Showing posts with label ZAHARAH SULAIMAN. Show all posts
Showing posts with label ZAHARAH SULAIMAN. Show all posts

Friday, July 12, 2013

821) UTUSAN MALAYSIA 120713-Berbanggalah menjadi Melayu



TIDAK sudah-sudah Melayu cuba diperlekehkan. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada beberapa rentetan peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah negara ini.

Kita sudah pasti masih ingat bagaimana bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Lee Kim Sai (sekarang Tan Sri) pada 1986 secara terbuka mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar-dasar yang dikaitkan dengan ketuanan Melayu.

Konfrontasi secara terbuka dibuat bagi memulihkan imej MCA ekoran Pilihan Raya Umum 1986 yang menyaksikan kemerosotan pengaruh parti itu yang teruk di kalangan pengundi Cina.

Kemuncaknya pada November 1986, yang menyaksikan konvensyen MCA Selangor yang dipengerusikan oleh Kim Sai telah membuat ketetapan mencabar hakikat kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal negara.

MCA mengisytiharkan bahawa semua kaum utama di Malaysia iaitu orang Melayu, India dan Cina adalah terdiri daripada orang pendatang. Sehubungan itu, orang Melayu tidak boleh dianggap sebagai tuan di negara ini.

Ketetapan itu menimbulkan kemarahan orang Melayu dan ketegangan antara kedua-dua kaum hanya dapat diselesaikan selepas Kabinet mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain ialah penduduk asal Malaysia.

Manakala penduduk Cina dan India sudah diterima sebagai warganegara Malaysia dan oleh itu, tidak boleh dianggap sebagai pendatang asing atau pendatang haram dan mereka mendapat layanan yang sama seperti warganegara lain.

Satu lagi kontroversi tercetus pada 2004 dengan penerbitan buku bertajuk Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries oleh National University of Singapore (NUS).

Buku susunan Profesor Madya di Jabatan Sejarah NUS, Timothy P. Barnard mendakwa orang Melayu tiada asas untuk menjadi kaum yang nyata kerana ia adalah campuran daripada kaum-kaum lain khususnya dari selatan China dan India.

Ekoran itu, buku berkenaan mencadangkan kaum Cina dan India di Malaysia diberikan taraf bumiputera kerana orang Melayu sebenarnya berasal daripada salasilah kedua-dua kaum itu.

Fakta-fakta meragukan dalam buku itu turut dimuatkan dalam blog dan Facebook yang kemudiannya digunakan beberapa pihak bagi memperlekehkan orang Melayu termasuk mengelar mereka sebagai pendatang.

Bagi memastikan orang Melayu tidak lagi diperlekehkan, satu kajian ilmiah telah dibuat oleh penulis dan penyelidik sejarah, Zaharah Sulaiman dan Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nik Anuar adalah salah seorang sejarawan yang secara serius berusaha menulis kembali sejarah negara dan kaum Melayu daripada perspektif anak tempatan.

Kajian itu mengesahkan bahawa orang Melayu adalah kaum asal di rantau Nusantara ini dan bukannya golongan pendatang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Bukti menerusi pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang mendiami Benua Sunda (Asia Tenggara) merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto (Melayu asli) dan kaum Melayu hari ini.

Masyarakat Semang dan Senoi ini berasal daripada manusia asal di Afrika yang berhijrah ke Benua Sunda sejak 65,000 tahun dahulu.

Zaharah ketika Wacana Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya anjuran Kelab Wartawan Muda Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, kajian ilmiah yang dilaksanakan mereka sejak 2009 telah siap.

"Ia akan diterbitkan dalam bentuk jilid-jilid buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara berperingkat-peringkat untuk tatapan umum.

"Buku ini akan mendedahkan segala-galanya dan saya berharap mereka yang mempertikaikan asal usul Melayu dapat membacanya secara terbuka kerana kajian ini adalah bersandarkan kepada bukti-bukti genetik dan arkeologi," katanya.

Ditanya pendirian orang Jawa dan suku kaum di Sabah dan Sarawak yang tidak mengakui sebagai orang Melayu, beliau berkata, pemetaan genetik yang telah dibuat mendapati nenek moyang mereka adalah Semang dan Senoi, sekali gus membuktikan mereka kaum Melayu.

"Ada pihak yang mengaitkan orang Melayu berasal dari India dan China ekoran pengaruh Hindu-Buddha yang datang ke Nusantara yang telah diterima oleh alam Melayu.

"Pendapat ini adalah tidak benar kerana jika kita melihat seni bina Angkor Wat di Kemboja dan Borobudor di Indonesia, ia sangat berlainan dengan reka bentuk kuil dan tokong di China dan India.

"Ini menunjukkan tamadun Melayu telah wujud lebih awal, malah bahasa Melayu telah lama menggunakan perkataan Sanskrit seperti mukadimah, syurga dan negara sebelum kedatangan pengaruh India," katanya.

Kajian itu adalah selari dengan satu lagi penemuan data arkeologi yang diperoleh di Semenanjung Malaysia dan Sarawak oleh penyelidik dari UKM pada 2010 yang menunjukkan rumpun Melayu adalah penduduk asal bumi Malaysia sejak lebih daripada 40,000 tahun lalu dan bukan berhijrah ke mari dari tanah besar di utara.

Artifak-artifak seperti seramik yang ditemui di lebih 100 kawasan ekskavasi yang dijalankan oleh ahli-ahli arkeologi UKM menunjukkan bahawa artifak itu adalah berbentuk tempatan dan bukan dibawa masuk dari luar.

Walaupun bukti telah dikemukakan, sudah pasti akan ada pihak yang akan terus mempertikaikannya semata-mata kerana kajian itu tidak berpihak kepada mereka.

Kita sudah pasti tidak boleh berbuat apa-apa bagi mengubah pemikiran golongan ini, tetapi kita masih boleh mengambil inisiatif merombak kurikulum sejarah di sekolah bagi memastikan generasi muda didedahkan dengan fakta sebenar.

Satu lagi yang boleh dibuat adalah untuk tidak terlalu mengagung-agungkan peninggalan penjajah sehingga melupakan sejarah dan warisan Melayu.

Di Melaka misalnya, kenapa hanya terdapat replika kapal Portugis, Flor de La Mar yang dijadikan muzium maritim?

Mana dia kapal milik pedagang dan sultan-sultan Melayu pada zaman dahulu seperti 'Geliung Johor' dan 'Mendam Berahi' yang saiznya berpuluh kali ganda lebih besar dan menggunakan teknologi lebih canggih berbanding kapal China dan Eropah?

Jika kita sendiri masih tidak menghormati sejarah dan warisan Melayu, janganlah mengharapkan kaum lain akan menghormati kita.



SUMBER:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130711/re_05/Berbanggalah-menjadi-Melayu#ixzz2YoQjNPqR © Utusan Melayu (M) Bhd

820) BERITA HARIAN 11/7/13-Hak orang Melayu dinafi sejak zaman penjajah



Oleh Haspaizi Mohd Zain


Barangkali masih ramai orang Melayu tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu mengetahui mengenai kewujudan buku himpunan esei berjudul Contesting Malayness terbitan sebuah universiti Singapura yang menjurus kepada pandangan bahawa bangsa Melayu tidak pernah wujud di muka bumi ini.

Dakwaan seperti itu tentunya pelik bagi kita yang sudah sebati dengan kisah Kesultanan Melayu dan kehebatan hulubalang Melayu seperti Laksamana Hang Tuah dan Hang Jebat.

Malah, Sejarah Kesultanan Melayu Melaka sudah membuktikan bahawa Selat Melaka pernah menjadi pusat dagangan dunia yang terkemuka. Namun, penjajah yang menakluki Melaka bukan saja meruntuhkan empayar gemilang itu, tetapi turut memusnahkan sejarah kegemilangan Melayu.

Bukan soal itu yang ingin diperdebatkan, sebaliknya penulis mahu mencari jawapan terhadap motif penghasilan buku itu yang bagaikan cuba menafikan hak orang Melayu di bumi bertuah ini.

Apa lagi yang Singapura mahu daripada Melayu? Mungkin ayat ini terlalu kasar, namun adakah kita terfikir apakah motif universiti negara jiran itu menerbitkan buku yang cuba menafikan kewujudan Melayu.

Cukuplah bangsa Melayu diperlekeh dan dipersendakan. Khabarnya, di pintu masuk Muzium Singapura, dinyatakan bahawa Melayu sebagai bangsa lanun dan pencuri. Melayu bukan lanun ataupun pencuri, Melayu juga bukan pemalas, Melayu ada tamadunnya yang penuh dengan kegemilangan.

Dalam konteks Malaysia, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah yang mana sokongan pengundi Cina didominasi sepenuhnya DAP. Malah, keputusan itu menyebabkan PRU-13 dinamakan sebagai 'Tsunami Cina'.

Malah, kini beberapa perkara yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula dicabar oleh pihak tertentu, bukan itu saja, ada juga yang menuntut hak sama rata untuk semua kaum di negara ini ketika Bumiputera masih jauh ketinggalan.

Senario politik negara hari ini menyaksikan semakin ramai bukan Bumiputera mula bersuara menuntut hak sama rata dengan Bumiputera, kononnya hak mereka dinafikan, benarkah hak bukan Bumiputera di negara ini dinafikan? Siapa menjuarai ekonomi Malaysia?

Sebenarnya, bangsa Melayu sudah lama dinafikan hak mereka di bumi sendiri. Malah bagi Pengkaji dan Penyelidik Sejarah, Dr Zaharah Sulaiman, Melayu adalah satu bangsa yang hebat dan mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini jika hak mereka tidak dinafikan dari awal lagi.

Melayu bangsa hebat

Bagi Zaharah, Melayu adalah bangsa yang hebat dan kehebatan Melayu itu dicemburui oleh bangsa lain di dunia ini. Sebab itulah apabila penjajah menguasai Tanah Melayu, mereka bukan saja menafikan hak bangsa itu tetapi turut memusnahkan kegemilangan Melayu.

"Hak bangsa Melayu di negara ini sudah dinafikan sejak zaman penjajahan British lagi, orang Melayu tidak diberikan peluang untuk mendapat pendidikan tinggi seperti bangsa lain, orang Melayu ditempatkan di kawasan pedalaman dan hanya menjalankan kegiatan pertanian.

"Sedangkan bangsa lain yang dibawa masuk ke tanah Melayu bukan saja dianggap sebagai rakyat British, malah mendapat pelbagai keistimewaan berbanding bangsa Melayu. Kumpulan ini ditempatkan di kawasan bandar, menguasai sektor perlombongan dan perniagaan.

"Melayu bukannya tidak hebat, Melayu bukannya bangsa pemalas, tetapi hak Melayu di buminya sendiri sudah dinafikan sejak zaman berzaman. Jika ada pihak bukan Melayu berkata hak mereka dinafikan, sebenarnya hak Melayu yang dinafikan," ujarnya.

Jika hak bangsa Melayu tidak dinafikan sejak dari dulu lagi, hari ini mungkin sudah ramai orang Melayu muncul sebagai ahli perniagaan berjaya dan mungkin juga jurang ekonomi antara bangsa Melayu dan bangsa lain tidaklah begitu ketara sekali.

Ketika mana bukan Bumiputera mendakwa hak mereka dinafikan di bumi Malaysia ini, ketika itu jugalah bangsa Melayu sedang merangkak dan terkial-kial berusaha untuk merapatkan jurang ekonomi mereka.

Jika bukan Melayu mendakwa mereka terpinggir, persoalannya siapa yang menguasai ekonomi negara, siapa yang mendominasi penempatan di bandar-bandar utama di negara ini? Hanya segelintir Melayu mampu berbangga kerana berjaya membeli aset di kawasan bandar.

Kenapa bangsa lain cukup cemburu dengan Melayu sehinggakan mereka sanggup memusnahkan sejarah kegemilangan Melayu? Kenapa juga bangsa Melayu hari ini terutama golongan muda masih 'tidur' dan leka dengan permainan dunia sedangkan bangsanya sedang diserang di segenap pelosok?

Apakah orang Melayu mahu sejarahnya ditentukan oleh bangsa lain? Cukuplah sudah Istana Raja Melayu yang gemilang pada suatu masa dulu kini dijadikan muzium oleh pihak tertentu, Melayu perlu sedar bahawa ada pihak sedang menunggu untuk menjadikannya artifak dan dipamerkan di muzium.

Melayu terpaksa mengambil masa yang begitu lama berjuang untuk memperjuangkan haknya, namun bangsa lain boleh menuntut sesuatu daripada orang Melayu hanya dalam tempoh 'satu malam' dan tidak perlu melakar sejarah perjuangan yang lama.

Lihat saja apa yang berlaku di Perak ketika pakatan pembangkang mentadbir negeri itu. Atas desakan pihak tertentu, kerajaan negeri Perak ketika itu memberikan hak pemilikan tanah selama 999 tahun kepada bukan Melayu.

Hari ini, Melayu juga dilabelkan oleh bangsa yang cukup sinonim dengan rasuah. UMNO yang menjadi tunjang kepada pentadbiran kerajaan di negara ini dilabelkan sebagai sebuah parti korup oleh pihak tertentu.

Tetapi sejarah sudah membuktikan bangsa Melayu masih ketinggalan dan bangsa Melayu belum lagi senang seperti bangsa lain. Cuba kita buat penilaian bangsa mana yang sudah lama kaya di negara ini dan bangsa mana mengajar Melayu erti rasuah, tepuk dada tanyalah hati.

Segala yang buruk dilabelkan kepada bangsa Melayu, sedangkan Melayu belum ramai kaya-raya, belum lagi menguasai sektor perniagaan dan tidak ramai mampu memiliki aset jutaan ringgit di ibu kota, siapa sebenarnya yang menguasai sektor komersial dan siapa sebenarnya paling ramai rasuah, Melayu atau bukan Melayu?

Melayu kena bangkit

Sejarawan Barat sepakat dan mengiktiraf bangsa Melayu sebagai pakar dalam bidang maritim yang mana sejarah membuktikan bahawa bangsa ini sudah memiliki kapal yang besar pada zaman kegemilangannya mengalahkan kapal milik Portugis dan kapal tersebut dikenali sebagai 'Mendam Berahi'.

Namun, itu semua sudah tinggal sejarah, hari ini bukan saja sejarah Melayu sedang diperkotak-katikkan dan diubah bangsa lain, malah bangsa Melayu sendiri sudah berpecah kepada beberapa mazhab kerana berimankan pemimpin politik yang berlainan ideologi. Inilah yang melemahkan Melayu.

Bangkitlah Melayu, bangsamu bukannya bangsa lemah dan pemalas tetapi bangsamu adalah bangsa yang hebat dan pernah mencipta kegemilangan. Marilah kita cipta kembali kegemilangan Melayu pada abad baru ini.


Dakwaan bangsa Melayu tidak pernah wujud hanyalah 'ketakutan' bangsa tertentu terhadap kehebatan bangsa Melayu, Melayu tersebar hampir ke seluruh dunia, Melayu ada di mana saja termasuk di Zanzibar dan Madagascar.

819) ARTIKEL HARIAN METRO 10/7/13- `Melayu hebat'


Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Melayu bukanlah bangsa yang lemah, tidak mahir dan boleh dipandang hina. Sejarah membuktikan bangsa ini penakluk agung, ahli maritim yang handal dan cukup disegani.

"Tindakan pihak tertentu mengeluarkan buku mendakwa Melayu tidak pernah wujud tidak benar sama sekali dan fakta sebenar membuktikan sebaliknya. Orang Melayu perlu berbangga dengan kehebatan bangsa mereka," kata pengkaji sejarah Dr Zaharah Sulaiman.

Tampil dengan kajian mengenai kewujudan Melayu di rantau ini sejak hampir empat tahun lalu, beliau berkata, kegemilangan bangsa itu satu masa dulu turut diakui pencatat yang menemui bukti orang Melayu terkenal dengan sifat baik hati sehinggakan sering dipergunakan orang lain.

"Kajian saya turut menemui Melayu sebenarnya lebih awal wujud daripada tamadun India dan Cina dengan kawasan penempatan di Benua Sunda yang begitu baik dari segi iklim dan rupa bentuk muka bumi untuk didiami.

"Bukti yang ada cukup untuk mengatakan bangsa Melayu berasal daripada keturunan Semang dan Senoi yang kemudiannya membenihkan bangsa lain di dunia," katanya.

Fakta mengenai penemuan itu akan dapat diikuti tidak lama lagi selepas kajiannya dibukukan hasil penyelidikan bersama beberapa universiti selain sejarawan negara.

Ia akan merungkai kenyataan sesetengah pihak termasuk mendakwa orang Melayu jahat, perompak dan pemalas seperti didakwa menerusi buku `Contesting Malayness' terbitan sebuah universiti di Singapura yang jelas berat sebelah tanpa bukti kukuh.

Dr Zaharah berkata, kajiannya selama ini berdasarkan penemuan artifak serta DNA (asid dioksiribonukleik) daripada 160,000 tahun lampau sehingga ke hari ini dan ia akan menemui orang ramai tidak lama lagi.

"Saya sudah jelaskan penemuan ini di dalam siri jelajah secara tertutup dengan disertai kumpulan kecil. Mudah-mudahan ia memberi satu dimensi baru kepada orang Melayu," katanya.


818) ARTIKEL BERITA HARIAN 10/7/13-Artifak, DNA bukti kewujudan Melayu

( *Ralat: Gambar tersebut bukan gambar Dr Zaharah)


Oleh Haspaizi Mohd Zain

Kuala Lumpur: Pendapat dalam buku Contesting Malayness terbitan universiti Singapura yang mendakwa bangsa Melayu tidak pernah wujud di dunia ini sebagai satu agenda untuk melemah dan memperlekehkan bangsa Melayu.

Sambil menyangkal dakwaan itu, Pengkaji Sejarah, Dr Zaharah Sulaiman sebaliknya merumuskan Melayu itu sebagai bangsa yang dicemburui di seluruh dunia kerana penyebarannya hampir ke seluruh dunia dan didapati turut membenihkan bangsa lain.

Beliau yang menjalankan kajian mengenai kewujudan bangsa Melayu sejak 2009 berkata, buku yang diterbitkan universiti Singapura itu masih boleh disanggah faktanya, selain begitu menyorot kepada usaha untuk menafikan kewujudan bangsa Melayu di muka bumi ini.

Pembenihan bangsa lain

"Jika kita teliti bangsa Melayu ini tersebar hingga meliputi satu perenam dunia, bangsa ini turut terdapat di Madagascar dan bahasa Melayu masih lagi digunakan sehingga kini. Melayu benar-benar wujud dan bangsa ini jugalah yang membenihkan bangsa lain.

"Benua Sunda adalah benua yang cukup nyaman untuk didiami dan ia menjadi pusat pembenihan kepada bangsa lain oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu berasal daripada keturunan Semang dan Senai.

"Kajian ini dilakukan berdasarkan kepada penemuan artifak dan juga DNA (asid deoksiribonukleik). Malah, hasil kajian juga membuktikan kewujudan bangsa India dan Cina lebih muda berbanding Melayu," katanya yang menyifatkan ada pihak tertentu di sebalik penerbitan buku itu.

Antara lain, Contesting Malayness yang ditulis oleh seorang profesor di Universiti Kebangsaan Singapura, mendakwa bangsa Melayu tidak pernah wujud, sebaliknya bangsa itu adalah hasil daripada bangsa lain.



817) ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA 10/7/13-Kajian sahkan Melayu bukan pendatang



KUALA LUMPUR 9 Julai - Kajian ilmiah oleh seorang penyelidik mengesahkan bahawa orang Melayu adalah kaum asal di rantau Nusantara ini dan bukannya golongan pendatang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Penulis dan penyelidik sejarah, Zaharah Sulaiman yang bakal menerbitkan hasil kajiannya tidak lama lagi berkata, bukti menerusi pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang mendiami Benua Sunda (Asia Tenggara) merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum Melayu hari ini.

"Pengesahan ini jelas sekali menolak dakwaan buku Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries yang diterbitkan oleh National University of Singapore (NUS) yang menyatakan kaum Melayu berasal daripada campuran kaum-kaum dari selatan China dan India," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya anjuran Kelab Wartawan Muda Malaysia di sini, semalam.

Buku susunan Profesor Madya di Jabatan Sejarah NUS, Timothy P. Barnard yang diterbitkan pada 2004 mendakwa kaum Melayu tiada asas untuk menjadi kaum yang nyata kerana ia adalah campuran daripada kaum-kaum lain.

Ekoran itu, buku berkenaan mencadangkan kaum Cina dan India di Malaysia diberikan taraf bumiputera kerana orang Melayu sebenarnya berasal daripada salasilah kedua-dua kaum itu.

Zaharah berkata, kajian yang dilakukannya bersama beberapa penyelidik lain sejak 2009 mendapati masyarakat Semang dan Senoi berasal daripada manusia asal di Afrika yang berhijrah ke rantau ini sejak 65,000 tahun dahulu.

"Kumpulan yang telah berhijrah ke Benua Sunda ini merupakan nenek moyang kepada manusia moden hari ini termasuk di Asia Timur dan Amerika.

"Kajian juga mendapati orang Jawa, Dayak, Batak, Champa, Madagascar dan Polynesia juga mempunyai genetik asal daripada Semang dan Senoi dan oleh itu mereka juga orang Melayu," katanya.

"Saya harap kajian ini akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan membuatkan mereka tidak lagi malu menjadi Melayu yang mengikut sejarah, panggilan ini bermaksud 'orang gunung'," katanya.

Tambahnya, faktor letusan gunung berapi, gempa bumi, banjir besar dan tsunami menyebabkan Benua Sunda telah terpisah sehingga membentuk Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Filipina dan Borneo.

"Selat Melaka sekarang sebenarnya adalah salah satu daripada sungai-sungai yang terdapat di Benua Sunda dan ini dapat menjawab persoalan para pengkaji kenapa selat ini sangat cetek," ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_05/Kajian-sahkan-Melayu-bukan-pendatang#ixzz2Ynmc5AD9 © Utusan Melayu (M) Bhd

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL