Wednesday, July 10, 2013

811) BERITA HARIAN METRO 8/7/13-Syarat lucut tudung nafi hak beragama




PENDEDAHAN Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIPM) sesetengah syarikat di ibu negara mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam apabila mensyaratkan mereka yang ingin bekerja membuka tudung dan memakai skirt cukup mengejutkan, malah boleh disifatkan sebagai satu tindakan yang melampau.

Menurut Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, pihaknya menerima aduan mengenai masalah ini hampir setiap bulan dan lebih mengecewakan apabila ada syarikat yang terus mengamalkan dasar berkenaan walaupun selepas diberi teguran.

Kita tidak jangka hari ini masih ada majikan mahupun syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam. Justeru, sebagai menghormati hak kebebasan beragama serta hak setiap warga, pihak terbabit perlu memohon maaf secara terbuka bukan saja kepada individu berkenaan tetapi kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Hal ini penting demi menjaga sensitiviti rukun hidup masyarakat majmuk di negara kita. Tambahan pula syarat berkenaan juga langsung tidak masuk akal kerana menutup aurat bukan faktor produktiviti pekerja. Apa yang pasti dasar seperti ini menyinggung dan mengguris perasaan umat Islam.

Ternyata dasar itu secara terbuka bertentangan dengan Perlembagaan negara yang menetapkan bahawa setiap individu mempunyai hak menyatakan dan mengamalkan agama masing-masing serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Beberapa rangkaian kedai foto, gedung beli-belah serta kolej swasta disenaraikan antara syarikat mahupun majikan yang mengamalkan dasar diskriminasi terhadap wanita Islam seperti ini.

Hakikatnya desakan hidup serta kesukaran untuk memperoleh pekerjaan menyebabkan sesetengah wanita Islam terpaksa menggadai akidah dan pegangan apabila bersetuju dengan syarat sebegitu dengan menanggalkan tudung waktu kerja dan memakainya semula selepas habis bekerja.

Sebelum ini negara juga dikejutkan dengan hasil kajian sebuah universiti awam baru-baru ini yang mendedahkan betapa wujudnya diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta yang majoriti dimiliki kaum Cina dan asing.

Secara ringkasnya, kajian selama enam bulan itu mendapati, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan kaum Cina menjadi pilihan untuk dipanggil temu duga berbanding Melayu.

Buktinya, daripada lebih 3,000 resume yang dihantar kepada syarikat terbabit, kaum Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga berbanding 22.1 peratus peluang dimiliki graduan kaum Cina.

Ironinya pendedahan demi pendedahan seperti ini memperlihatkan betapa tahap perpaduan dan penyatuan nasional berada pada keadaan yang cukup merisaukan. Dan sekali lagi dalam isu seperti ini penguatkuasaan undang-undang terhadap majikan yang degil ini dilihat belum mantap dan perlu diteliti secara serius.

Diskriminasi dan penindasan secara halus ini membuktikan adanya usaha untuk menafikan hak sesuatu kaum yang bakal mengundang pelbagai konflik perkauman jika dibiarkan terus berlarutan.

Kedudukan agama Islam misalnya cukup jelas dalam Perlembagaan yang diiktiraf sebagai agama rasmi Persekutuan. Maka tindakan segelintir majikan yang meletak syarat membuka tudung dan memakai skirt jelas bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara.

Ini menunjukkan penghayatan dan pemahaman terhadap kandungan dan keperluan untuk menjunjung Perlembagaan dan undang-undang negara sangat lemah dalam kalangan segelintir rakyat negara ini. Begitu juga halnya dengan diskriminasi terhadap graduan Melayu yang bakal mencetuskan polemik berpanjangan.

Pihak kerajaan yang sedang merangka pelan penyatuan nasional perlu mengambil kira isu seperti ini secara serius. Justeru, langkah pembetulan serta pencegahan yang sewajarnya perlu diambil dengan segera agar perkara sebegini dapat ditangani secara berhemah secepat mungkin.

Jika dibiarkan berleluasa, dikhuatiri akan menimbulkan rasa tidak puas hati serta meniup api kemarahan dalam diri rakyat yang rasa diri mereka ditindas ataupun menjadi mangsa diskriminasi.

Ringkasnya hormatilah hak setiap warga kerana itulah formula kejayaan kita selama ini. Hayatilah kontrak sosial serta Perlembagaan yang menjadi panduan hidup masyarakat majmuk di negara kita.

Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...