KUALA LUMPUR 4 Mac. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat lima laporan polis terhadap dua pengguna Facebook yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat berkata, tindakan dua pemilik akaun dikenali Alvin Chow dan Danny A’antonio Jr yang memuat naik kenyataan yang menyamakan Nabi Muhammad SAW dengan haiwan sangat melampau.
Ujarnya, apa yang dilakukan kedua-dua individu tersebut seolah-olah ingin menggugat keharmonian dan keamanan umat Islam di negara ini.
“Kali ini, pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas lagi, ini kerana penghinaan yang dilakukan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja
“Selain itu, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu memaklumkan status terkini siasatan kepada rakyat terutama umat Islam yang ketika ini amat marah dan beremosi dengan isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Terdahulu, PERKID bersama tiga lagi NGO terdiri Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pemantau Malaysia Baru, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hadir ke IPD berkenaan kira-kira pukul 2 petang untuk membuat laporan polis. – UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: Utusan Malaysia
HINA NABI : NGO BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP DUA PEMILIK FACEBOOK
No comments:
Post a Comment