Thursday, June 18, 2015

2688) SINAR HARIAN - 17/06/15 - Ramadan Buka Peluang Rezeki

KUALA LUMPUR - Ramadan tiba lagi. Bagi para penjaja dalam industri makanan kecil-kecilan, berniaga di bazar-bazar Ramadan adalah satu aktiviti ekonomi yang menguntungkan, membawa kepada peningkatan permintaan terhadap pelbagai barangan keperluan.

Bagi mengelakkan sebarang kesukaran mendapatkan barangan keperluan, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani berkata, golongan peniaga dan penjaja perlu segera mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa jika berhadapan masalah bekalan sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri.

Katanya kekurangan bekalan boleh menyebabkan harga barangan naik.

"Lebih membimbangkan jika ada pemborong atau pembekal ini sorokkan barang seperti tepung, gula dan minyak kerana ia akan memberi kesan kepada peniaga dan penjaja kecil seperti kami dan sudah pasti pengguna turut terbeban jika ingin mendapatkan barangan keperluan," katanya kepada Bernama.

Menurut Ramli, wakil persatuannya akan turun padang memantau dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan golongan peniaga dan penjaja tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan barangan peniagaan.    

Beliau turut mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan setiap pihak menjalankan perniagaan dengan berhemah.

Katanya, hasil penguatkuasaan dan tindakan KPDNKK membantu melumpuhkan kegiatan kenaikan harga barangan oleh golongan yang ingin mengaut keuntungan lebih.

"Sekarang ini saya lihat banyak tangkapan dibuat secara besar-besaran oleh pihak berkuasa dan saya amat berpuas hati dengan usaha kerajaan serta pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, para pengguna harus lebih bijak mengawal perbelanjaan terutamanya ketika Ramadan bagi mengekang tindakan golongan peniaga atau pembekal yang sewenang-wenang menaikkan harga barang.

Katanya, kelemahan pengguna adalah mereka 'jahil' mengenai hak sebagai pengguna dan tidak melihat aspek kepenggunaan sebagai ilmu yang perlu difahami.

"Ramadan tidak patut dijadikan sebagai bulan pesta makanan, sebaliknya Ramadan adalah bulan untuk berjimat-cermat kerana Islam mendidik umatnya supaya bersederhana dan tidak membazir.

"Apabila peniaga menaikkan harga barang, rata-rata orang ramai akan merungut sedangkan mereka juga kena ambil tahu mengenai hak-hak sebagai pengguna dan cara mengatasi masalah itu," katanya.

Nadzim berpendapat penguatkuasaan undang-undang lebih ketat serta pemantauan secara efektif perlu dilakukan terhadap para peniaga dan pembekal yang mengambil kesempatan pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri. – Bernama


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/ramadan-buka-peluang-rezeki-1.402083

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL