Monday, August 15, 2016

2998) KUMPULAN WANG AMANAH DEPOSIT LINDUNGI PENGGUNA – BERITA HARIAN – 14/8/16

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Deposit berupaya mampu melindungi pengguna daripada menjadi menjadi mangsa penipuan syarikat yang enggan membayar balik deposit pengguna yang ingin menamatkan langganan dengan organisasi terbabit.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima maklumat ada syarikat enggan membayar balik deposit. “Ini bermakna wang deposit dibayar pengguna boleh diambil secara automatik pada bila-bila masa selepas berhenti melanggan dengan sesebuah syarikat.

Ada juga pengguna terlupa mereka membayar deposit dan dengan sendirinya syarikat terbabit memperoleh keuntungan mudah atas kelalaian kita,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, yang menyarankan kerajaan mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Deposit untuk mengurus deposit pengguna dalam pelbagai perkhidmatan termasuk telekomunikasi, elektrik dan air.

Jumaat lalu, BH melaporkan deposit berkenaan meliputi pelbagai perkhidmatan termasuk utiliti, perumahan dan pinjaman mudah yang ketika ini gagal diurus dengan berkesan dan tidak memanfaatkan pembayar. Kajian mendapati, sejumlah RM50 bilion wang deposit seperti bayaran perkhidmatan telefon ditempatkan sewenang-wenangnya termasuk dalam akaun syarikat yang menerima deposit itu atau peguam tanpa jaminan dikembalikan kepada pembayar.

Nadzim turut mencadangkan mereka yang membayar deposit diberi sijil khas untuk digunakan ketika menuntut wang berkenaan selepas menamatkan langganan. “RM50 bilion adalah jumlah yang besar dan jika diurus dengan berkesan menerusi Kumpulan Wang Amanah Deposit, ia boleh memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada pembayar deposit,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk Mohd Firdaus Abdullah, berkata sistem sedia ada mencukupi dan tidak perlu menubuhkan kumpulan wang amanah deposit. “Kerajaan hanya perlu mewujudkan jawatan baharu untuk mengurus dan mentadbirnya yang sudah pasti memerlukan peruntukan baharu untuk membina prasarana dan penggajian kakitangan,” katanya.


http://ift.tt/2brrFGt






Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...