Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan Anugerah Organisasi Tiada Kemanusiaan (OXK) dan Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) untuk organisasi yang didakwa bertindak menindas serta mendisriminasikan pengguna.

Ketika mengumumkan anugerah tersebut, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata ia bertujuan untuk menjatuhkan sesebuah organisasi, tetapi bagi mempertahankan hak pengguna. 

Bercakap dalam satu sidang di ibunegara, beliau berkata pemilihan calon-calon untuk OXK dan OXP dibuat berdasarkan banyak aduan yang diterima daripada pengguna terhadap organisasi berkenaan.

Katanya, anugerah itu diberi bagi melabel organisasi yang bertindak menindas serta diskriminasi terhadap pengguna. 

Sehubungan itu, Nadzim berkata, PPIM mempelawa orang ramai yang merasakan diri mereka dinafikan hak sebagai pengguna, untuk mengemukakan pencalonan terhadap mana-mana organisasi atau individu seperti wakil rakyat atau bos mereka..

Setakat ini, kata beliau beberapa organisasi telah dikenalpasti untuk dicalonkan, berdasar aduan tertinggi yang diterima oleh PPIM terhadap mereka.
Bagaimanapun, Malaysiakini tidak menyiarkan nama organisasi-organisasi tersebut sementara menunggu reaksi mereka.
"Kita banyak terima aduan daripada pengguna tentang sesebuah organisasi. Pengguna dibuli oleh organisasi yang besar yang tak kisah tentang kontrak sosial," tambah Nadzim.
"Bagaimanapun, organisasi yang kita senaraikan, akan berubah-ubah dari masa ke semasa berdasarkan jumlah pencalonan dari pengguna," kata Nadzim.

'Anugerah Kambing' untuk respon paling teruk
Menurutnya, ada kemungkinan beberapa organisasi akan dipilih sebagai pemenang dua kategori anugerah tersebut berdasarkan jumlah banyak aduan yang diterima mereka.

Menurut Nadzim lagi, anugerah tersebut hasil daripada resolusi umum forum pengguna 2012 anjuran PPIM pada Halfest Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Nadzim berkata, mana-mana organisasi yang disenaraikan, jika tidak berpuashati, boleh tampil dan memberi penjelasan kepada PPIM. 

Nadzim berkata lagi, "Anugerah Kambing" juga akan diberikan kepada mana-mana organisasi di bawah dua anugerah tersebut yang didapati mendapat respon yang paling teruk daripada pengguna. 

Selain organisasi, anugerah ini juga menerima pencalonan untuk individu. 

"Kalau rasa benda ini tidak betul, mereka boleh berjumpa dengan kami. Kita terbuka.

"Benda ini bukan sahaja organisasi tetapi kalau tak puas hati dengan bos ke, wakil rakyat ke, mereka boleh beri nama untuk dicalonkan dan kita akan selidik. Kalau betul apa yang mereka cakap, kita akan beri anugerah ini," katanya. 

Pengguna yang ingin membuat pencalonan boleh emel kepada consumerforce999@gmail.com atau muslimconsumers@gmail.com

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/212096