Wednesday, May 8, 2024

'SUDAH TIBA MASA RAKYAT MALAYSIA BERTEGAS DALAM ISU KESIHATAN AWAM' - PPIM - BERITA HARIAN - 08/05/2024

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menolak pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR 2005).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata ia susulan penarikan balik vaksin COVID-19 AstraZeneca di seluruh dunia, selepas syarikat itu secara sukarela menarik balik "kebenaran pemasaran".

"Berita penarikbalikan vaksin COVID-19 oleh AstraZeneca menjadi bukti kukuh untuk Malaysia menolak pindaan IHR 2005.

"Sudah tiba masa rakyat Malaysia bertegas dalam isu kesihatan awam.

"Ini kerana pindaan itu bakal membolehkan pihak Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengambilalih peranan kerajaan termasuk dalam membuat keputusan berkaitan pengisytiharan pandemik serta darurat.

"Perkara ini sahaja sudah cukup untuk kita menolak IHR 2005," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika wabak COVID-19 melanda dunia, rakyat Malaysia dipaksa mengambil vaksin yang belum sah tahap keberkesanan dan keselamatannya.

"Semua itu berlaku kerana kita tunduk pada kuasa barat dan hanya menuruti kata mereka tanpa menggunakan kepakaran yang sedia ada di negara ini," katanya.

Nadzim berkata, mudah bagi pengeluar vaksin mengeluarkan kenyataan menarik balik vaksin di seluruh dunia namun kesannya sudah dirasai rakyat Malaysia.

"Ramai rakyat kita yang mengalami kesan sampingan akibat vaksin COVID-19, pakar perubatan malah pengamal undang-undang dan orang awam diheret ke mahkamah, dijatuhi hukuman, dipenjarakan kerana mempertikaikan vaksin itu.

"Siapa akan bertanggungjawab ke atas mereka, adakah pengeluar vaksin akan membayar pampasan kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan," katanya.

COVID-19 mula melanda dunia pada 2019 dan Malaysia memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Februari 2021 sebelum diperluaskan kepada kanak-kanak bermula Februari 2022.

Pada 31 Oktober 2021, Malaysia mencatatkan 95 daerah berjaya mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Sebanyak 28 lokaliti atau daerah terutamanya di kawasan bandar pula sudah menvaksinasi 100 peratus penduduk.

Syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca menarik balik vaksin COVID-19 di seluruh dunia dengan permohonan untuk menarik balik vaksin itu dibuat pada 5 Mac lalu dan berkuat kuasa semalam, lapor Telegraph.

Permohonan sama akan dibuat di United Kingdom dan negara lain yang meluluskan vaksin itu dikenali sebagai Vaxzevria, bulan depan.

Artikel oleh: Berita Harian

'SUDAH TIBA MASA RAKYAT MALAYSIA BERTEGAS DALAM ISU KESIHATAN AWAM' - PPIM

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/05/1244446/sudah-tiba-masa-rakyat-malaysia-bertegas-dalam-isu-kesihatan-awam

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...