Monday, October 23, 2017

4185) PPIM TAK GENTAR UGUTAN SINDIKET – SINAR HARIAN – 21/10/17


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak gentar dengan ugutan  sindiket perjudian yang tergugat dengan pendedahan dibuat NGO itu.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, malah pihaknya tidak akan berganjak dalam usaha membasmi sindiket perjudian haram yang bertapak di negara ini sejak sekian lamanya.

Menurutnya, ini peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk melihat kegiatan perjudian haram dapat dihentikan secara besar-besaran.
“Kita tak gentar dengan ancaman, malah sedia pertaruh nyawa. Saya mohon doa dan sokongan masyarakat supaya beri kekuatan serta sokongan kepada pihak berkuasa.
“Dengan kesungguhan pihak berkuasa, saya yakin dan percaya kegiatan ini dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, semalam.
Mengulas lanjut pendedahan terbaru sindiket berkenaan yang dikaitkan dengan 9 Dragons, Nadzim berkata, sindiket berkenaan telah mengadakan perjumpaan berikutan rasa tidak senang  terhadap campur tangan yang dibuat persatuannya terhadap urus niaga mereka.
“Saya dimaklumkan mesyuarat ini diadakan di Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri lima atau enam ketua kumpulan yang mengetuai sindiket berkenaan.
“Mereka adakan mesyuarat kerana rasakan periuk nasi terganggu dengan campur tangan PPIM terhadap bisnes mereka,” katanya.
Sementara itu, Nadzim turut mengakui dihubungi polis berhubung pendedahan aktiviti perjudian berkenaan sebelum ini.
“Insya-ALLAH, saya akan ke Bukit Aman minggu depan untuk memberikan keterangan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Nadzim  mendakwa, sindiket perjudian haram di Malaysia dikawal oleh  individu seramai sembilan orang dikenali sebagai 9 Dragons.
Beliau dakwa sistem itu telah lama diamal kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan mereka yang berada dalam agensi penguat kuasa ‘dibeli’ bagi melicinkan kerja kotor mereka.

4184) SINDIKET ANCAM ‘AJAR’ PPIM – UTUSAN MALAYSIA – 21/10/17





Selepas dedah maklumat sembilan dragon di media
kisah Alex disiarkan oleh akhbar ini beberapa hari lalu membuatkan beberapa anggota dragon dan ketua sindiket 
mengadakan pertemuan untuk ‘mengajar’ PPIM.



“PPIM langsung tidak gentar dengan ancaman yang diberikan oleh sindiket tersebut dan terus komited dalam membongkar pelbagai maklumat melalui media agar sindiket perjudian dapat ditumpaskan.

“Walaupun sebelum ini berpuluh ancaman telah diterima, namun kali ini ancaman itu dibuat oleh beberapa ketua sindiket dan anggota dragon yang ternyata sudah mula takut de­ngan pendedahan yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Nadzim berkata, ke­wujudan sindiket itu boleh dilihat daripada apa yang berlaku dalam dua tahun kebelaka­ngan ini apabila lebih 38 operasi dilakukan bersama PPIM, namun bilangan pusat judi semakin bertambah daripada 600 kepada 3,500 premis.

Menurutnya, walaupun serbuan dilakukan hari ini, pusat perjudian itu kembali dibuka semula tidak sampai 24 jam sekali gus menunjukkan seperti ada tangan-tangan ghaib di belakang kewujudan premis judi tersebut.



Justeru katanya, kini adalah masa yang sesuai kerana pihak sindiket sudah mula takut dan semua pihak perlu mengambil pe­ranan membantu pihak berkuasa dalam menghapuskan pusat perjudian haram yang sukar ditum­paskan sejak sekian lama.
“Kepemimpinan baharu Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bertekad menghapuskan kegiatan itu seakan memberi satu mesej jelas yang harus disambut baik oleh semua pihak dalam memastikan sindiket berkenaan dapat ditumpaskan,” katanya.
Nadzim berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama kepada polis untuk memberi sebarang maklumat yang diperlukan dan diharap media serta orang ramai mampu memberi sokongan.
“Saya dipanggil ke Bukit Aman minggu hadapan untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan. Selain itu, penglibatan orang ramai juga penting dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa untuk memastikan pusat judi haram dapat dihapuskan,” katanya.

4183) PPIM DIANCAM GABUNGAN SINDIKET PERJUDIAN – BERITA HARIAN – 20/10/17



KUALA LUMPUR; Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdepan ugutan daripada gabungan beberapa sindiket perjudian ekoran pendedahan mengenai aktiviti itu di media, baru-baru ini.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata sindiket perjudian berkenaan mengadakan perjumpaan antara mereka untuk mengenakan persatuan ini.
“Sejak PPIM ditubuhkan 20 tahun lalu, kita memang biasa terima ugutan tetapi untuk kali ini ia agak berlainan sedikit kerana ia membabitkan gabungan beberapa sindiket besar.

“Kami dapat tahu mereka mahu ajar PPIM,” katanya pada sidang media di Sembang-sembang Kafe, hari ini.
Nadzim berkata, PPIM tidak takut dengan ugutan itu kerana yakin dilindungi oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau akan ke Bukit Aman dalam masa terdekat untuk memberi maklumat dan keterangan berhubung perkara itu.
Katanya, dalam menangani isu ini, PPIM giat melakukan operasi membanteras pusat perjudian haram dan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
“Berdasarkan kajian KWP, dalam tempoh dua tahun ini jumlah pusat perjudian meningkat dari 600 premis kepada 3,000.
“Perkara ini membimbangkan kerana judi akan mengakibatkan kepincangan dalam keluarga dan kita perlu membendungnya.
“Kita berharap semua pihak dapat bekerjasama membanteras masalah ini. Sekarang adalah masa sesuai untuk melawan sindiket perjudian,” katanya.

4182) ‘DRAGON’ JUDI MAHU AJAR PPIM – HARIAN METRO – 20/10/17



PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan memberi keterangan kepada polis berhubung beberapa ugutan dan ancaman diterima daripada sindiket perjudian.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan sebelum ini mendedahkan kegiatan perjudian haram dan aktiviti tidak bermoral di negara ini didalangi sembilan ketua digelar ‘dragon’ yang mengutip RM5 bilion sebulan.
Menurutnya, sindiket itu mengancam menyerang PPIM bila-bila masa selepas pendedahan berkenaan.
“Saya akui antara kandungan mesej diterima, mengatakan PPIM perlu ‘diajar’ selepas mendedahkan kegiatan mereka,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri meminta PPIM mengemukakan bukti dakwaan berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti dakwaan itu benar.
“Saya minta badan bukan kerajaan seperti ini membuat laporan polis. Saya bimbang keselamatan mereka jika benar dakwaan itu,” katanya .
Nadzim turut mendakwa sembilan dragon itu mempunyai ‘kuasa’ dalam agensi penguat kuasa di negara ini selain mampu menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.
Pada sidang media hari ini, Nadzim berkata, pihaknya akan memberi maklumat dan bukti berhubung kegiatan kumpulan besar itu kepada polis Bukit Aman minggu depan.
Menurutnya, ancaman itu tidak menggusarkan PPIM kerana pihaknya yakin pihak berkuasa serta rakyat bersama-sama mereka membanteras kegiatan itu.
“Saya tidak menyesal mendedahkan hal ini kerana aktiviti perjudian ini menyebabkan kepincangan dalam masyarakat dan institusi kekeluargaan.
“Berdasarkan tinjauan Kementerian Wilayah Persekutuan, jumlah pusat perjudian meningkat daripada 600 kepada 3,000 di Lembah Klang dalam tempoh dua tahun,” katanya,

Friday, October 20, 2017

4181) DEDAH MAKLUMAT JUDI, PPIM DIANCAM SINDIKET AKTIVITI HARAM – 20/10/2017


Kerana kelantangan suara Ketua Aktivis PPIM, Toqqi mendedahkan sindiket Judi, Ahlong dan pelbagai aktiviti haram. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima informasi daripada beberapa sumber bahawa telah wujud gerakan untuk “mengajar” PPIM.

Satu sidang media telah diadakan lanjutan daripada perkara ini. “Kami tidak tunduk pada ancaman tetapi ingin memberi peringatan bahawa pembongkaran akan diteruskan” Jelas Toqqi.
Ketua Aktivis PPIM, Toqqi berharap agar semua agensi yang terlibat dan masyarakat dapat bekerjasama bagi melenyapkan premis-premis perjudian yang terdapat di Malaysia dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.


PPIM telah menerima banyak ancaman sejak kebelakangan ini tetapi PPIM percaya bahawa ancaman kali ini lebih tersusun dan bersepakat. “5 atau 6 hari yang lalu, sindiket ini telah mengadakan mesyuarat” Jelas Toqqi.



“Judi, Ahlong, Dadah & Maksiat ini semua berkait dan apabila mereka mula terasa periuk nasi mereka terganggu, mereka merancang untuk mengambil tindakan keatas PPIM.”
Meskipun ugutan demi ugutan diterima, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat kami untuk terus berjuang.

Laporan oleh, Mirzan Johor

4180) WARTAKAN SEGERA KANTA LEKAP KOSMETIK – BERITA HARIAN – 20/10/17





Kuala Lumpur: Kerajaan didesak supaya segera mewartakan kanta lekap kosmetik di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan Akta Optik 1991, bagi menangani masalah lambakan produk berkenaan di pasaran. Gesaan itu dibuat oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, yang mahukan satu mekanisme atau undang-undang yang melindungi pengguna daripada membeli kanta lekap yang tidak diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Isu lambakan kanta lekap kosmetik yang dijual secara berleluasa di pasaran sememangnya mengundang fenomena membimbangkan kerana rata-rata produk itu tidak diketahui sumber mahupun tahap kebersihannya. “Justeru, kanta lekap kosmetik harus segera diwartakan supaya pengedar dan penjual produk berkenaan mematuhi piawaian.
Pada masa sama, hanya optometris dan juruoptik yang sah serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dibenarkan menjualnya,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan BH, semalam yang mendedahkan mengenai penjualan kanta lekap kosmetik yang dijual secara berleluasa di pasaran termasuk laman sosial. Katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga harus memainkan peranan dengan melakukan pemantauan berkala di kawasan yang menjadi tumpuan peniaga.
“Jarang kita dengar mengenai serbuan kanta lekap kosmetik, malah tiada garis panduan dan kawal selia mengenainya. “Kami (PPIM) berharap, kedua-dua kementerian dapat bekerjasama dalam usaha mewartakan produk ini dan menyediakan garis panduan yang lebih jelas kepada semua pihak” katanya.

Thursday, October 19, 2017

4179) SEMBILAN "DRAGON" KAWAL MALAYSIA ? - UTUSAN MALAYSIA - 19/10/17





KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dra­gon’ sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah, kumpulan sembilan dragon itu mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.


Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan (gambar) mendakwa, sistem sembilan dra­gon itu telah lama di­amalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mem­punyai kuasa di dalam agensi pe­nguat kuasa di negara ini.

Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk me­nu­karkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.

“Rangkaian tersebut bermula apabila pihak berkuasa atau individu berkepentingan di negara ini duduk semeja dengan kumpulan dragon untuk meminta bantuan.

“Mereka kemudian tersepit apabila dragon mula meminta bantuan untuk melindungi kegiatan haram, tetapi perlu menurut kerana pernah menerima bantuan dahulu,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Nadzim, undang-undang yang terdapat dalam sistem dragon iaitu, pengkhianat akan ditembak mati menyebabkan pihak berkuasa terlibat tidak berani melawan dan terpaksa akur dengan permintaan kumpulan tersebut walaupun ia bercanggah dengan kedaulatan negara.

Mengulas mengenai sistem dragon berkenaan, Nadzim memberitahu, hierarki itu telah wujud sejak sekian lama, bahkan ia mempunyai hubungan dengan kumpulan lain di luar negara termasuk Hong Kong, China dan beberapa negara lain bagi menjalankan akti­viti mereka.

Ujar beliau, terdapat juga beberapa individu ternama di negara ini yang berjaya menduduki tahap tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa itu.

“Jika sebelum ini ada pendedahan mengenai individu bernama Alex, dia juga adalah anggota kepada sembilan dragon berkenaan yang memakai gelaran dragon nombor lima yang mempunyai hubungan kuat dengan orang ‘besar’ di negara ini.

“Saya difahamkan terdapat sembilan dragon utama, jika mungkin ada tambahan saya tidak pasti, tetapi kesemua mereka mempu­nyai gelaran Tan Sri dan Datuk Seri yang dibeli untuk mengaburi ke­giatan sebenar mereka,” katanya.

Mereka yang mempunyai gela­ran itu turut sinonim dengan pelbagai perniagaan di negara ini dan berjaya mengutip lebih RM5 bilion sebulan hasil daripada perjudian.

Menurutnya, wang tersebut dikumpul daripada seluruh negara dan akan diagihkan kepada syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi mencuci wang haram itu untuk mengelakkan ia mudah dikesan.

Tambahnya, dengan wang yang banyak itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan kegiatan ha­ram termasuk membayar wang perlin­dungan kepada pihak berkuasa serta siapa-siapa yang mengganggu perjalanan perniagaan mereka.

“Disebabkan sistem yang berkesan dan bantuan teknologi terkini, wang tersebut sukar untuk dilarikan oleh mana-mana pekerja ke­rana takut akan dibunuh oleh anggota sembilan dragon tersebut,” jelasnya.




Tuesday, October 17, 2017

4178) DOKTOR GIGI PALSU MOHON MAAF ATAS KESILAPAN LALU – HARIAN METRO – 17/10/17




Dengan rendah hati dan kekesalan, Nara memohon maaf kepada semua pihak terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua pengamal perubatan khususnya doktor gigi. “Selama ini Nara berdiam bukan melarikan diri daripada masalah, sebaliknya merenung kembali kesalahan yang Nara lakukan. Wujud juga salah faham berkenaan video yang dimuat naik baru-baru ini.”
Permohonan maaf itu dibuat Nur Farahanis Ezzaty Adli, 20, secara eksklusif menerusi Harian Metro, semalam, selepas dua minggu. Doktor gigi palsu berkenaan dikecam netizen terutama warga perubatan kerana seolah-olah tidak menginsafi kesalahannya.
Nur Farahanis atau lebih mesra dengan panggilan Nara sebelum ini mengaku bersalah kerana menyediakan khidmat pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta, 586). Susulan kesalahan itu, graduan Kolej Vokasional berkenaan dijatuhkan hukuman denda RM70,000 atau enam bulan penjara.
Nur Farahanis berkata, dia sudah merasai keperitan enam hari berada di penjara dan keadaan itu cukup memberi penyesalan untuknya.
“Berhubung video yang menjadi spekulasi selepas Nara memuat naik di laman sosial, ingin Nara jelaskan itu adalah video yang diambil Februari lalu dan bukannya Nara buat selepas keluar dari penjara. “Nara sejujurnya sangat kesal dengan apa yang terjadi dan memohon maaf kepada semua pihak. Nara tahu tindakan berkenaan mengguris banyak pihak terutama KKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Ingin Nara tegaskan bahawa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) hanya memberi nasihat perundangan saja,” katanya.
Nur Farahanis berkata, dia menyangkal dakwaan bahawa PPIM dan PEMA mengeluarkan wang RM70,000 untuk membayar denda yang di kenakan terhadapnya.
Menurutnya, wang denda itu adalah hasil derma daripada ahli keluarga, sahabat, saudara-mara dan individu perseorangan tanpa membabitkan PPIM atau PEMA.
“Apa yang terjadi sememangnya menjadi iktibar yang besar. Nara akan meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan cara yang lebih baik dan sah dari sudut perundangan. “ katanya.


4177) PPIM CADANG WUJUD LAMAN SESAWANG – SINAR HARIAN – 17/10/17




AMPANG — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan kementerian berkaitan harus mewujudkan laman sesawang untuk memudahkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan penipuan melalui panggilan telefon.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pihak yang bertanggungjawab mengendalikan laman sesawang itu boleh memberi respons berkaitan perkembangan laporan aduan tersebut.
“Hasil dan tindakan yang diambil harus dimaklumkan kepada umum atau pengadu,” katanya.
Ma’amor berkata, pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap scammer atau penipu ini. “Harta benda penjenayah ini harus disita malah perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012(SOSMA)” katanya.
Beliau berkata, masyarakat harus sentiasa berwaspada dengan taktik licik sindiket penipuan ini. “Sindiket ini sentiasa akan cuba memperdayakan mangsa dengan tawaran yang tidak munasabah serta tidak masuk akal seperti mangsa memenangi hadiah, selain mengugut mangsa yang mempunyai hutang bank yang bank atau sebagainya” katanya.
Beliau berkata, mangsa seharusnya jangan memberi respons kepada sindiket berkenaan.
“Mangsa hanya perlu mengambil maklumat peribadi si pemanggil untuk siasatan lanjut, kemudian menyemak semula dengan agensi berkaitan, sama ada panggilan yang diterima itu sahih atau tidak” katanya.
Katanya, mangsa juga dinasihatkan untuk segera membuat laporan dan aduan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Monday, October 16, 2017

4176) SOKONG USAHA SPRM, JANGAN KAITKAN ISU PERIBADI – UTUSAN MINGGUAN – 15/10/17



KUALA LUMPUR 14. Okt. – Masyarakat perlu menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah di negara ini tanpa dikaitkan dengan sebarang isu peribadi melibatkan pegawai tertinggi badan berkuasa itu yang belum tentu lagi kesahihannya. Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, tanpa kepimpinan agresif dan berani yang ditampilkan oleh Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, sudah tentu kes-kes perjudian dan pelbagai kegiatan rasuah semakin merebak di seluruh negara.
Justeru, katanya mana-mana individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti politik perlu menghentikan segera dakwaan sedemikian kerana ia akan menimbulkan fitnah melampau dalam kalangan rakyat. “Semua masyarakat perlu memahami keadaan dan tanggungjawab SPRM. Kalau seorang pemimpin seperti Tan Sri Dzulkifli sendiri tidak disokong oleh ramai disebabkan berita yang belum tentu sahih, sudah tentu lebih banyak pusat perjudian, pusat hiburan serta gejala rasuah Semakin merebak.
“Saya yakin perkara sebegini (fitnah) sering berlaku sekiranya ada seseorang ingin melakukan perubahan kepada masyarakat dan negara untuk menumpaskan birokrasi di dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohannad Fuzi Harun dilaporkan berkata, pihak polis akan menyiasat dakwaan bahawa seorang pegawai kanan SPRM cuba memikat isteri orang dengan tersebarnya satu rakaman video di laman Youtube. Dalam pada itu, Muhammad Yusuf berkata, beliau tidak menolak penyebaran video berkenaan bertujuan menjatuhkan karier Dzulkifli dengan cara menyerang secara peribadi hanya kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya menumpaskan ramai individu yang terlibat dengan rasuah.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL