Monday, February 4, 2019

4806) KUNJUNGAN WEHUMAN PPIM CERIAKAN KANAK-KANAK DI WAD KANSER HKL – HARIAN METRO – 4/2/19

Kuala Lumpur: Kesakitan yang dilalui kanak-kanak menghidap pelbagai jenis kanser di Wad Kanser, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) terubat dengan kunjungan Persatuan Usahawan Wanita dan Kemanusiaan (WeHuman) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Mereka datang dengan membawa pelbagai sumbangan bagi menghiburkan hati pesakit cilik yang berwajah murung, merengek dan mahu sentiasa berada dalam dakapan ibu.
Ada yang baru lepas menerima rawatan kemoterapi sehingga meragut seketika keceriaan mereka kerana kesan yang terpaksa lalui seperti loya dan pening kepala.

Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu Kuala Lumpur turut disertai badut yang membuat belon dan mainan untuk anak-anak kecil itu.
Hadir sama, Penaung WeHuman Datuk Dr Fauzi Mohamad, Pengerusi WeHuman Srizan Sahar dan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Nadzim yang ditemui media selepas lawatan itu berharap, NGO bukan saja membuat kunjungan dan memberikan sumbangan kepada pesakit, tetapi juga membantu mengurangkan beban keluarga yang ditinggalkan di rumah.
“Apabila ada seorang sakit, sudah pasti yang di rumah juga akan menerima kesan. Mungkin salah seorang ibu atau bapa terpaksa berhenti kerja serta meninggalkan adik-beradik lain ditinggalkan di rumah tanpa jagaan.
“Seorang ahli keluarga ditimpa sakit, yang lain akan turut merasakan kesannya dan mereka terpaksa berkorban,” katanya.
Selain itu, Nadzim turut menggesa kerajaan supaya melihat kembali pemakanan rakyat Malaysia yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan masyarakat.
“Amalan pemakanan kita perlu dilihat dan dikaji secara serius yang berkemungkinan menjadi antara punca bertambahnya pesakit kanser di negara ini, selain masyarakat juga perlu menjalani gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan mereka,” katanya.
Antara pesakit yang dikunjungi termasuk seorang kanak-kanak Orang Asli dari Raub, Pahang iaitu Bajar Karat yang baru berusia enam tahun.
Artikel oleh : Harian Metro
KUNJUNGAN WEHUMAN PPIM CERIAKAN KANAK-KANAK DI WAD KANSER HKL

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL