Wednesday, November 25, 2020

6093) TERPAKSA TIPU DIJANGKITI COVID-19 - HARIAN METRO - 24/11/2020

 


Kuala Lumpur: "Setiap hari kami terpaksa menipu syarikat kredit, beri macam-macam alasan termasuk dijangkiti Covid-19 dan mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Tetapi itu hanya bertahan beberapa hari, selepas itu kami dihubungi lagi dan dipaksa membuat bayaran bulanan. Macam mana kami nak bayar, sedangkan kami tiada pendapatan," kata Abdul Aziz Ismail Ghani.

Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia itu berkata, seramai 1,200 pengusaha bas kini bukan saja berdepan gulung tikar, malah hidup tertekan kerana menanggung hutang keseluruhan berjumlah RM3 bilion.

Menurutnya, mereka sudah tidak mempunyai pendapatan selepas tidak dibenarkan beroperasi akibat penularan pandemik itu.

Katanya, ramai pengusaha bertindak menyembunyikan bas mereka di tempat tertentu bagi mengelak ditarik dan ada yang membayangkan untuk membakar kenderaan itu.

"Secara purata, setiap pengusaha menanggung hutang antara RM50,000 hingga RM100,000 sejak Covid-19 melanda.

"Kami tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu. Setakat ini, ramai juga yang sudah jatuh sakit dan ada yang meninggal dunia kerana tertekan dan tidak tahan menanggung tekanan hutang.

"Sebelum ini, kami merayu supaya syarikat kredit juga memberikan kelonggaran dari segi penangguhan bayaran tetapi setakat ini hampa.

"Kami tidak mahu mati dalam keadaan memikirkan hutang. Apa yang kami harapkan, ada mekanisme bagi membolehkan kami menjadualkan semula bayaran atau menangguhkan bayaran sehingga dapat beroperasi semula," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan hari ini.

Abdul Aziz berkata, ketika ini terdapat 6,800 buah bas yang tersadai kerana tidak dapat bergerak seperti biasa dan jumlah tanggungan itu tidak termasuk kos penyelenggaraan.

Katanya, ramai pengusaha kini menunggu masa untuk dikejar ceti haram kerana membuat pinjaman akibat keadaan yang terlalu mendesak.

"Dengan jumlah hutang yang besar, kami tidak lagi mampu menanggung beban ini. Saya bagi pihak industri, merayu kerajaan melakukan sesuatu," katanya yang turut membuat laporan polis di Putrajaya mengenainya.

Sementara itu, Nadzim berkata, PPIM menggesa kerajaan tampil dengan kaedah tertentu bagi membantu pengusaha bas di seluruh negara.

Katanya, ia kerana pengusaha bas bukan saja berdepan saat paling kritikal, ia mendorong sebahagian daripada mereka mengambil tindakan di luar kawalan.

"Saya mendengar keluhan mereka, ada yang tidak tahan sampai nak bakar bas sendiri.

"Itu belum lagi kita cakap soal pinjam ceti haram dan sorok bas. Sebelum ini, kita dengar orang sorok kereta, sekarang bas. Mungkin treler pula selepas ini. Kerajaan perlu bantu segera," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

TERPAKSA TIPU DIJANGKITI COVID-19

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/645616/terpaksa-tipu-dijangkiti-covid-19

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL