DEMI mengaut keuntungan berlipat kali ganda, terdapat syarikat ejen fret (freight forwarder) yang dipertanggungjawabkan menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal, mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.
Menurut sumber, kebanyakan daging sejuk beku yang tidak mendapat pengiktirafan halal itu diimport dari benua Amerika melalui pelabuhan utama negara.
“Kartel ini sanggup menggadaikan status halal daging sejuk beku berkenaan atas faktor harga daging yang diimport dari benua Amerika yang jauh lebih murah,” kata sumber itu kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Kata sumber itu lagi, bagi mengelak kegiatan ‘gelap’ itu dikesan, kartel berkenaan turut mendapatkan bekalan daging sejuk beku dari negara yang diiktiraf Jakim seperti Australia dan New Zealand.
Lebih licik, kontena yang membawa muatan daging terbabit berjaya dibawa masuk tanpa sebarang ‘gangguan’ di pelabuhan.
Kartel terbabit didakwa turut menyogok sejumlah wang kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal selia keluar masuk kontena di pelabuhan.
Menurut sumber itu, setelah daging sejuk beku tersebut berjaya melepasi pemeriksaan di pelabuhan, daging itu akan dimuatkan dalam lori kontena sebelum dibawa ke sebuah kilang yang dikawal ketat di Selangor.
“Kilang itu memiliki beberapa pekerja warga asing yang berperanan melakukan kerja pembungkusan semula daging sejuk beku sebelum diedarkan di pasar raya seluruh negara.
“Kartel ini amat arif dan teliti dengan menghasilkan kotak serta pelekat ketulenan yang serupa dengan pembungkusan daging yang sah halalnya. Sebagai contoh, mereka menghasilkan sendiri kotak dengan jenama daging sejuk beku halal dan pelekat halal berserta logo Jakim,” katanya.
Sebuah kilang di Klang, Selangor yang dipercayai menjadi tempat pembungkusan daging sejuk beku yang dicurigai statusnya sebelum diedar di pasaran tempatan.
Katanya, melalui maklumat yang diperoleh beratus-ratus kontena yang membawa keluar daging sejuk beku berjaya melepasi pemeriksaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Tidak dinafikan, daging-daging yang dicurigai status halalnya itu telah dijual di pasar raya dan pasar awam,” katanya.
Tambah sumber itu, kartel terbabit hanya perlu menyediakan dokumen lengkap selain mengguna nama syarikat proksi yang mengedarkan daging sejuk beku halal selain memastikan kondisi daging dalam keadaan baik bagi meyakinkan pengusaha pasar saya mengambil bekalan daging yang kononnya halal itu.
Semasa proses terbabit, katanya, tiada ketelitian dalam menilai halal atau haram.
“Kegiatan itu amat menjijikkan apabila daging atau bahagian anggota lain seperti ekor, paru, tulang, dan perut diperoleh daripada sumber loji penyembelihan luar negara yang tidak mendapat kelulusan Jakim lolos di pasaran kita,” katanya.
Menurut sumber itu, sebelum ini isu pemalsuan sijil halal daging sejuk beku yang diimport pernah terjadi pada tahun 2017.
“Malah ada kes penyeludupan daging dari Sepanyol yang dikesan bercampur dengan daging babi,” katanya.
Maklumat
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan pernah menerima maklumat berkaitan pengimportan daging sejuk beku dari negara yang diragui status halalnya.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, isu berkenaan jika dibiarkan akan memberi kesan besar kepada pengguna Islam.
"Kita ada maklumat dari segi penghantaran, kilang terlibat dan sebagainya. Contohnya daging dibawa masuk dari Bolivia. Kalau diikutkan tidak boleh kerana isu pensijilan halal, ia perlu memiliki borang dan pengesahan tertentu untuk membawa muatan kontena masuk.
“Bagaimanapun, apabila daging masuk ke pelabuhan yang dikuasai geng kartel, ia ditukar pembungkusannya dan diisytihar sebagai daging dari Australia kononnya halal. Salah satu kilang yang kita kesan ada di Selangor,” katanya.
Menurutnya, PPIM juga mengenal pasti kegiatan terbabit juga berlaku di beberapa negeri di utara tanah air dan ia dibawa masuk tanpa cop pengesahan, namun berjaya diedar dan dijual di dalam negara.
“Lebih mengejutkan, pengedaran daging-daging ini menggunakan nama syarikat orang Islam bagi mengaburi mata pengguna.
"PPIM tidak menolak kemungkinan ketirisan dalam kalangan pihak berkuasa di pelabuhan menyebabkan kegiatan itu berlaku,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu menyiasat perkara itu.
“Kita juga mahu pihak berwajib seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jakim bertindak tegas.
“Mereka (kartel) membolot untung besar luar biasa kerana daging itu diperoleh dengan harga yang murah berbanding daging sah,” katanya.
Nadzim
Nadzim berkata, pihaknya juga percaya kartel itu juga mengimport daging babi dan lembu serentak dan daging-daging itu disimpan di tempat simpanan sama.
“Bila orang Islam makan makanan yang tidak halal, jiwa jadi huru-hara, tidak tenang dan seumpamanya,” katanya.
Pemeriksaan
Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, pihaknya memandang serius jika kegiatan itu benar-benar berlaku, namun agak mustahil pengimportan seperti itu boleh lepas melalui pintu sah negara kerana pemeriksaan ketat dilakukan Maqis.
“Perkara itu boleh berlaku jika daging sejuk beku ini dibawa masuk melalui jalan tidak sah. Jika tiada sijil halal yang diiktiraf Jakim serta sijil kesihatan veterinar diluluskan, daging berkenaan tidak dibenarkan dibawa masuk.
“Sijil kesihatan veterinar amat penting untuk memastikan loji sembelihan di luar negara itu adalah bersih dan sah,” katanya.
Menurutnya, setakat ini Maqis tidak menerima aduan secara rasmi lagi, namun jika ada maklumat siasatan dibuat segera dengan kerjasama agensi penguat kuasa berkaitan.
"Tindakan undang-undang kepada pengimport boleh dikenakan di bawah Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 dan penjara enam tahun," katanya.
Dalam pada itu, Saiful Yazan berkata, sebanyak 153,029 kilogram daging sejuk beku disita, dilucut hak dan dirampas pada tahun ini merangkumi daging lembu, ayam dan kambing yang diimport atau dieksport di semua pintu masuk negara.
“Sitaan dibuat kerana pengimportan atau pengeksportan komoditi daging tersebut dibuat tanpa permit yang sah. Semasa pemeriksaan, terdapat maklumat yang mengelirukan pada dokumen import atau eksport atau berlaku kehadiran penyakit atau perosak.
"Sitaan dibuat kerana semasa pengimportan atau pengeksportan, ia tidak mematuhi syarat import iaitu seperti ketiadaan sijil kesihatan veterinar atau sijil fitosanitasi atau sijil halal,” katanya.
Menurutnya, tiga perempat daripada daging sejuk beku yang dirampas telah disumbangkan kepada Zoo Negara, Zoo Melaka dan Zoo Taiping serta kepada projek-projek kemasyarakatan termasuk industri ternakan ikan air tawar.
Beberapa pekerja warga asing melakukan kerja pembungkusan dalam sebuah kilang di Selangor.
KRONOLOGI
14 November 2017
BUTTERWORTH - Maqis Pulau Pinang merampas 10 kontena daging kerbau dari India bernilai RM3.5 juta yang cuba dibawa masuk melalui Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).
Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, semua kontena daging kerbau yang tidak mematuhi syarat Permit Import itu cuba dibawa masuk secara berperingkat sejak 22 Oktober sehingga 14 November 2017.
17 Julai 2017
JOHOR BAHRU - Maqis mengesan cubaan menipu kandungan daging import selepas menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah.
Pengarah MAQIS Johor dan Melaka, Siti Nur Ahmad berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan pihaknya menyita bekalan daging bernilai kira-kira RM2 juta dengan anggaran 120 tan.
24 November 2019
RANTAU PANJANG - Seorang lelaki gagal menyeludup 50 kilogram daging babi ke negeri ini selepas ditahan anggota Maqis Kelantan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu dilakukan pihaknya selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Unser ketika melalui sekatan di ICQS Rantau Panjang.
22 Ogos 2019
RANTAU PANJANG - Maqis Kelantan merampas 3,600 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM30,000 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran di Pengkalan Haram Jitong, Jeram Perdah kelmarin.
Dalam operasi jam 11.30 malam itu, sebuah lori dan van yang digunakan untuk mengangkut 300 kotak berisi ayam sejuk beku berkenaan turut disita.
6 Ogos 2020
BUTTERWORTH - Daging kerbau sejuk beku seberat 27,996 kilogram dirampas ketika pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth di sini.
Ia susulan penahanan sebuah kontena yang membawa produk daging kerbau sejuk beku dari India bernilai hampir RM436,000, pada jam 4.20 petang.
22 Oktober 2020
BUTTERWORTH - Maqis Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk sebanyak 1,041 kotak daging babi sejuk beku di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, dalam pemeriksaan pada jam 11.30 pagi itu, pihaknya mendapati barangan yang dibawa dari Jerman itu tidak mempunyai dokumen pengimportan yang sah daripada Maqis.
Artikel oleh: Sinar Harian
AWAS, AKTIVITI SELUDUP MASUK DAGING LEMBU TIDAK HALAL
No comments:
Post a Comment