Sunday, October 28, 2012

650) BERITA UTAMA BERITA HARIAN 28/10/12 : 50,000 MUFLIS MUDA



Byline / Author: Oleh Sophia Ahmad


Kuala Lumpur: Lebih 50,000 orang muda berusia bawah 34 tahun diisytiharkan muflis di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.

Kebanyakan mereka bankrap disebabkan kegagalan membayar balik pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan.

Mangsa tipu

Malah, ada juga yang menjadi mangsa penipuan disebabkan penggunaan butiran peribadi mereka oleh peminjam tidak dikenali.

Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) juga menunjukkan jumlah kes muflis yang didaftar meningkat hampir setiap tahun pada kadar 5.5 peratus setahun.

Bagi suku pertama tahun ini 4,568 kes muflis baru didaftar dengan MdI. Daripada jumlah itu, 1,354 berumur di bawah 34 tahun, termasuk graduan baru kerja, kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kes muflis dalam tempoh itu.

Kes peminjam muda meningkat

Pendedahan mengenainya dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dalam proses mengumpul semua data berkaitan kes muflis di negara ini untuk membantu mereka yang terbabit.

Menurut semakan PPIM, daripada 4,568 kes muflis suku pertama tahun ini, 47 peratus adalah Melayu, Cina (34 peratus), India (sembilan peratus), lain-lain kaum 10 peratus.

Jumlah bankrap disebabkan pinjaman sewa beli kenderaan merangkumi 27 peratus, gagal melunaskan pinjaman perumahan (24 peratus), gagal menjelaskan pinjaman peribadi (18 peratus), pinjaman perniagaan 14 peratus.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata analisis pihaknya juga mendapati peningkatan mendadak 585.8 peratus kes muflis membabitkan peminjam berumur 25 tahun ke bawah bagi tempoh suku pertama tahun ini berbanding dua tahun lalu.

Akta kebankrapan perlu dipinda

"Kajian kami membabitkan jumlah kes difailkan di 21 cawangan MdI di seluruh negara sepanjang suku pertama tahun ini berbanding suku pertama 2011 dan 2010. Cawangan Selangor mencatat jumlah kes muflis tertinggi iaitu 1,053 kes atau 23.05 peratus daripada 4,568 kes.

"Ini diikuti cawangan Johor Bahru 819 kes atau 17.93 peratus, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 614 kes atau 13.4 peratus.

"Statistik Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri itu diisytiharkan muflis.

"Aliran ini serius dan membimbangkan. Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung masalah ini. Malah, PPIM mahu Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan 1969 dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai," katanya kepada BH.

Beliau menyifatkan pengisytiharan muflis seperti menjatuhkan 'hukuman mati' kerana ia melumpuhkan kehidupan seseorang, selain sukar untuk keluar daripada keadaan itu disebabkan undang-undangnya yang terlalu kejam dan kaku.

Nadzim berkata, ada mangsa tidak tahu butiran mereka digunakan orang lain untuk membuat pinjaman sehinggalah menerima notis tuntutan bank.

Minggu lalu, Pengurus Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Nasir Mustafa memberitahu 40 rakyat Malaysia berusia 30 hingga 40 tahun diisytiharkan muflis setiap hari.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...