19 JULAI:
Lembaga Tabung Haji (TH) bukanlah sebuah institusi kewangan Islam biasa dan
tidak layak untuk diletakkan di bawah pentadbiran Akta Perkhidmatan Kewangan
Islam 2013.
Justeru,
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merayu agar kerajaan mengkaji semula
cadangan untuk meletakkan institusi milik umat Islam di bawah Bank Negara
Malaysia (BNM).
PPIM
memaklumkan, jaminan kerajaan ke atas simpanan tidak boleh menjadi asas untuk
mengawas tadbir urusnya di bawah BNM kerana terdapat akta khusus yang mengawal
Tabung Haji.
“Tabung
Haji adalah over and above kewangan perkhidmatan Islam kerana tujuan utama
simpanan oleh umat Islam negara ini adalah untuk tujuan menunaikan tuntutan
agama itu.
“Tabung
Haji bukan sahaja sebuah institusi simpanan tetapi sebuah institusi pelaburan
yang bebas melabur dalam banyak bidang dan bukan seperti bank-bank biasa yang
hanya cenderung kepada menjadi peminjam yang menawarkan perkhidmatan yang menekan
pengguna.
“Kami
dengan ini membantah sekeras-kerasnya keputusan Jemaah Menteri meletak Tabung
Haji ini di bawah pengurusan BNM,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu,
Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah
baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh membabitkan cadangan dasar
model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.
Jemaah
Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam
yang ditetapkan mengikut Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan
dikawal selia BNM.
Namun,
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kajian
semula model operasi TH adalah bertujuan bagi memastikan isu tadbir urus,
integriti dan reputasi TH ditambah baik di masa akan datang.
Beliau
berkata semakan semula Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan
kemampanan dan daya maju institusi kewangan itu di masa depan sebagai asas
perlindungan kepada semua pendeposit TH.
Dalam masa
sama, Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan juga komited bahawa
simpanan pendeposit TH yang kini mencecah RM80 bilion dijamin sepenuhnya oleh
kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras
Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut memberitahu, BNM mempunyai Lembaga
Perkhidmatan Kewangan Islam dan Majlis Penasihat Shariah dianggotai individu
berpengalaman diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
15 JUN: Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Dr Husaini Omar, diarahkan menjalankan siasatan terperinci mengenai tindakan Universiti Malaya (UM) menghalang seorang pelajar mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) kerana belum menerima vaksin.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kementeriannya memandang serius tindakan Universiti Malaya (UM) menghalang pelajar yang belum menerima vaksin Covid-19 dari mengambil bahagian dalam aktiviti PdP dan peperiksaan pelajar klinikal fakulti perubatan.
“Adalah diingatkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih sedang berjalan dan belum mencakupi seluruh rakyat Malaysia, termasuk pelajar universiti.
“KPT menyokong penuh usaha menggalakkan mahasiswa mendaftar untuk menerima vaksin, namun mengingatkan universiti-universiti bahawa mereka tidak dibenarkan membuat SOP dan Peraturan berkaitan Covid-19 secara terasing dari keputusan MKN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noraini berkata perlu juga ditegaskan bahawa kebenaran menjalani program akademik dan latihan adalah tertakluk kepada kebenaran dan SOP yang dikeluarkan oleh KPT dan MKN.
“Universiti tidak dibenarkan membuat SOP dan Peraturan berkaitan Covid-19 secara terasing dari keputusan MKN.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mempunyai peraturan yang berbeza antara mereka telah divaksin dengan yang belum divaksin.
“Justeru semua universiti seharusnya memastikan kebajikan pelajar terjaga terutamanya PdP dan juga proses penilaian agar pelajar tidak ketinggalan dalam tempoh pandemik Covid-19 bagi memastikan kelangsungan akademik di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan seorang pelajar perubatan sebuah universiti tempatan mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin COVID-19.
Nik Farah Ellisha Mohd Razif, 22, sebelum itu sudah memaklumkan kepada pihak universiti bahawa dirinya tidak mahu mendapatkan vaksin berkenaan. Akibat didesak pihak universiti, dia kemuidan bersetuju mendapatkan vaksin jenama pilihannya sebelum memaklumkan kepada pihak universiti berkenaan April lalu.
Pihak universiti memberitahu akan memberikan tarikh temujanji kepada saya bagi mendapatkan vaksin namun hingga pada hari peperiksaan pada 8 dan 9 Jun lalu, saya masih tidak mendapat tarikh temujanji untuk vaksinasi dan ketika hadir untuk menduduki peperiksaan penting itu, pihak universiti melarang dan meminta saya meninggalkan dewan.
Berikutan itu, Nik Farah, hadir membuat laporan polis mengenai perkara itu bersama Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, pada 14 Jun lalu. – Oleh HAIKA KHAZI
Artikel oleh: PN BBC Portal
KPT SIASAT ISU PELAJAR UM DIHALANG AMBIL PEPERIKSAAN
31 MEI: Tindakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyumbangkan senaskah al-Quran kepada sepasang suami isteri ‘gelandangan’ di Pulau Pinang, baru-baru ini disifatkan sebagai usaha terdesak untuk meraih undi masyarakat Melayu dan Islam.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata sememangnya DAP ketika ini terlalu terdesak mendapatkan undi Melayu dan Islam, selepas tidak mempunyai sokongan besar daripada parti Melayu.
“DAP ini terlalu terdesak untuk mendapat undi Melayu Islam, seperti sebelum ini pun mereka mengharapkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), tetapi parti ini langsung tidak boleh memenuhi apa diharapkan mereka.
“Justeru DAP kemudian beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan sewaktu zaman Tun Mahathir dulu, dia dapatlah sedikit daripada bahagian undi Melayu Islam.
DR MOHD ZUHDI
“Namun, apabila bekas Perdana Menteri itu tidak bersama BERSATU lagi, jadi mereka dilihat berusaha sendiri, tidak mengharapkan mana-mana parti berasaskan Melayu ini, justeru antara caranya adalah dengan apa dibuat steven sim sekarang lah,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.
Mohd Zuhdi berkata, daripada ‘menghadiahkan’ kitab suci itu kepada orang Islam, beliau mencadangkan Steven supaya membaca dan mendalaminya sendiri bagi memperoleh hidayah mendekati Islam.
“Maka saya cadangkan dia (Steven) baca sendiri al-Quran, mana tahu terbuka hati dia untuk masuk Islam.
“Kemudian dia boleh menyertai parti-parti yang berasaskan Melayu Islam, itu saya punya nasihatlah,” katanya.
Sebelum ini, Steven menerusi Facebook rasminya, berkongsi kisah beliau bertemu sepasang suami isteri berasal dari Kelantan yang berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa berteduh dan tidur di tepi jalan selama beberapa hari.
Pasangan itu yang dikatakan ingin memulakan kehidupan baharu akibat kesusahan di kampung halaman, berhijrah ke Pulau Pinang, tetapi berdepan kesukaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Steven kemudian tampil membantu pasangan muda itu dengan menempatkan mereka sementara di hotel, menyediakan rumah, membelikan pakaian baharu, membelanjakan barangan keperluan bagi tempoh dua minggu PKP, menghadiahkan telefon bimbit dan mendapatkan kerja untuk suaminya.
Bagaimanapun, tindakan Steven Sim yang menyerahkan ‘hadiah’ berbentuk al-Quran sebagai panduan hidup kepada pasangan terbabit, menimbulkan ketidakpuasan hati segelintir orang Melayu dan Islam.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata walaupun niat sebenar Steven menyerahkan al-Quran itu tidak dapat dirumuskan secara zahir, perkara terbabit menimbulkan rasa janggal masyarakat Melayu Islam.
“Orang rasa agak janggal macam mana individu bukan Islam seperti dia memberi al-Quran kepada orang Islam, sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah niat sebenar dia berbuat demikian,” katanya.
Azmi berkata, sekiranya Steven benar-benar jujur, beliau sepatutnya menerangkan secara terbuka bahawa sumbangan bantuan diberikannya kepada individu Melayu dan Islam, termasuk al-Quran itu bukan bermotifkan politik atau cuba meraih perhatian serta undi golongan penerima.
Katanya, Steven juga diharapkan tidak menonjolkan usahanya membantu individu Melayu Islam atau seolah-olah berbuat demikian untuk ‘memancing’ mereka.
Beliau berkata, ketika ini Steven secara berterusan menunjukkan sumbangan diberikan secara meluas, seperti seolah-olah mahu menaikkan imejnya dalam membantu golongan berkenaan.
“Kali ini bila dia gunakan al-Quran itu agak mengejutkan org macam satu tamparan sebab orang akan tengok ‘dia bukan islam pun dia nak bagi al-quran’, jadi membuatkan orang memberi tafsiran bahawa dia mungkin berniat tidak baik.
“Bagi saya, sepatutnya Steven membawa sesiapa yang dia mahu tolong berjumpa pihak Islam berkepentingan untuk mendapatkan bantuan tepat dan jika dia juga mahu bantu, boleh sahaja berikan derma susulan,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pihak berkepentingan Melayu dan Islam seharusnya lebih peka mengenalpasti golongan memerlukan untuk mengelakkan berlakunya ‘kontroversi’ apabila terdapat pihak tertentu daripada bangsa serta agama lain menghulurkan bantuan.
Tegasnya, dalam konteks membantu golongan berdepan kesempitan kehidupan di negara ini, masyarakat Melayu dan Islam juga perlu mengubah cara serta pendekatan bagi memudahkan individu berkaitan mendapatkan pertolongan sewajarnya.
Nadzim berkata, apa yang menyedihkan, kadangkala masyarakat Melayu dan Islam sendiri tidak melaksanakan peranan sebaiknya, justeru tampil pihak berkepentingan tertentu berbuat demikian bagi mengambil kesempatan atau mendapatkan promosi.
“Kalau kita melihat entah dia (Steven) memang terbuka dan mahu memberi Al-Quran, kita tidak tahu, tetapi kadang masyarakat Melayu dan Islam sendiri tak buat apa juga, walaupun mereka sepatutnya melebihi apa dibuat pemimpin DAP terbabit.
“Apa berlaku di sekeliling kita kena peka, kalau tak jadi lemah lah, orang lain ambil kesempatan, contohnya pemberian derma, bila Islam tidak buat, orang bukan Islam sentiasa buat, malah kadang duit pun susah orang memerlukan ini dapat.
“Justeru, kita harus memperkasakan dan memperkemaskan masyarakat Melayu dan Islam supaya bersungguh-sungguh menjalankan peranan membantu golongan memerlukan, seperti peranan masjid, peranan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
18 MEI: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengadakan kempen boikot produk Israel secara besar-besaran di seluruh negara dan menyeru rakyat Malaysia untuk menyertainya.
Empat produk utama yang diseru PPIM menerusi kempen ini iaitu Coca-Cola, Puma, Starbucks dan juga Hewlett-Packard (HP).
PPIM menerusi kenyataan memaklumkan kempen yang akan dijalankan sepanjang tempoh enam bulan itu bertujuan memberi kesedaran bahawa Islam itu kuat walaupun tidak berlawan dengan perperangan.
Menurut beliau, ini sekaligus dapat mendidik masyarakat Islam terutamanya untuk sentiasa cakna dengan permainan yang dibawa oleh Zionis Israel.
“Dengan dunia serba moden dan mudah bagi mendapatkan maklumat, banyak antara kita telah terpedaya dan alpa dek manipulasi media Zionis yang tidak berkesudahan.
“Produk yang perlu di boikot sejak dahulu lagi semakin diterima masyarakat hasil usaha propaganda dan manipulasi mereka. Rakyat Palestin sudah lama ditindas oleh rejim Zionis dengan pencerobohan hak-hak kemanusiaan dan melakukan banyak jenayah perang terhadap mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, PPIM memaklumkan bagi memutuskan rantaian sokongan ekonomi Israel, pendedahan penglibatan badan-badan korporat besar yang terlibat secara langsung atau tidak adalah amat diperlukan dalam mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel.
“Sekiranya usaha ini diabaikan, kita akan berterusan alpa bahawa kita adalah penyumbang sebenar kepada kematian saudara Islam di Palestin,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan empat produk utama yang perlu diboikot, PPIM memberitahu The Central Bottling Company-CBC(Coca-Cola Israel) mengendalikan salah satu fasiliti pembotolan terbesar dunia dan berkembang menjadi sekumpulan syarikat yang menguasai 40 peratus daripada pasaran air minuman Israel dan mempunyai monopoli yang jelas dalam sektor Coke tempatan.
“CBC mempunyai kilang Coca-Cola di penempatan haram Atarot yang dibina di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin dan menyalahi undang-undang antarabangsa di samping memiliki ladang-ladang tenusu di kawasan penempatan haram di Shadmot Mecola,Lembah Jordan dan sebuah loji di zon industrivKatzerin di Bukit Golan, “katanya.
Bagi Puma, PPIM memaklumkan produk sukan terkenal itu merupakan penaja tunggal antarabangsa Persatuan Bolasepak Israel (IFA), yang memberikan hak legitimasi kepada semua tindak-tanduk IFA.
Tambah PPIM, ini termasuk enam buah kelab bola sepak telah didokumenkan oleh Pemerhati Hak Asasi Manusia sebagai kelab bola sepak yang berpusat di penempatan haram di Palestin yang telah dirampas oleh tentera Israel.
“Selain itu, Pengasas, pengerusi, dan presiden Starbucks Corporation, Howard Schultz memiliki sebanyak 31.6 juta saham Starbucks merupakan seorang penyokong Zionis yang aktif.
“Beliau juga merupakan penerima anugerah “The Israel 50th Anniversary Friend of Zion Tribute Award’ atas sumbangannya terhadap pergerakan Israel yang turut memainkan peranan dalam hubungan rapat antara Amerika-Israel.
“Bagi produk HP, syarikat itu merupakan pmbekal kepada tentera Israel sejak 2009 yang mempunyai kontrak dengan polis Israel dalam pengendalian pusat data menggunakan server HP di samping menghasilkan system ID biometric untuk mengesan dan mengawal pergerakan rakyat Palestin.
“Sistem ini membolehkan kerajaan mengawal dan menguatkuasakan pengasingan kaum dan apartheid terhadap warga Israel Palestin Israel, dan terlibat secara langsung dalam sistem penempatan kolonial Israel melalui “Yesha database”, yang mengumpul maklumat warga Israel di penempatan haram di kawasan Tebing Barat Palestin, ” katanya.
Artikel oleh: PN BBC Portal
PPIM SERU RAKYAT MALAYSIA BOIKOT EMPAT PRODUK ISRAEL
14 APRIL : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan unit khas dalam mengendalikan kes-kes aduan membabitkan penerima vaksin COVID-19 yang mengalami implikasi kesihatan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan kejadian-kejadian sebelum ini, KKM hanya mengesahkan individu yang telah menerima vaksin dan meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kronik iaitu sakit jantung.
Justeru, beliau berkata, dengan adanya unit khas itu akan memudahkan penerima vaksin yang mengalami implikasi kesihatan membuat tuntutan.
“Hampir kebanyakan kematian selepas menerima vaksin dirujuk sebagai sakit jantung. Persoalannya adakah ahli keluarga boleh membuat tuntutan bagi penerima yang terkesan ini.
“Atau bagaimana cara ahli keluarga hendak meneruskan tuntutan atas kematian mangsa. Adakah implikasi yang dialami oleh penerima vaksin ini boleh dituntut atau sebaliknya, semua perkara ini masih tidak jelas,” katanya pada sidang media ‘Segera Wujud SOP Tangani Kesan Sampingan Vaksin Covid-19’ di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan bantuan khas kewangan kesan mudarat COVID-19 sebanyak RM500,000 akan diberi kepada penerima vaksin di negara ini, jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin Covid-19.
Adham berkata, perkara itu dipersetujui kerajaan dengan pemberian bantuan kepada penerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Selain itu, katanya, bantuan RM50,000 diberi jika berlaku kesan sampingan yang serius kepada penerima vaksin yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.
Dalam pada itu, Nadzim memberitahu kerajaan juga sebelum ini pernah mengumumkan akan memberi bantuan kepada yang terkesan dan perkara itu dimaklumkan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berdasarkan garis panduan yang dilakukan di Singapura.
“Tuntutan berkenaan amat penting bagi membantu mangsa atau ahli keluarga yang terjejas akibat implikasi kesihatan yang diterima oleh penerima vaksin,” katanya.
Sementara itu, Nadzim mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas serta telus perlu disediakan KKM bagi memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Tambah beliau, dengan adanya SOP itu, hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok mampu tercapai.
“Saya juga mengesyorkan KKM supaya telus dalam mengeluarkan data penerima vaksin Covid-19 yang mengalami implikasi kesihatan termasuk kematian.
“Keterbukaan itu penting bagi mengelakkan tercetusnya berita-berita palsu dari pihak-pihak lain. Ini kerana ada berita yang tersebar bukan kenyataan dari KKM tetapi spekulasi netizen,” katanya.
Artikel oleh: PN BBC Portal
TUBUH UNIT KHAS KENDALI ADUAN PENERIMA VAKSIN COVID-19 - PPIM
27 DIS: Kerajaan perlu menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dan mendedahkan segera dalang sindiket kartel haram termasuk kemungkinan pembabitan individu berprofil tinggi dan orang kenamaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya juga sudah membuat saranan awal kepada kerajaan supaya mendedahkan segera nama-nama syarikat yang terbabit dalam kartel penyeludupan dan pengedaran daging import haram.
“Ini penting bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap keabsahan status halal daging import yang berada dalam pasaran.
ASYRAF WAJDI DUSUKI
“Pemuda UMNO juga mendesak agar ditubuhkan segera pasukan khas yang melibatkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan industri halal termasuk pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak terbabit dengan penyelewengan termasuk rasuah dalam isu kartel daging haram ini.
“Jangan ada sebarang usaha menutup atau pun melindungi mana-mana pihak termasuk jika ada individu berprofil tinggi mahu pun orang kenamaan (VVIP) yang terbabit dengan penyelewengan amanah umat Islam ini,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menegaskan PPIM memang menyokong desakan banyak pihak supaya kerajaan mendedahkan nama dalang sebenar di sebalik sindiket kartel daging import haram terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu berhati-hati supaya tiada pihak atau jenama produk yang diciplak oleh sindiket berkenaan tidak teraniaya.
NADZIM JOHAN
“Dedah itu OK. Namun kita takut ia akan menjejaskan nama jenama produk ‘OK’ yang digunakan sindiket kartel berkenaan untuk membawa masuk daging haram ke Malaysa.
Sebab itu kita melahirkan rasa khuartir bahawa pendedahan berkenaan akan menjejaskan jenama produk halal yang digunakan oleh sindiket-sindiket untuk melindungi aktiviti membawa masuk daging import secara haram dengan menggunakan jenama dan cop halal palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI
Artikel oleh: PN BBC Portal
SIASAT JIKA VVIP TERLIBAT KARTEL DAGING HALAL PALSU