Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, tindakan terhadap penyebaran ajaran sesat tidak boleh dilengahkan supaya tidak mengancam pegangan dan akidah penduduk di sekitar kawasan tersebut.
“Kita tidak mahu nanti Malaysia jadi seperti negara jiran apabila kebebasan menganut agama Islam termasuk ajaran sesat dibolehkan.
“Kebimbangan kita adalah apabila kita di Malaysia sudah mengumumkan bahawa kita memartabatkan institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi ajaran sesat ini malah berani menubuhkan kompleks sendiri, jadi mungkin pihak berwajib perlu lihat masalah ini secara serius,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel dalam program Bicara Persada bertajuk Tragedi Keramat: Merungkai Pertanggungjawaban dekat sini hari ini.
Turut menjadi panel adalah Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Selangor, Maulana Mohd. Dailami Che Age; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Ma’amor Osman dan Pengarah Pusat Kepemimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak.
Katanya, memandangkan hal agama Islam tertakluk dalam bidang kuasa negeri, beliau berharap pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan segera bertindak.
“Seperti yang diketahui mereka ini sudah beroperasi lebih 40 tahun. Jadi mustahil pihak majlis agama tidak mengetahuinya tetapi persoalannya, mengapa begitu lambat untuk bertindak walhal mereka terang-terangan menjalankan aktiviti secara bebas.
“Ancaman keselamatan yang lain kita ambil serius sekarang ancaman akidah perlu dilihat sebagai ancaman yang serius dan membahayakan masyarakat dan kedudukan negara kita yang memegang agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Kuala Lumpur 27 Sept. – Kira-kira 18,000 penduduk Kampung Nahkoda, Gombak dekat sini melahirkan kebimbangan dengan aktiviti kumpulan yang didakwa sebagai pengikut ajaran sesat Qadiani.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nahkoda, Azmi Salleh mendakwa, pihaknya pernah membuat aduan berhubung kewujudan golongan ajaran sesat tersebut yang beroperasi sejak 2015 kepada pihak berwajib, namun aktiviti mereka masih berterusan.
“Sebelum ini mereka hanya menggunakan bangunan tiga tingkat untuk menjalankan aktiviti dan kini membina sebuah bangunan lima tingkat untuk dijadikan pusat tahfiz.
“Kami pernah membuat aduan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi pengikut ajaran sesat itu tidak mengaku mereka beragama Islam. Walhal mereka mempamerkan dua kalimah syahadah dalam bangunan tersebut selain melaungkan azan setiap kali waktu solat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Azmi bersama kira-kira 20 penduduk kampung tersebut mengemukakan aduan kepada PPIM selepas mendapati aktiviti golongan yang didakwa sebagai pengikut Qadiani itu masih berjalan dan pengaruhnya semakin meluas.
Umum diketahui oleh orang ramai mengenai ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam, iaitu ajaran Qadiani yang sehingga ke hari ini, masih lagi beroperasi dan aktif di sekitar kawasan Kampung Nakhuda, Batu Caves, Selangor.
Banyak faktor mendorong kepada kesesatan ajaran ini dan salah satunya ialah pendokong ajaran ini mempercayai bahawa rasul utusan Allah yang terakhir selepas Nabi Muhammad s.w.t adalah seorang lelaki bernama Mirza Ghulam Ahmad yang mana terang dan jelas adalah suatu kefahaman agama yang sesat dan terpesong. Agama Islam hanya mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai Rasulullah dan Nabi yang terakhir dan tidak ada yang lain selepasnya.
Kewujudan markas atau rumah ibadat ajaran ini di kawasan Kg. Nakhuda, Batu Caves telah mengundang kebimbangan penduduk setempat sejak tahun 2015 lagi. Ajaran ini berkembang di Kg. Nakhuda dan menyebarkan fahaman agama yang menyeleweng tanpa sebarang tindakan daripada Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Sepang dan juga Jabatan Agama Islam Selangor.
Mengulas lanjut isu ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Toqqi, berkata pihaknya menerima aduan dari penduduk Kg. Nakhuda mengenai ajaran sesat yang menganggu penduduk di kawasan tersebut.
“Perkara ini sudah tidak lagi terkawal, ajaran Qadiani ini harus dibanteras bagi menyelamatkan penduduk Kg. Nakhuda dan orang Islam.
Pengerusi Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH), Ustaz Masridzi Bin Sat berkata pihaknya telah menghubungi pihak Jais dan Unit Tindakan Khas Jais berkenaan perkara ini.
“Mereka (penganut ajaran Qadiani) apabila disoalkan agama mereka, mereka mengatakan mereka bukan Islam tetapi dalam ajaran mereka menggunakan mesej Islam,”jelasnya
Menurutnya lagi, penduduk sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang mengenai ajaran sesat ini tetapi tidak dipandang serius mengenai perkara terbabit.
“MPS perlu bertindak dengan segera dan tidak boleh sembunyi apa-apa mengenai perkara ini, buatlah tindakan segera seperti mengangkut gerai perniaga yang menjual nasi lemak atau goring pisang,”tegasnya.
Tambahannya lagi, penduduk telah membuat laporan polis kerana ajaran ini seolah mengancam keselamatan penduduk setempat.
“Kita bagi tempoh seminggu untuk mereka (Jais,MPS, Polis) untuk bertindak sebelum kami dari NGO sendiri turun padang,”katanya.
Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Dato’ Hishamuddin hashim turut menyatakan pendapat beliau mengenai Garis Panduan Tatacara Penguatkuasaan ke atas Rumah Ibadat selain Islam yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
“Setiap rumah ibadat selain Islam mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan sebelum boleh dibenarkan digunakan.”
“Persoalannya yang timbul sekarang ini adakah ajaran ini telah mendapat kebenaran untuk beroperasi dan menggunakan Rumah Ibadat?,”beliau mempersoalkan di dalam sidang media terbabit.
Beliau turut menambah lagi, penduduk telah membawa isu ini ke Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS), tetapi telah diberitahu bahawa ajaran tersebut bukan ajaran agama Islam dan lebih mengejutkan ajaran ini turut membina bangunan tahfiz bagi menarik dan menyebar agama terbabit.
“Kebal sangatkah ajaran ini?atau dilindungi oleh tangan-tangan ghaib?"
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut perlu memberi maklum balas, mengapa mereka ini di dalam kad pengenalan masih diletakkan sebagai Islam lagi,”jelasnya.
PPIM, GBAH serta Penduduk Kg. Nakhuda menggesa dan menyokong tindakan kerajaan sekiranya dapat membanteras ajaran Qadiani dengan secepat mungkin bagi menghalang ajaran sesat ini berleluasa.
Turut hadir Bersama di dalam sidang media terbabit ialah Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, En Yusuf Azmi, Ketua Unit Kawal Selia Umrah, Ustaz Abdul Halim, Penasihat PPIM, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed, Ketua Kg. Nakhuda, Tuan Haji Ustaz Muhammad Noor dan Setiausaha Penduduk Kg. Nakhuda, Azmi Bin Hj Salleh.