Showing posts with label SUKAGUAM. Show all posts
Showing posts with label SUKAGUAM. Show all posts

Tuesday, November 18, 2014

2230) METRO AHAD 16/11/2014 - Rayu Peluang Kedua


Kuala Lumpur: Menanti masa menjalani hukuman gantung, tiga banduan yang kian terdesak menghantar ‘surat minta nyawa’ kepada Pertubuhan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam usaha terakhir mereka memujuk mahkamah menyemak semula keputusan asal.

Tiga pucuk surat rayuan, termasuk satu dengan tulisan tangan, dikirimkan tiga banduan akhir di Penjara Kajang yang percaya dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpengaruh itu boleh membantu mereka menyediakan khidmat guaman.

Bagi kedua-dua NGO berkenaan, surat itu sangat unik serta mempunyai nilai sentimental berikutan usaha banduan berkenaan supaya diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan sama seperti orang lain.

Bermula dengan mendengar slot pengguna di sebuah stesen radio, kesempatan itu digunakan mereka untuk meminta bantuan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi SUKAGUAM Datuk Khairul Anwar Rahmat melakukan penelitian semula terhadap kes berkenaan.

Menerusi surat berkenaan yang dihantar melalui pos pada Februari, September dan Oktober lalu, ketiga-tiga mereka berharap ada penelitian semula dilakukan demi mengharapkan peluang kedua bagi mereka.

Khairul Anwar berkata, pihaknya terharu dengan tindakan tiga banduan itu yang sanggup berusaha mengirim surat, termasuk sepucuk bertulisan tangan, supaya memperoleh peluang kedua dalam kehidupan mereka.

“Kami sifatkan surat ini sangat unik kerana mereka sanggup berbuat demikian bagi membolehkan penelitian semula dilaksanakan, sekali gus mungkin memberi sinar baru kepada mereka.

“Sehingga kini, kami meneliti kes ketiga-tiga banduan terbabit dan melihat jika benar seperti didakwa mereka. Penelitian itu perlu dilakukan dengan cermat dan terperinci supaya tidak menyinggung mana-mana pihak, terutama mahkamah,” katanya kepada Metro Ahad ketika ditemui di sini.

Khairul Anwar berkata, surat itu menyatakan secara panjang lebar hasrat serta tujuan mereka mencari NGO yang mungkin dapat membantu mereka dari sudut perundangan.

Sementara itu, Nadzim berkata, surat bertulisan tangan oleh seorang banduan diterima PPIM beberapa bulan lalu yang meminta bantuan pihaknya menghubungi SUKAGUAM bagi mendapatkan khidmat peguam bagi semakan semula kesnya.

Menurutnya, banduan berkenaan terpanggil untuk menghubungi pihaknya selepas mendengar slot kepenggunaan kendalian sebuah stesen radio mengenai khidmat guaman dan penyelesaian isu pengguna.

“Saya sudah teliti surat itu dan panjangkan kepada Khairul. PPIM juga kini memperhalusi kemungkinan untuk merujuk surat berkenaan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Peguam Negara selepas ini,” katanya.

Bagi kedua-dua aktivis itu, mereka senada bahawa kes seperti itu perlu dirujuk kepada pihak berwajib lebih awal, iaitu sebelum hukuman dijatuhkan bagi tujuan semakan dan pembetulan jika ada kesilapan teknikal dalam kertas pendakwaan.

“Kita berharap semuanya berakhir dengan baik kepada keluarga dan sahabat handai mereka. Apapun, kita doakan yang terbaik buat mereka. Jadikanlah iktibar dalam kehidupan kita,” katanya.


KHAIRUL Anwar menunjukkan surat yang diterimanya.




Tuesday, May 27, 2014

1934) NIB 27/05/2014 BERITA HARIAN - SUKAGUAM TAWAR KHIDMAT SAMAN PENGELUAR


Headline: SukaGuam tawar khidmat saman pengeluar
Publication: BH
Date of publication: May 26, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 005

Kuala Lumpur: Umat Islam di Malaysia yang berhasrat memfailkan saman terhadap pengeluar coklat susu Cadbury Dairy Milk yang disahkan mengandungi DNA babi, boleh mendapatkan bantuan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).

Sambil menegaskan pengguna ada hak dan asas kukuh untuk mengambil tindakan berkenaan, Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata pihaknya juga banyak menerima aduan umat Islam di Malaysia, sama ada secara individu atau berkumpulan yang berasa tertipu dan teraniaya kerana sudah membeli dan termakan produk berkenaan.

Kerjasama PPIM

Berikutan itu katanya, SukaGuam akan bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mengumpul seramai mungkin umat Islam yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.

"Syarikat terbabit menggunakan DNA babi dalam coklat susu yang sudah disahkan dan punya sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Tindakan sama sebagai pengajaran kerana ramai umat Islam berasa mual, tertipu dan trauma selepas tahu makanan yang dibeli dan dimakan mereka selama ini mengandungi DNA babi," katanya semalam.

Siasat percanggahan maklumat

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin menggesa siasatan terperinci dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan JAKIM berhubung isu berkenaan kerana ada percanggahan keterangan maklumat terhadap analisis yang dikeluarkan seperti kekeliruan ejaan nama produk.

Katanya, keraguan itu ditambah lagi apabila tiada Skim Akreditasi SAMM yang dikendalikan oleh Jabatan Standard Malaysia seperti disebarkan dalam laman sosial, sekali gus mengundang tanda tanya mengenai ketepatan dan kesahihan analisis terbabit.

"Justeru, saya cadangkan kementerian dan agensi berkaitan buat ujian kali kedua dalam masa terdekat dan disahkan oleh pihak ketiga untuk memastikan sampel benar-benar tercemar dengan DNA babi bagi meredakan keresahan masyarakat.

"Jika ujian kedua menghasilkan keputusan sama, kerajaan perlu ambil tindakan drastik dan tegas, haramkan semua produk syarikat terbabit dan tarik balik lesen perniagaan mereka kerana melanggar akta makanan," katanya yang turut menggesa JAKIM membuat pemantauan susulan dengan lebih kerap supaya pengeluar tidak leka.

Friday, February 22, 2013

703) BERITA : 'Saya sangat tertekan'



Publication: Harian Metro
Date of publication: Feb 22, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 061
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya bersyukur dalam keadaan yang masih tidak menentu ini, ibu bapa masih bersama memberikan semangat. Kalau diikutkan, memang saya sudah tak tahan menanggung beban ini, mujur PPIM dan SukaGuam sudi membantu.

"Kalau dapat selesai masalah ini, saya harap dapat temankan anak yang sakit kerana sejak berdepan kes ini, saya sangat tertekan," kata Raziah Hussein, 56, yang kini berstatus muflis, tetapi terpaksa melangsaikan hutang lebih RM80 juta.

Jumlah sebegitu banyak kini diletakkan di bawah tanggungjawabnya gara-gara membenarkan namanya disenaraikan dalam salah satu syarikat milik majikan sejak 1986, yang kemudian membuat pelbagai jenis pinjaman tanpa pengetahuannya.

Raziah bagaimanapun tidak keseorangan berdepan masalah itu selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) akan membawa perkara itu kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) minggu depan.

Dalam pertemuan bagi membincangkan perkara itu semalam, kedua-dua pihak komited untuk membantu Raziah menyelesaikan masalah berkenaan dengan satu pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dijadual dalam masa terdekat.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan maklumat awal diterima daripada PPIM sebelum ini, pihaknya akan membantu Raziah dan mengkaji permasalahan yang timbul.

Katanya, ia akan menjadi kes rujukan mewakili 240,000 orang diisytihar muflis oleh MdI dan dalam kes Raziah, ia berkemungkinan besar membabitkan sindiket tertentu yang ingin mengaut keuntungan mudah.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah pun memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengarah Mdl, Rohana Abdul Malek serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed untuk tindakan susulan.

Menurutnya, perbincangan selanjutnya turut merangkumi cadangan supaya piagam pelanggan MdI dirombak kerana ia membebankan orang ramai termasuk dibankrapkan biarpun tidak pernah membuat sebarang pinjaman atau menjadi penjamin.

Harian Metro 31 Januari lalu melaporkan seorang kerani berkhidmat di sebuah syarikat selama 26 tahun menerima saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman sebuah institusi kewangan berjumlah RM80 juta.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL