Showing posts with label HARGA TOL. Show all posts
Showing posts with label HARGA TOL. Show all posts

Tuesday, October 20, 2015

2897) TOL NAIK, TARAF HIDUP PUN NAIK


BEBERAPA kumpulan pengguna menyuarakan kebimbangan berhubung kenaikan kadar tol yang dijangka menambah lagi tekanan dan bebanan terhadap kos sara hidup, yang semakin meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Berkuatkuasa Khamis lepas, kadar tol di beberapa lebuh raya dan jalan utama termasuk di Lembah Klang yang dikendalikan beberapa syarikat konsesi naik antara 10 sen dan RM6.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata peningkatan berterusan kos pengangkutan akan menyebabkan kos operasi perniagaan turut meningkat, dan secara langsung melonjakkan harga barangan dan perkhidmatan.

"Kerajaan tidak boleh menyalahkan peniaga dan penjaja jika menaikkan harga barangan kerana mereka tidak mempunyai pilihan apabila kos operasi meningkat.

"Tetapi, sebarang kenaikan harga ekoran daripada kenaikan kadar tol hendaklah munasabah dan tidak keterlaluan sehingga menyusahkan rakyat, yang sebagai pengguna telah pun dibebani dengan kos sara hidup semakin tinggi," katanya kepada Bernama.


Pantau peniaga


Sebelum ini, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKM), Datuk Mohamad Mahmood dilaporkan berkata persatuan peniaga membayangkan bahawa peningkatan harga barang tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kadar tol.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, kerajaan hendaklah selalu memantau golongan peniaga dan harga pelbagai barangan.

Apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April lalu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan Akta Anti Pencatutan 2011 dengan lebih tegas ke atas para peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan.

"Saya harap kerajaan akan mengemas kini undang-undang sedia ada dan menggunakannya terhadap peniaga ingkar yang menggunakan kenaikan tol sebagai alasan untuk mengenakan harga berlipat kali ganda.

"Sebelum ini pihak berkuasa tidak mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan apabila kadar tol atau harga minyak naik," katanya.

Beliau mengakui bimbang jika para peniaga menggunakan lori sebagai kos pengangkutan akan tetapi nilai setiap satu unit barang dikenakan sehingga 50 sen, kerana hal berkenaan adalah tidak wajar memandangkan jarak perjalanan dan laluan adalah berbeza.


Perbaiki perkhidmatan


Mohd Yusof juga menggesa agar syarikat konsesi memperbaiki perkhidmatan sedia ada yang didapati kurang memuaskan selama ini.

"Sepatutnya kerajaan menyenaraikan apa yang perlu ditambah baik oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebelum menaikkan kadar tol dan memastikan jalan raya tersebut selesa digunakan serta memenuhi syarat piawaian sewajarnya.

"Syarikat konsesi lebuh raya yang gagal memenuhi syarat atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu dikenakan 'penalti' dan tidak boleh menaikkan kadar tol," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, yang bersetuju dengan Mohd Yusof menegaskan, syarikat konsesi bukan sahaja perlu memastikan lebuh raya sentiasa selamat untuk pengguna tetapi juga mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Memang keterlaluan jika pengguna terpaksa membayar kadar tol yang tinggi namun pada masa sama masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa dalam perjalanan di lebuh raya, terutamanya semasa musim perayaan," katanya.

Walaupun kerajaan mempunyai hak mutlak untuk menaikkan kadar tol, beliau berpendapat masa sekarang tidak kondusif untuk melaksanakannya, terutamanya setelah GST baru saja dilaksanakan enam bulan lalu, dan nilai Ringgit pula menyusut secara mendadak berbanding dolar AS.

"Bukan sahaja rakyat tetapi juga komuniti perniagaan terkejut dengan kenaikan tol yang agak tinggi ini," kata beliau sambil menambah bahawa kerajaan sepatutnya mengadakan dialog dengan pengguna dan kumpulan-kumpulan perniagaan sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menangguhkan pelarasan baru tol itu ke suatu masa yang lebih sesuai pada masa depan untuk memberi rakyat "ruang bernafas" setelah melalui beberapa kenaikan itu.

Kementerian Kerja Raya dilaporkan berkata bahawa kerajaan telah menangguhkan kenaikan tol di lebuh raya sejak tahun 2008 untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

Selain itu, kerajaan juga membayar RM1,108.91 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya dari 2008 hingga 2013, manakala pada 2014 dibayar sebanyak RM402.99 juta.


Jalan alternatif


Sementara itu, bagi eksekutif pentadbiran Najwa Azhar, 28, yang bekerja di sektor swasta, kenaikan tol bermakna pertambahan perbelanjaan bagi para pekerja berulang-alik ke tempat kerja menggunakan lebuh raya bertol.

"Saya menggunakan LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong) setiap hari untuk pergi ke pejabat. Tetapi saya bernasib baik kerana boleh membuat tuntutan tol daripada majikan bagi perjalanan-perjalanan itu. Pasti akan terasa kesannya bagi mereka yang tidak boleh membuat tuntutan," katanya sambil mengakui kadar baru tol "agak mengejutkan" dan bahawa kebanyakan orang terpaksa menggunakan lebuh raya bertol kerana jalan alternatif biasanya sesak.

Selain LDP, Lebuh raya-lebuh raya lain yang terlibat adalah Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga). - SINAR HARIAN

Thursday, October 15, 2015

2888) KENAIKAN HARGA TOL: KERAJAAN DIGESA NAIK TARAF JALAN LAMA

'Angkatan Bahaman Temerloh' membantah kenaikan tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak serta mendesak kerajaan mempromosikan segera jalan persekutuan Bentong–Gombak sebagai laluan alternatif pengguna bagi mengelak tol.

Pengerusinya, Abdul Razak Endut berkata, kenaikan kadar tol yang diumumkan beberapa syarikat konsesi termasuk syarikat Anih Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak disambut dengan reaksi negatif majoriti rakyat Malaysia.

Menurutnya, kenaikan harga baharu yang bermula dari 30 sen hingga RM3 mengikut kawasan tol-tol yang diselenggara ternyata tidak disenangi majoriti para pengguna tol, terutama pengguna di kawasan antara bandar.

“Ini membebankan khususnya yang akan menggunakan lebuh raya untuk ke tempat kerja, ke bandaraya malah di taman perumahan tiada akses lain untuk keluar kecuali melalui tol,” katanya mengulas isu ini semalam.

Abdul Razak berkata, pelbagai persatuan yang terlibat dalam menjaga kebajikan pengguna seperti Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) antaranya dengan jelas menolak kenaikan harga baharu tol yang dilihat bakal membebankan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, rakyat masih dibebani dengan masalah ekonomi, kos sara hidup yang semakin tinggi, kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa serta kadar hutang isi rumah yang semakin meningkat.

“Angkatan Bahaman mendesak pihak kerajaan terlibat secara aktif memohon kepada syarikat ini supaya menangguhkan sementara sehingga kerajaan mengambil langkah-langkah konkrit terhadap beberapa perkara berkaitan.

“Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah memantau dan menyelenggara dengan lebih rapi penggunaan jalan alternatif sebagai jalan pilihan yang percuma tanpa dikenakan tol.

“Memang jalan alternatif ini sudah ada dibina sejak era kolonial di Tanah Melayu lagi, tapi yang menjadi masalah kini adalah apabila jalan alternatif ini tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Abdul Razak berkata, malah hampir kebanyakan pengguna Lebuhraya Karak tidak mengetahui kewujudan jalan ini kerana kurang promosi untuk menggunakannya.

"Jalan ini juga berisiko kerana tidak diselenggara dengan rapi serta tanah runtuh kerap berlaku terutama pada musim tengkujuh.

“Satu transformasi yang bersungguh terhadap kondisi jalan persekutuan Bentong-Gombak ini haruslah diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat di pantai timur,” katanya. - Sinar Harian

Tuesday, October 13, 2015

2885) SENARAI KENAIKAN HARGA TOL MULAI 15 OKTOBER 2015




HARGA TOL DI BEBERAPA LEBUHRAYA DISAHKAN AKAN NAIK DAN MULA BERKUATKUASA PADA TARIKH 15 OKTOBER 2015.

Antara lebuhraya yang terlibat adalah, Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang (SILK), Lebuhraya Karak- Kuala Lumpur (KLK), Lebuhraya LATAR, Lebuhraya NPE, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya LKSA, GUTHRIE, LEKAS, AKLEH, Lebuhraya Senai-Desaru dan tol Terowong SMART. Kesemua tol di lebuh raya berkenaan mencatatkan kenaikan bermula dari RM0.20sen hingga RM3.00.


Senarai Kenaikan Harga Tol Mulai 15 Oktober 2015
  • Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke) – Tol naik antara 30 sen dan RM1
  • Lebuhraya Maju Expressway (MEX) – Tol naik antara 20 sen dan RM3
  • Lebuhraya Kajang-SILK – Tol naik antara 40 sen dan RM2.40
  • Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) - Tol naik antara 30 sen dan RM3
  • Tol Terowong SMART – Tol naik antara RM1 kepada RM3 bagi setiap kenderaan
  • Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) - Tol naik antara 30 sen dan RM1.50
  • Lebuhraya Baru Pantai (NPE) - Tol naik antara 40 sen hingga RM2.10
  • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) - Tol naik antara 70 sen hingga RM1.40
  • Lebuhraya Kemuning- Shah Alam (LKSA) – Tol naik antara 30 sen hingga 90 Sen
  • Lebuhraya GUTHRIE (GCE) – Tol naik antara 40sen hingga RM1.50
  • Lebuhraya Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) – Tol naik antara RM1 hingga RM6
  • Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) – Tol naik antara 10 sen dan RM2

SIARAN MEDIA

Harga Terkini Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke) Mulai 15.10.2015

Tol naik antara 30 sen dan RM1 di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) mulai 15 Oktober 2015 – Konsortium Lebuhraya Utara-Timur




Harga Terkini Maju Expressway (MEX) Mulai 15.10.2015

Kadar tol di Lebuhraya Maju (MEX) naik antara 20 sen dan RM3 mulai 15 Oktober 2015 – Maju Expressway Sdn Bhd



Harga Terkini Lebuhraya Kajang (SILK) Mulai 15.10.2015

Kadar tol Lebuhraya Kajang-Silk naik antara 40 sen dan RM2.40 mulai 15 Oktober 2015 – SILK Highway



Harga Terkini Lebuhraya KL Karak (KLK) Mulai 15.10.2015

Kadar bayaran di Plaza Tol Gombak dan Bentong, Lebuhraya KLK naik antara 30 sen dan RM3 mulai 15 Oktober 2015



Harga Terkini Tol Di Lebuhraya LATAR mulai 15.10.2015

Lebuhraya LATAR turut mencatatkan kenaikan antara 30 sen dan RM1.50



Kadar Tol Terowong SMART Mulai 15 Oktober 2015


Kadar Tol Lebuhraya Baru Pantai (NPE) Mulai 15 Oktober 2015

Kadar tol di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) naik antara 40 sen hingga RM2.10



Kadar Tol Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) Mulai 15.10.2015

Kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) naik antara 70 sen hingga RM1.40



Kadar Tol Lebuhraya Kemuning- Shah Alam (LKSA)


Lebuhraya Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH)


Kadar Tol Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) Mulai 15.10.2015



Kadar Tol Lebuhraya GUTHRIE (GCE) Mulai 15 Oktober 2015


Kadar Tol Lebuhraya Senai-Pasir Gudang- Desaru









Sumber: MELVISTER

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL