Monday, March 25, 2019

4853) PERLU TINDAKAN RADIKAL – UTUSAN MALAYSIA – 25/3/19



KUALA LUMPUR 24 Mac – Satu tindakan radikal termasuk dari aspek kemahuan politik perlu diambil bagi membanteras gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang melindungi aktiviti pelacuran di sebalik perniagaan rumah urut.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bukan sahaja dalam isu rumah urut, sekiranya tindakan diambil hanya secara ala kadar, apa sahaja tindakan penguatkuasaan tentunya tidak akan meninggalkan sebarang kesan.
“Kita mesti buat sesuatu yang radikal jika tidak perkara ini tidak akan berubah walau untuk 50 tahun lagi. Anggota penguatkuasaan ada yang di bawah payung sindiket, nak buat macam mana? Jadi mana-mana pihak yang mahu membanterasnya perlu lebih radikal.
“Kerajaan pada hari ini juga perlu mainkan peranan, mereka juga kena lebih radikal dan tidak hanya ‘tanam tebu di tepi bibir’ sahaja. Mesti ada kemahuan politik, sama juga konsepnya dalam menangani isu penyalahgunaan dadah serta kemalangan jalan raya, semua ini perlu ada perubahan drastik dan radikal, jika tidak masalah ini akan kekal dan terus berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan pendedahan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki bahawa pihaknya telah melancarkan operasi sulit selama empat bulan bagi membanteras gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa di sebalik perniagaan rumah urut. Jelas Azam, SPRM melalui operasi itu juga sanggup membuka rumah urut gadungan (palsu) sematamata bagi mencari bukti khususnya kegiatan rasuah dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa.
Sementara itu, menurut Nadzim, tindakan dan pendekatan yang diambil oleh SPRM merupakan langkah yang baik namun masih memerlukan penglibatan secara langsung oleh masyarakat untuk membantu.
“Masyarakat kena diajak secara bersama dan terbuka dalam isu ini, rakyat sebelum ini hanya tengok sahaja, bila buat aduan pun tiada apa yang berubah,” katanya.

Artikel oleh : Utusan Malaysia
PERLU TINDAKAN RADIKAL

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL