Wednesday, May 30, 2018

4492) PRESMA, PPIM HIDUPKAN RAMADAN DENGAN KUKUHKAN SILATURAHIM – PPIM – 29/5/18

Presma,PPIM semarakkan semangat ukhuwah, kebajikan pada Majlis Iftar
KUALA LUMPUR 29 Mei - Sebagai satu usaha untuk menyebarkan ibrah (pengajaran) Ramadan, Persatuan Pengusaha Restoran Makanan Muslim Malaysia (Presma) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menganjurkan satu majlis iftar untuk meraikan bukan sahaja golongan yang memerlukan tetapi juga jalinan persahabatan dan kerjasama yang dibentuk antara kedua belah pihak.
Menurut Presiden Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub, majlis iftar yang diadakan pada Selasa diadakan sebagai simbolik kepada kerjasama baharu yang bakal diadakan kedua-dua pertubuhan selain meraikan ukhuwah yang telah dibina sejak 20 tahun dahulu.









Jelas beliau, ke hadapan daripada ini kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada usaha keusahawanan bagi membangunkan serta memperkukuhkan tahap ekonomi ahli-ahli mereka.
“Bagi kami, majlis iftar pada kali ini bukan majlis berbuka puasa yang biasa kerana acara ini menjadi tanda aras kepada komitmen kedua-dua persatuan untuk memperkukuhkan lagi jalinan persahabatan dan menterjemahkannya dalam bentuk pemantapan ekonomi ahli-ahli yang dinaungi.



“Dengan meraikan mereka yang memerlukan pada majlis ini, kami berharap untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa kedua-dua pertubuhan ini mampu membawa kebaikan bukan sahaja dalam bentuk kebajikan kepada khalayak tetapi juga pengukuhan ekonomi ummah secara khusus,” kata beliau kepada media pada sidang akhbar yang diadakan sempena majlis berkenaan. 





Ayoob turut memaklumkan, untuk menjayakan kerjasama tersebut, ahli-ahli Presma juga telah mendaftarkan diri sebagai ahli Gerakan Tunai Zakat (GTZ) yang yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) yang dijalankan oleh PPIM.
SPPZ adalah kempen Penggalakan pembayaran zakat oleh peniaga Islam yang dikelolakan secara kerjasama antara PPIM dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pelancaran kempen berkenaan telah diadakan pada majlis iftar yang berlangsung di masjid Ar rahah yang mana acara tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi PPZ MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadil.


Mengenai kempen berkenaan, Che Mat memberitahu wartawan, gerakan tersebut merupakan satu usaha proaktif bagi menggalakkan lebih ramai peniaga Islam untuk mengeluarkan zakat dengan PPZ MAIWP.
Katanya kepada pemberita, penting bagi para peniaga Islam berurusan dengan pihaknya dalam urusan zakat kerana langkah itu dapat membantu mereka memastikan wang yang diinfak akan dapat diagihkan dengan baik kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Selain itu, dengan terlaksananya kempen SPPZ ini, mereka juga akan dapat meraih kebaikan lain seperti nasihat niaga serta latihan yang dibawakan di bawah GTZ,” jelas beliau.




Menyentuh perkara sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim berkata, sekiranya para peniaga sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pembayar zakat secara tidak langsung dapat mewujudkan satu masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain terutamanya kepada golongan asnaf.
“Kempen yang jalankan bersama PPZ-MAIWP ini sebagai satu langkah permulaan yang baik untuk mengubah ekonomi ummah supaya lebih cemerlang.
“PPIM berharap kempen SPPZ ini akan mendapat sambutan dan juga kerjasama diseluruh negeri Malaysia,” katanya.Turut berlangsung pada majlis iftar tersebut, majlis penyampaian bantuan pelajaran yang disumbangkan oleh Persatuan CHHA Yong Fay Choon Kuan Selangor dan Wilayah Persekutuan (atau lebih dikenali sebagai Persatuan Hakka) kepada tiga mahasiswa Universiti awam yang dipilih dari dalam kalangan anak-anak ahli PPIM.



Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Persatuan Hakka, T.S Wong berkata, bantuan berjumlah RM1,000 setiap seorang tersebut merupakan pemberian ihsan bagi membantu para siswazah yang terpilih meringankan beban kos sara hidup dan pembelajaran mereka.
Beliau yang juga Ketua Biro Siasatan persatuan tersebut menjelaskan, selain itu, pemberian bantuan berjumlah RM1,000 berkenaan adalah sebagai satu tanda persahabatan yang telah terjalin antara pihaknya dan PPIM.
“Pihak kami merasakan tiada cara yang lebih untuk meraikan persahabatan yang terjalin selain daripada berbuat kebajikan seperti pemberian bantuan ini.

“Kami berharap kerjasama yang dijalankan ini akan berkembang menjadi program kebajikan yang lebih besar dan mencapai lebih banyak golongan yang memerlukan,” jelas beliau.
Seramai lebih 1,200 jemputan telah hadir bagi memeriahkan majlis iftar yang julung kali diadakan tersebut.
Daripada jumlah itu, telah memilih 200 orang anak-anak yatim kurang upaya dan ibu tunggal untuk diberikan bantuan berbentuk barangan keperluan harian bernilai RM200 setiap seorang.
Berbeza dengan Majlis Berbuka puasa yang lain kesemua yang menerima bantuan tersebut turut diberikan layanan sebagai orang kenamaan (VIP) sebagai tanda penghargaan dan penghormatan buat mereka. – UNIT MEDIA PPIM

4491) MAJLIS IFTAR PRESMA DAN PPIM DI MASJID AR RAHAH – MALAYSIA GAZETTE – 29/5/18

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata pertubuhan itu menyokong kerajaan yang memerintah dan mahu melihat segala yang dijanjikan kepada rakyat ditunaikan.
Jelas Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, biarpun pertubuhan itu tidak menyokong mana-mana parti politik namun mereka tetap penyokong kerajaan yang memerintah dan hormat akan keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.
“Kita neutral, tapi kita sokong kerajaan yang memerintah. Setakat ini semuanya berjalan lancar, ” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Presma dan PPIM di Masjid Ar-Rahah di ibu negara.
Menurut Nadzim, sokongan itu dilihat apabila kerajaan PH bersungguh-sungguh untuk meringankan beban rakyat di negara ini dengan memansuhkan pelaksanana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Kita harap kerajaan baharu dapat ‘deliver’ apa yang dijanjikan. Tidak ada sebab untuk tidak menyokong benda yang bagus. Lagipun rakyat sudah lama menanti saat ini,” katanya lagi.
PPIM sebelum ini antara pertubuhan yang lantang mempertahankan hak-hak pengguna dan juga dilihat sering mengkritik kerajaan.
Antaranya membantah cadangan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
Ia berpendapat penubuhan jabatan tersebut tidak wajar kerana sekarang sebarang bentuk pembaharuan tidak diperlukan sebaliknya kerajan hanya perlu membuat penambahbaikan. -MalaysiaGazette

Artikel Oleh : Malaysia Gazette
MAJLIS IFTAR PRESMA DAN PPIM DI MASJID AR RAHAH

4490) PRESMA JAMIN HARGA MAKANAN TURUN MULAI 1 JUN – UTUSAN MALAYSIA – 29/5/18


KUALA LUMPUR 29 Mei – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberi jaminan harga makanan di restoran ahlinya akan diturunkan apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan pada kadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun ini.
Presiden Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, pihaknya memerlukan tempoh selama sebulan bagi menstruktur dan menilai harga makanan selepas enam peratus cukai GST ditolak.
“Perkara ini bukan mudah dan ia memerlukan masa untuk dilaksanakan. Diharap dalam tempoh tersebut, masalah harga dapat diselesaikan.
“Bagaimanapun, saya berharap pengguna juga memainkan peranan dan mereka bersuara sekiranya harga tidak diturunkan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Iftar Presma dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi, di sini hari ini.
Seramai 250 anak yatim diraikan dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed. – UTUSAN ONLINE
Artikel Oleh : UTUSAN MALAYSIA
PRESMA JAMIN HARGA MAKANAN TURUN MULAI 1 JUN

Monday, May 28, 2018

4489) CARI JALAN TURUNKAN HARGA LESEN MEMANDU – UTUSAN MALAYSIA – 26/5/18


KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan digesa mencari mekanisme bagi mengurangkan kos mendapatkan lesen memandu yang kini mencecah RM1,250 untuk lesen kereta sedangkan perkara itu sebahagian daripada keperluan hidup.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, selain itu, kerajaan perlu mengkaji kaedah pembayaran termasuk memperkenalkan bayaran ansuran untuk memberi peluang golongan pelajar mendapatkan lesen memandu.
Malah katanya, beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap sistem pengendalian dan peraturan termasuk melibatkan sekolah memandu bagi memastikan jumlah kemalangan diturunkan.
“Lesen kereta dan motor ini umpama satu aset penting terutama kepada individu yang baru memulakan pekerjaan serta pelajar sekolah. Tetapi bagaimana mahu mendapatkannya jika harga mahal?
“Kita sangat berharap harga diturunkan dan menjadi lebih murah sedikit. Apabila proses menjadi lebih murah kerajaan boleh mengetatkan undang-undang dan pemandu sudah semestinya tidak mempunyai alasan lagi bagi menjadikan jalan raya lebih selamat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kadar harga siling terkini yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) adalah RM 350 bagi lesen B2 (motosikal); RM1,150 bagi lesen D (motokar-manual) dan RM1,250 bagi lesen DA (motokar-Auto).-UTUSAN ONLINE

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
CARI JALAN TURUNKAN HARGA LESEN MEMANDU

4488) RM30JUTA LESAP – HARIAN METRO – 25/5/18


Mangsa penipuan bukan saja berputih mata, malah ada yang menjual rumah dan aset, selain membuat pinjaman along semata-mata melunaskan hutang kepada syarikat kewangan selepas melabur dalam skim era baru itu.
Itu pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai trend penipuan baru sistem pelaburan wang digital Bitkingdom.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan rekod pihaknya, individu terbabit tertipu dengan skim era baru itu menerusi pelaburan Bitkingdom sejak 2015.
 “Ini trend penipuan baru, 130 individu itu datang mengadu kepada PPIM, kami nasihatkan lapor polis namun tiada undang-undang boleh dikuatkuasakan untuk menangkap orang yang mengaut keuntungan secara tidak bermoral ini.
“Mangsa berputih mata, sampai ada kena jual rumah dan aset, tidak kurang juga pinjam dengan along,” katanya, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Hishamuddin Hashim.
Beliau berkata, oleh itu PPIM meminta Bank Negara Malaysia (BNM) dan Cyber Security Malaysia (CSM) menggubal undang-undang khas mengawal selia sistem pelaburan wang digital berkenaan.
Katanya, ia bagi memastikan jumlah kerugian membabitkan pengguna aktif terdiri daripada rakyat tempatan tidak terus meningkat.
“Setakat ini apa yang PPIM tahu BNM dan CSM memantau sistem pelaburan ini, namun tidak boleh ambil apa-apa tindakan,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihak berkuasa berkenaan sepatutnya berada 10 langkah ke depan, namun sebaliknya berlaku.
“Penyamun Bitkingdom sentiasa ada taktik baru menipu rakyat.
“Mereka jumpa formula menggagalkan fungsi agensi penguatkuasaan, tiada undang-undang khusus untuk ambil tindakan.
“Agensi terbabit seolah-olah lepas tangan. Ini yang kita tidak mahu berlaku. Ada pengguna kurang bijak memerlukan agensi memberikan nasihat dan membela nasib mereka,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
RM30JUTA LESAP

Friday, May 25, 2018

4487) PEMBEKAL JUGA HARUS DIPANTAU – TV3 – 24/5/18


Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mencadangkan pihak berkuasa bukan sahaja memantau peniaga, tetapi juga pembekal.
Ia sejurus tinjauan TV3 di beberapa pasar di ibu negara siang tadi mendapati harga barang keperluan naik mendadak hanya dalam tempoh seminggu.
Tegasnya lagi, pengguna juga seharusnya lebih bijak dalam memilih tempat membeli.
Datuk Nadzim menambah pembekal mahupun peniaga perlu diberikan peringatan daripada aspek undang-undang pengguna untuk tidak terus mengambil kesempatan.
Malah pihak berkuasa juga perlu proaktif dalam menguatkuasakan undang-undang supaya isu ini tidak berlarutan yang membebankan pengguna.

4486) PERSATUAN HAKKA, PPIM BANTU LIMA SISWAZAH KURANG BERNASIB BAIK – PPIM – 24/5/18

KUALA LUMPUR 24 Mei – Persatuan Chha Yong Fay Choon Kuan Selangor dan Wilayah Persekutuan (atau lebih dikenali sebagai Persatuan Hakka) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengumumkan pemberian bantuan kepada lima siswazah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang memerlukan.
Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Persatuan Hakka, T.S Wong berkata, bantuan berjumlah RM1,000 setiap seorang tersebut merupakan pemberian ihsan bagi membantu para siswazah yang terpilih meringankan beban kos sara hidup dan pembelajaran mereka.
Beliau yang juga Ketua Biro Siasatan persatuan tersebut menjelaskan, selain itu, pemberian bantuan berkenaan adalah sebagai satu tanda persahabatan yang telah terjalin antara pihaknya dan PPIM.
“Pihak kami merasakan tiada cara yang lebih untuk meraikan persahabatan yang terjalin selain daripada berbuat kebajikan seperti pemberian bantuan ini.
“Kami berharap kerjasama yang dijalankan ini akan berkembang menjadi program kebajikan yang lebih besar dan mencapai lebih banyak golongan yang memerlukan,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
T. S. Wong seterusnya menjelaskan, kelima-lima pelajar yang bakal menerima bantuan berkenaan akan dipilih oleh PPIM dalam kalangan anak-anak ahlinya.
Pun begitu, untuk melayakkan para siswazah berkenaan menerima bantuan tersebut mereka perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pertubuhan.
Syarat-syarat berkenaan ialah, penerima mestilah berbangsa Melayu; beragama Islam dan sedang menuntut di universiti tempatan yang diiktiraf kerajaan.
Untuk memohon, para siswazah boleh memuat turun borang permohonan yang disediakan di laman facebook rasmi PPIM. – MEDIA PPIM

4485) PPIM GESA WUJUD AKTA MATA WANG DIGITAL – UTUSAN MALAYSIA – 24/5/18



KUALA LUMPUR 23 Mei – Akta dan undang-undang baharu perlu diwujudkan bagi melindungi orang ramai yang terjebak dalam pelaburan mata wang digital atau kripto, Bitcoin.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, akta baharu itu membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat penawaran pelaburan.
“Akta baharu perlu diwujudkan segera dan akta yang sedia ada kini perlu dipertingkatkan supaya tidak ada kekosongan dari sudut perundangan untuk mereka melakukan penipuan.
“Sebab itu kita perlu lebih ke depan daripada mereka yang menjalankan sindiket penipuan mata wang digital,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPIM di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Biro Undang Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim.
Baru-baru ini, seorang individu yang bergelar Datuk ditahan berhubung siasatan kes penipuan pelaburan forex (GWGFX) dan Bitcoin Bitkingdom melibatkan 23 laporan polis dengan kerugian bernilai RM13.9 juta.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, garis panduan segera oleh kerajaan diyakini membendung kesan sosial yang timbul akibat penipuan mata wang digital seperti ugutan samseng, kerugian pelabur dan keruntuhan institusi rumah tangga.
Katanya, walaupun agensi kerajaan mendakwa transaksi mata wang digital tidak boleh dikawal selia kerana tiada bukti pembayaran namun tetap berlaku penawaran.
“Saya setuju tiada pembayaran kerana memakai mata wang digital kripto tetapi ada penawaran seperti iklan dan penawaran awam.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PPIM GESA WUJUD AKTA MATA WANG DIGITAL

4484) PPIM MAHU KERAJAAN GUBAL AKTA PELABURAN MATA WANG DIGITAL – MALAYSIA GAZETTE – 24/5/18



KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan akta atau undang-undang baharu bagi melindungi orang ramai yang terbabit dalam pelaburan mata wang digital.
Pengerusi Biro Undang-Undangnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, akta baharu itu akan membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengambil tindakan ke atas pihak yang membuat penawaran pelaburan.
“Mungkin juga akta sedia ada boleh dipinda dan dipertingkatkan supaya tidak ada kekosongan dari sudut perundangan untuk mereka melakukan penipuan.
“Kerana itu kita perlu lebih terkedepan daripada pihak yang menjalankan sindiket penipuan mata wang digital,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan di pejabat PPIM, di sini, hari ini.
Sidang media itu dibuat susulan penangkapan pemilik syarikat bergelar Datuk berhubung siasatan kes penipuan pelaburan mata wang asing, GWGFX dan bitcoin, Bitkingdom melibatkan 23 laporan polis dengan kerugian berjumlah RM13.9 juta.
Hishamuddin berkata, garis panduan segera oleh kerajaan mampu mengatasi kesan sosial yang timbul akibat penipuan sindiket mata wang digital, seperti ugutan samseng, kerugian pelabur dan keruntuhan institusi rumah tangga.
Katanya, sekalipun agensi kerajaan mendakwa transaksi mata wang digital tidak boleh dikawal selia kerana tiada bukti pembayaran, tetapi ada berlaku penawaran.
“Saya setuju tiada pembayaran kerana memakai mata wang krypto tetapi ada penawaran seperti iklan dan penawaran awam.
“Jadi, agensi pengawal selia perlu fikirkan satu tindakan berkaitan kaedah penawaran awam yang dibuat.
“Tindakan perlu dikenakan terhadap modal dan urus niaga yang tidak mematuhi SC,” katanya.
Sementara itu, aktivis PPIM Mohd Al-Iman Zakaria berkata, hasil laporan polis mendapati sindiket menyelewengkan sejumlah berjumlah RM925 juta.
Sindiket katanya, berleluasa di China, India, Singapura, Vietnam selain Malaysia membabitkan keahlian seramai 150,000 orang yang berdaftar di Asia termasuk 70,000 orang di Malaysia. – MalaysiaGazette

Artikel Oleh : Malaysia Gazette
PPIM MAHU KERAJAAN GUBAL AKTA PELABURAN MATA WANG DIGITAL

4483) THREE AGENCIES JOIN HANDS TO REDUCE NEEDY’S FINACIAL BURDEN -THE STAR ONLINE – 24/5/18


About 2,000 hardcore poor and orphans will benefit from the Hari Raya Contributions Aid programme organised by three agencies.
The agencies are Malaysian Muslim Consumers’ Association (PPIM), Zakat Collection Centre and Al-Madrasathul Faridiyah.
PPIM lead activist Datuk Nadzim Johan said the annual programme that was started 18 years ago had expanded and this year, there would be a buka puasa do for recipients.
“We gave out forms at Taman Sri Rampai in Kuala Lumpur, as data collection to see how many applicants are eligible.
“The programme also aims to spread festive cheer and reduce the applicants’ financial burden,” he said, adding that the event to break fast together would be held in the third week of Ramadan.
Applicants will get provisions such as rice, cooking oil and noodles as well as some pocket money.
“It is important to have the feel-good factor during festive seasons.
“A small contribution like this will help the needy community society,” he added.
Artikel Oleh : The Star Online
THREE AGENCIES JOIN HANDS TO REDUCE NEEDY’S FINACIAL BURDEN

Monday, May 21, 2018

4482) PPIM MULAKAN PROGRAM JUALAN JIMAT BELANJA DAPUR – PPIM – 21/5/18

KUALA LUMPUR 20 Mei – Orang ramai kini boleh menarik nafas lega dengan bermulanya Program Jualan Jimat Belanja Dapur yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama rakan niaga strategiknya, Nurani Resources Sdn. Bhd.


 Dalam jualan yang berlansung di Pasar Bandar Baru Ampang tersebut, orang ramai berpeluang untuk mendapatkan barangan basah dan keperluan lain pada harga rendah serta menjimatkan.

Menurut Pengarah Urusan Nurani Resources Sdn. Bhd., Datuk Ali Hasan, program berkenaan disasarkan kepada B40 yang amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang berlaku selama ini.
“Islam merupakan agama yang lengkap dan sentiasa menganjurkan kebaikan dan manfaat bersama dalam setiap perkara termasuklah perniagaan, inilah asas kepada penganjuran Jualan Jimat Belanja Dapur yang sasarannya ialah untuk melegakan beban masyarakat.
“Kami juga bersyukur kerana mendapat sokongan pihak berkuasan tempatan dan berdoakan agar sokongan tersebut akan sentiasa diteruskan dan dipertingkatkan demi kepentingan masyarakat terutamanya golongan B40,” kata Ali ketika ditemubual media pada program berkenaan. – UNIT MEDIA PPIM

4481) 4 KALI PINJAM – HARIAN METRO – 20/5/18


Kuala Lumpur: Kerana ingin membeli satu telefon pintar berharga RM500, seorang lelaki menanggung kerugian lebih RM200,000 selepas mendakwa diperdaya satu sindiket penjualan alat telekomunikasi secara dalam talian.
Bukan itu saja, mangsa yang mendakwa dipukau turut membuat pinjaman bank sebanyak empat kali untuk membuat bayaran malah dia turut dikenakan pelbagai caj termasuk guaman dan kastam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raduan, 30, berkata, dia tertarik untuk membeli telefon pintar berkenaan selepas melihat promosi diiklankan di sebuah portal beberapa bulan lalu.
Menceritakan perkara itu Raduan berkata, dia kemudian menghubungi penjual terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum diminta memasukkan wang pendahuluan RM250 ke akaun diberikan.
Dia pada mulanya tidak mengesyaki perkara mencurigakan, sebaliknya teruja untuk menggunakan telefon pintar baru yang bakal diterima beberapa hari kemudian selepas membuat bayaran awal.
“Tidak lama kemudian penjual terbabit menghubungi saya, dia beritahu sudah terlebih buat tempahan iaitu sehingga lima unit telefon pintar. Dia kemudian buat tawaran untuk jual semua telefon bimbit berkenaan yang kononnya masih berada di Singapura dan saya terus setuju.
“Tanpa banyak soal saya kemudian masukkan RM3,000 dan selepas itu kami hanya berhubung menggunakan e-mel. Selepas itu, saya membuat banyak lagi bayaran, apa yang pelik saya hanya ikut arahan penjual terbabit, bila dihitung bayaran dibuat sudah mencapai RM80,000.
“Selepas sebulan kami masih berhubung, namun penjual itu masih minta wang daripada saya. Dia berjanji akan bayar semula wang berkenaan bersama barangan dibeli,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Raduan berkata, setiap kali penjual itu meminta wang, dia terpaksa meminjam daripada rakan-rakan, menjadualkan semula dua pinjaman bank serta membuat dua pinjaman baru.
“Bila sudah berlarutan, saya mendesak penjual itu mengembalikan semua wang saya dan mereka turut menawarkan khidmat guaman untuk saya menyelesaikan masalah ini.
“Keluarga termasuk isteri sudah mengesyaki sesuatu yang tidak kena, namun saya seperti tidak mengendahkan nasihat mereka malah terus berurusan dengan sindiket itu.
“Sampai satu tahap, saya juga sudah serahkan butiran peribadi seperti nombor akaun bank. Saya tidak tahu apa yang saya buat dan jadi seperti tidak tentu arah. Sedar-sedar, saya sudah serahkan hampir RM200,000 semata-mata untuk beli sebuah telefon pintar,” katanya.
Sementara itu, Aktivis Kanan PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti sama ada dalang kes itu membabitkan sindiket sama pernah disiasat sebelum ini.
Beliau turut menasihatkan pengadu agar membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat dan dalang dikenakan tindakan jika didapati bersalah.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pembelian secara dalam talian kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menipu pengguna,” katanya.

Artikel Oleh : HARIAN METRO
4 KALI PINJAM

4480) 1500 BORANG DIAGIH – HARIAN METRO – 20/5/18



Menunggu seawal Subuh. Itu dilakukan lebih 500 asnaf dan golongan memerlukan demi mendapatkan borang bantuan sumbangan Aidilfitri yang diagihkan Tahfiz Al-Madrasatul Faridiyah, di sini, semalam.
Pusat tahfiz berkenaan milik Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan, mengagihkan 1,500 borang bantuan kepada penerima asnaf termasuk anak yatim dan golongan miskin bukan Islam.
Jawahar berkata, program kali ke-18 itu mendapat kerjasama Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) bagi memberikan sumbangan keperluan harian kepada golongan memerlukan.
“Mengikut perancangan, kami sepatutnya mula mengagihkan borang berkenaan jam 7 pagi, namun lebih 500 orang menunggu seawal Subuh. Berikutan itu kami terpaksa cetak borang tambahan kerana jumlah yang datang terlalu ramai.
“Alhamdulillah, ini antara cara kami bersedekah yang diadakan setiap tahun ketika Ramadan. Hari ini (semalam) mereka mengambil borang terlebih dulu dan majlis penyampaian serta berbuka puasa akan diadakan dalam waktu terdekat di padang Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai.
“Setiap seorang memperoleh barangan keperluan harian berjumlah RM250 dan diharap ia dapat meringankan beban untuk mereka menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Restoran Ali Maju, Taman Seri Rampai, semalam yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Sementara itu, Nadzim berkata, langkah proaktif dermawan ini wajar dicontohi oleh rakyat Malaysia yang mempunyai kemampuan dengan meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Sebenarnya ramai golongan asnaf sangat memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri dan disebabkan itu ada yang sanggup beratur seawal Subuh,” katanya.
Artikel Oleh : HARIAN METRO
1500 BORANG DIAGIH

4479) TUBUH JAWATANKUASA KHAS TANGANI KENAIKAN HARGA BARANG – UTUSAN MALAYSIA – 21/5/18


KUALA LUMPUR 16 Mei – Persatu­an Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memerangi isu kenaikan harga barang pada musim pera­yaan, tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan mulai esok sehingga Mac 2019 itu berperanan melakukan pemantauan menyeluruh terhadap kenaikan harga barang sepanjang musim perayaan.
 Menurut beliau, ja­wa­tankuasa itu juga bertanggungjawab memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi bagi menampung permintaan di setiap kawasan terutamanya membabitkan kedai runcit.
“Sehingga hari ini keadaan masih ter­kawal dan kami di sini masih belum menerima sebarang rungutan daripada pengguna wa­laupun umat Islam akan mula berpuasa esok.
“Walaupun buat masa ini Menteri Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan belum dilantik, CASSA tetap akan membuat pemantauan dan membantu menangani masalah pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna boleh membuat aduan kepada CASSA berhubung kenaikan harga barang yang dihadapi secara atas talian menerusi hotline 03-78476295 atau emel ke georgejacob45@yahoo.com.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya menunggu laporan dan maklumat daripada sukarelawan yang membuat pemantauan terhadap harga barang sepanjang Ramadan ini.
“Maklumat itu akan kami kumpul sebelum siasatan dan sebarang tindakan diambil.
“Tak dinafikan masih wujud peniaga-peniaga yang degil dan menaikkan harga barang terutamanya makanan bagi mengaut keuntungan yang berganda, walaupun masih belum ada menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah ini, pengguna harus mencegah diri mereka sendiri daripada ditipu peniaga,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pre­siden Gabungan Persatuan-persa­tuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, lazimnya, pihaknya me­nerima aduan pengguna membabitkan kenaikan harga barang pada minggu kedua Ramadan dan jumlah­nya meningkat menje­lang Aidilfitri.
“Mereka akan membuat laporan selepas ba­­zar-bazar Ramadan beroperasi dan laporan biasanya membabitkan harga barangan dan tahap kebersihan makanan. 
 “Walaupun keadaan kini masih terkawal, kami tetap berharap pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) te­rus menjalankan tugas dalam memantau harga barang jualan supaya tidak ada peniaga yang berani mengambil kesempatan menje­lang Aidilfitri ini,” katanya.
Artikel Oleh : UTUSAN MALAYSIA


4478) PROGRAM BANTUAN HARI RAYA MADRASATUL FARIDIYAH – PPIM- PPZ MAIWP DAPAT SAMBUTAN LUAR JANGKA – 19/5/18

KUALA LUMPUR 19 Mei – Program Sumbangan Bantuan Hari Raya yang dianjurkan secara kerjasama antara Pusat Tahfiz Madrasatul Faridiyah; Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendapat sambutan diluar jangkaan.
Menurut Penasihat PPIM, Datuk Jawahar Ali, pada awalnya, pihak penganjur menjangkakan hanya sekitar 1,000 orang akan hadir untuk mengisi borang bagi memohon bantuan berbentuk barangan keperluan harian yang bakal diberikan pada satu majlis yang akan diadakan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian itu.

Jelas beliau, pihaknya agak terkejut apabila borang-borang berkenaan habis dalam masa kurang sejam selepas majlis penyerahan bermula pada pukul 7 pagi tadi.
Pun begitu, Jawahar yang juga merupakan Pengasas Pusat Tahfiz Madrasatul Faridiyah memberitahu, pihaknya telah menambah hampir 1,000 salinan borang permohonan berkenaan untuk diedarkan dan diisikan oleh pemohon berkelayakan yang lewat hadir ke lokasi pengedaran borang di Restoran Ali Maju yang terletak di Rampai Business Park di sini.



“Acara tahunan yang telah dijalankan sejak tahun 2000 ini sememangnya telah diketahui oleh khalayak ramai di seluruh negeri namun pada tahun ini sambutannya melebihi daripada apa yang kami sasarkan.
“Kami dapat tahu yang hadir pada hari ini ada yang datang dari sejauh Shah Alam dan Seremban. Pun begitu kami tidak meletakkan sebarang had, cuma kepentingan diberikan kepada golongan asnaf,” kata Jawahar kepada media selepas majlis penyerahan tersebut





Jawahar menambah, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi semua permohonan yang dibuat dan meminta kepada mereka yang telah mengambil borang berkenaan untuk turut memanjangkannya kepada golongan kelainan upaya; warga emas dan kelompok asnaf yang lain.
Jelas beliau program sumbangan bantuan hari raya berkenaan telah 18 kali diadakan dan tahun ini merupakan kali pertama diadakan dengan kerjasama bersama PPIM serta PPZ MAIWP .
Beliau selanjutnya menerangkan, kerjasama berkenaan dilakukan bagi menarik lebih ramai pihak untuk turut sama menyertai program berkenaan sebagai penyumbang agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.
Tambah beliau penyerahan bantuan tersebut akan dilakukan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai.
Turut hadir pada majlis penyerahan borang program bantuan hari raya tersebut ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan serta Penasihat Kehormat PPIM, Datuk Hussainy Hashim. – UNIT MEDIA PPIM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL