Friday, January 28, 2022

NGO SERAH MEMORANDUM SYOR ATASI BANJIR KEPADA PM - SINAR HARIAN - 27/01/2022

 

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran menubuhkan skuadron bagi melaksanakan kerja-kerja pembenihan awan pintasan menggunakan teknologi dron sebagai kaedah mengatasi bencana banjir di negara ini.

Itu antara 17 syor yang dikemukakan oleh Persatuan Usahawan Rekacipta dan Inovasi Malaysia (Purim) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam Memorandum Syor Cadangan Bagi Mengatasi Banjir yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Purim, Norshahrizal Nordin berkata, pembenihan awan pintasan boleh dibuat di laluan angin ribut tropika bagi tujuan mengurangkan kapasiti hujan bagi di satu-satu kawasan.

Justeru, menurutnya unit khas yang ditubuhkan akan berperanan melaksanakan tindakan awal bagi proses pembenihan awan pintasan dengan mengambil kira data cerapan satelit Jabatan Meterologi Malaysia.

"Pembenihan awan pintasan boleh dibuat menggunakan dron dengan tidak tumpu pada satu-satu tempat. Jadi kapasiti hujan boleh 'dipecahkan'.

"Dengan penubuhan skuadron ini pembenihan awan pintasan boleh dibuat menggunakan dron dan ini tidak memerlukan juruterbang bertauliah dan kos operasi dan penyelenggaraan yang jauh lebih murah dan selamat berbanding pesawat ringan.

"Jadi tindakan awal boleh diambil oleh pasukan khas ini bagi mengelakkan berlaku hujan yang tinggi di satu-satu tempat yang boleh mengakibatkan peningkatan paras air di kawasan perumahan penduduk," katanya pada sidang media berkenaan Memorandum Syor Mengatasi Banjir di sini pada Khamis.

Memorandum berkenaan menyenaraikan 17 syor meliputi tujuh jangka panjang, empat jangka sederhana dan enam jangka pendek.

Antara lain, turut disyorkan adalah penggunaan sistem amaran aras air secara sistem pesanan ringkas (SMS) berasaskan perubahan aras secara 'Event Base' di kawasan perumahan yang berisiko untuk mengalami banjir.

Selain itu, memorandum berkenaan mencadangkan agar pemasangan papan tanda yang boleh menunjukkan risiko aras air dilakukan bagi menunjukkan risiko aras air yang boleh dilalui oleh kenderaan atau ditutup laluannya kerana tidak selamat.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meneliti syor yang disenaraikan agar masalah banjir dapat di selesaikan dengan kaedah lebih inovatif serta efektif demi kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan sudah pun membuat banyak projek tebatan banjir, mendalamkan sungai, membesarkan parit, sistem amaran banjir dan bermacam-macam lagi projek kerajaan saban tahun akan tetapi masalah banjir masih tidak selesai.

"Pelbagai pihak telah juga tampil untuk mengemukakan syor tentang bagaimana atau apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan atau meminimumkan kesan bencana yang berlaku saban tahun di negara ini.

"Sehubungan dengan itu PPIM telah berbincang dengan beberapa NGO seperti Purim untuk memberikan idea-idea baru, cara bagaimana untuk menyelesaikan masalah banjir ni," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

NGO SERAH MEMORANDUM SYOR ATASI BANJIR KEPADA PM

https://www.sinarharian.com.my/article/185112/BERITA/Nasional/NGO-serah-memorandum-syor-atasi-banjir-kepada-PM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL