membina hidup baru.

Akta lapuk tidak adil

"Pemuda UMNO pernah menghantar laporan serta kertas cadangan kepada Tan Sri Noh Yakcop, Menteri Kewangan Kedua ketika itu berhubung perkara ini.

"Isu ini serius kerana akta lapuk tidak ada adil. Selepas diisytihar muflis, aset dibekukan sedangkan mereka perlu membayar upah guaman atau menanggung kos mahkamah. Bagaimana semua itu boleh dilakukan jika segala yang berkaitan urusan perbankan dibekukan," katanya.

Sohaimi juga berkata, peranan MdI perlu diperluaskan bagi memastikan individu muflis diberi peluang kedua atau setidak-tidaknya kebenaran membuat urusan perbankan bagi membolehkan proses mahkamah berjalan lancar.

"MdI perlu lebih fleksibel kepada individu muflis. Apa yang kita minta hanya sedikit kelonggaran supaya kelangsungan hidup mereka tidak terhenti apabila diisytiharkan muflis.

"Salah satu aspek yang pernah Pemuda UMNO cadangkan ialah mengkaji semula nilai hutang yang membolehkan seseorang diisytihar muflis oleh mahkamah.

"Jumlah RM30,000 tidak lagi relevan dengan keadaan semasa kerana ada yang menjadi mangsa muflis bukan atas pilihan mereka, sebaliknya kerana menjadi penjamin untuk pihak ketiga," katanya.

Agensi khas

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kerajaan wajar menimbangkan sebuah agensi khas untuk membantu golongan itu memulihkan kehidupan mereka yang terjejas selepas diisytiharkan muflis.

PPIM mencadangkan penubuhan sebuah agensi atau badan bebas dikenali sebagai Dana Insan, khusus membantu golongan ini bergerak semula untuk meneruskan hidup masing-masing.

MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 29/10/12
M/S : 4

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL