Showing posts with label TABUNG. Show all posts
Showing posts with label TABUNG. Show all posts

Monday, January 19, 2015

2403) AGENDA DAILY - 15/01/2015 - PPIM Sokong Penuh SPRM Pantau Tabung Banjir


Merujuk kepada laporan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara telah menubuhkan satu Jawantakuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dikendalikan dengan telus dan bebas daripada penyelewengan.
Berdasarkan laporan media, Jawatankuasa itu antara lain akan menyiasat semua aduan dan maklumat mengenai penyelewengan dan salah laku dalam pengurusan dana dan tabung banjir.
PPIM menyambut baik usaha ini di mana mengikut pengalaman kami, ini kali pertama pendekatan sedemikian diambil. Lebih-lebih lagi banjir kali ini merupakan paling buruk sejarah negara ini.
Justeru, banyak perkara dan usaha diambil dan akan diambil berkaitan pengurusan banjir merupakan kali pertama bagi kita. Kita tidak pernah terfikir negara akan berhadapan dengan tragedi paling buruk seperti ini. Maka, kita terlepas pandang aspek integriti dalam pengurusan bantuan kepada mangsa banjir.
Dengan pembentukan Jawantakuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir, PPIM yakin bahawa akan wujud satu mekanisme bagi memantau penyaluran dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.
Langkah proaktif ini patut disambut baik bagi memastikan penyaluran bantuan sama ada dalam bentuk wang ataupun bukan wang bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan dan salah laku. PPIM berharap, dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, tidak akan wujud unsur penyelewengan dan salah laku.
PPIM juga percaya SPRM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara akan menyediakan garis panduan atau khidmat nasihat kepada pihak-pihak yang terlibat dalam penyaluran dana dan bantuan kepada mangsa banjir.
Sementara itu, PPIM berharap akan ada satu agensi atau pertubuhan sepusat dalam soal pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.
PPIM juga mencadangkan agar pembentukan kerjasama SPRM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara ini dijadikan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) atau prosedur yang kekal apabila Kerajaan Persekutuan merangka SOP yang baharu berkaitan pengurusan tabung dan dana mangsa banjir.
Bermakna apabila ada tragedi dan musibah pada masa-masa akan datang, kerjasama seperti ini dijadikan komponen SOP dan fungsinya diaktifkan dengan serta-merta.
Malah, ini juga merupakan salah satu langkah yang baik bagi memupuk ciri-ciri integriti di kalangan rakyat negara ini dalam jangka panjang.

Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan
Naib Presiden Yayasan Anti Rasuah Kuala Lumpur Dan Selangor

Friday, October 17, 2014

2115) ARKIB BERITA PPIM - 29/8/2014 HARIAN METRO - Antara Simpati, Curiga Tabung Gaza


Antara simpati, curiga tabung Gaza

Kesengsaraan penduduk Gaza yang saban hari berdepan kekejaman tentera Israel mendapat perhatian pelbagai pihak di seluruh dunia dan tidak terkecuali masyarakat negara ini.

Pelbagai bentuk tabung bantuan dizahirkan dalam membantu mangsa seagama yang saban hari berdepan bedilan dan serangan roket tentera Zionis.

Namun, timbul persoalan adakah sumbangan yang diberikan itu benar-benar sampai kepada penduduk Gaza atau sebaliknya.

Jika betul, Alhamdulillah mulianya hati seseorang itu kerana ringan tulang membantu umat seagama yang ditindas.

Bagaimana pula jika wang didermakan atas dasar perikemanusiaan untuk membantu penduduk Gaza disalahgunakan untuk kepentingan peribadi individu yang melakukan kutipan itu. Amat menyedihkan jika perkara itu berlaku kerana mengambil kesempatan dengan kesengsaraan penduduk Gaza sebagai modus operandi meraih duit mudah.

Tidak dinafikan sumbangan atas nama bantuan untuk penduduk Gaza itu mendapat simpati rakyat negara ini yang saban hari melihat penderitaan mereka di media cetak dan elektronik.
Kesempatan mungkin diambil berikutan kemurahan hati penduduk negara ini yang menzahirkan belas ihsan kepada penduduk Gaza melalui derma dihulurkan dengan harapan ia benar-benar sampai pada mereka.

Biasanya pungutan yang agak meragukan itu dilakukan di pasar serta bazar ketika Ramadan lalu selain lokasi tumpuan ramai. Kaedah digunakan dengan meletakkan tabung bencana selain melakukan kutipan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mengesan kewujudan tabung Gaza yang tidak diketahui ke mana wang itu disalurkan. Malah, PPIM mengakui menerima aduan daripada orang ramai mengenai kecurigaan mereka terhadap kewujudan banyak tabung Gaza.

Berdasarkan aduan, ada pihak dan individu tertentu meletakkan kotak atau tabung derma Gaza sama ada di masjid, pasar dan bazar Ramadan yang menjadi tumpuan ramai. Mereka ini akan datang memungut wang di dalam tabung mengikut tempoh tertentu. Apa yang menjadi persoalan ke manakah wang itu disalurkan, adakah ia benar-benar untuk tabung Gaza atau sebaliknya.

Bagi orang ramai, mereka boleh menyelidik sama ada tabung itu memang benar-benar sah sebelum menghulurkan bantuan kerana tidak mahu wang berkenaan disalahgunakan untuk kepentingan pihak atau individu tertentu.

Ini penting bagi mengelakkan ada pihak lain yang mengambil kesempatan menggunakan nama penderitaan rakyat Gaza bagi memperoleh wang mudah untuk kegunaan sendiri.

Penulis memuji sikap mereka yang berniat baik memungut derma untuk membantu penduduk Gaza, namun agak menyedihkan jika ada di antara mereka menggunakan nama tabung Gaza untuk kepentingan sendiri.

Sikap itu perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh kerana tidak kasihankan kita apabila saban hari melihat kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman Israel.

Serangan rejim Zionis hingga kini mengorbankan lebih 2,100 penduduk Palestin yang kebanyakannya kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa.

Selain mengalami kemusnahan harta benda, ramai anak kecil kehilangan ibu bapa dan menjadi yatim piatu sekelip mata sementara berpuluh ribu terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk mendapatkan perlindungan.

Sedih, marah dan geram apabila melihat anak kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata akibat bedilan regim Zionis yang saban hari menghujani semenanjung Gaza dengan bom.

Sebagai umat Islam yang prihatin, marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya rakan seagama di Gaza selamat dan dijauhi segala bala bencana. Ya Allah, Selamatkanlah saudara Muslimku di Gaza Peliharalah mereka daripada segala bentuk kejahatan dan penindasan Tabahkanlah hati dan kuatkanlah semangat mereka Dalam menghadapi hari-hari penuh berliku. Amin...

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL