Showing posts with label LADANG BABI. Show all posts
Showing posts with label LADANG BABI. Show all posts

Thursday, May 14, 2026

PODCAST PPIM | ISU BANTAHAN TERHADAP PROJEK LADANG BABI DI SELANGOR - PPIM - 14/05/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius cadangan pembinaan ladang babi berskala besar seluas kira-kira 500 ekar di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dikhuatiri mampu mengancam keselamatan sumber air, alam sekitar serta kesejahteraan rakyat di negeri Selangor.

Perkara ini dibincangkan dalam sebuah podcast yang menampilkan Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi, Aktivis NGO Negarawati merangkap wakil penduduk Bukit Tagar, Puan Shahida, serta aktivis Melayu, Tuan Syed Hassan Ali yang bersama-sama menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap projek tersebut.

PPIM menegaskan bahawa kawasan terbabit berada berhampiran kawasan tadahan air Sungai Selangor yang menjadi sumber utama bekalan air kepada jutaan rakyat di Selangor termasuk kawasan Shah Alam, Klang dan Lembah Klang. Sebarang risiko pencemaran akibat aktiviti penternakan berskala besar ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar untuk jangka masa panjang.

PPIM juga mengambil kira kebimbangan rakyat berdasarkan sejarah hitam tragedi wabak virus Nipah di Bukit Pelanduk yang pernah meragut nyawa dan memberi kesan besar kepada negara suatu ketika dahulu. Risiko seperti ini tidak boleh dipandang ringan demi menjaga kepentingan generasi akan datang.

Dalam masa sama, PPIM menegaskan bahawa titah Sultan Selangor yang menolak pembinaan ladang babi baharu di negeri ini wajib dihormati oleh semua pihak. Sebarang usaha mempertikai, membelakangi atau mencari jalan untuk meneruskan projek tersebut adalah tindakan yang tidak wajar serta boleh dilihat sebagai mencabar institusi diraja.

PPIM turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan golongan tertentu berbanding kepentingan rakyat dan alam sekitar. Isu melibatkan pencemaran, keselamatan sumber air serta kesan sosial kepada masyarakat tidak boleh dipandang enteng hanya demi keuntungan ekonomi pihak tertentu.

Sehubungan itu, PPIM menyeru seluruh rakyat agar bersatu mempertahankan kedaulatan institusi raja, keselamatan alam sekitar dan hak rakyat untuk menikmati sumber air yang bersih serta persekitaran yang selamat. PPIM juga menyokong usaha rakyat yang mahu melihat projek ini dibatalkan secara rasmi dan muktamad demi kepentingan awam.

“Air adalah hak rakyat. Alam sekitar bukan untuk diperdagangkan. Jangan gadai masa depan generasi akan datang demi kepentingan sementara.”

Wednesday, January 21, 2026

TVPPIM | TOQQI PODCAST ISU LGBT & LADANG BABI - METRONEWS KL - 20/01/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan pihaknya menerima lambakan aduan daripada masyarakat yang meluahkan kemarahan berhubung isu cadangan pembinaan kandang babi moden bernilai rm4 bilion serta normalisasi agenda lgbt yang kian meruncing.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, menegaskan bahawa isu-isu sensitif ini jika tidak ditangani dengan bijak, boleh menjadi percikan api yang merosakkan perhubungan kaum di negara ini.

Mengulas mengenai isu penternakan babi, Nadzim menyeru semua pihak agar menghormati pandangan dan titah sultan selangor yang sebelum ini telah menyentuh mengenai perkara tersebut.

Menurut beliau, tindakan meneruskan projek bernilai rm4 bilion itu dilihat sebagai satu langkah yang "tidak bijak".

Beliau turut memetik contoh pencemaran yang berlaku di port dickson sebagai bukti kesan negatif industri tersebut terhadap alam sekitar yang akhirnya menyedihkan rakyat.

Selain isu penternakan, Nadzim turut meluahkan kegusaran terhadap penerimaan agenda LGBT secara terbuka oleh pihak-pihak tertentu. Beliau menyifatkan budaya tersebut sebagai "tidak sihat" dan boleh mencetuskan perselisihan faham yang serius.

Beliau memberi amaran keras kepada ahli politik agar tidak menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu-isu ini demi kepentingan tertentu.

Menurutnya, keharmonian kaum adalah aset paling berharga bagi malaysia yang perlu dipertahankan.

#PPIM #LGBT #LADANGBABI

Sumber: Metronews KL

TVPPIM | TOQQI PODCAST ISU LGBT & LADANG BABI

https://www.youtube.com/watch?v=2YrQcyrRo1E

Thursday, January 15, 2026

AKTIVITI | MESYUARAT NGO-NGO ISLAM MALAYSIA: ISU LADANG BABI DAN PERKELAHAN LGBT - PPIM - 15/01/2025

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi hadir ke Mesyuarat NGO-NGO Islam Malaysia yang diadakan di Anjung Melayu, Rumah DPMM, Kuala Lumpur.

Mesyuarat membincangkan isu ladang babi yang menimbulkan kebimbangan dari segi masalah alam sekitar, kesihatan awam serta sensitiviti masyarakat Islam yang tinggal berhampiran.

Selain itu, perkelahan LGBT juga dibangkitkan sebagai isu sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai-nilai masyarakat Melayu Islam, dan memerlukan tindakan serta kesedaran bersama daripada NGO-NGO Islam dalam usaha memelihara nilai moral dan akhlak masyarakat.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL