Friday, August 26, 2016

3024) JANJI MANIS “AH LONG BERLESEN” – SINAR HARIAN – 26/8/16

image
KUALA LUMPUR – Lambakan premis pinjaman wang berlesen di ibu negara dilihat menjadi ancaman kepada pengguna, lebih-lebih lagi buat mereka yang terdesak.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan premis perniagaan yang menjadi tumpuan warga kota mendapati premis-premis ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dengan menawarkan pelbagai promosi pinjaman mudah.

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata premis ini beroperasi di deretan bank-bank dipercayai bagi menarik perhatian pengguna yang gagal mendapat pinjaman bank.

Antara kawasan terlibat ialah di Bandar Sri Permaisuri, Setiawangsa dan Wangsa Maju.
Tidak pasti sejauh mana ia berlesen, khidmat pinjaman wang yang ditawarkan nyata bukan biasa-biasa sebaliknya ada modus operandi yang bakal memerangkap si peminjam.

Sumber memberitahu, walaupun kononnya beroperasi secara sah dan perlu melalui beberapa prosedur pinjaman seperti yang dilakukan pihak bank, ia hanya sekadar ‘wayang’ kerana khidmat peminjam wang berlesen ini tidak ubah seperti ah long.

Konsep ‘makan bunga’ menyebabkan ramai terkena dan tidak dapat lari daripada menanggung hutang yang banyak.

‘Tidak akan lepaskan peminjam’ menjadi prinsip syarikat pinjaman wang ini dengan pelbagai helah memastikan setiap peminjam terus terikat dengan hutang yang dipinjam.

“Mereka akan ‘mengikat’ si peminjam tanpa sedar termasuk sengaja melewat-lewatkan tempoh bayaran balik antaranya dengan helah tukar ejen baru, memanjangkan tempoh bayaran balik dengan kadar bunga yang melampau dan tawarkan pinjaman bagi akaun kedua dan seterusnya menyebabkan hutang bertambah,” katanya.

Tidak cukup dengan helah memerangkap peminjam, dakwa sumber itu, hampir 80 peratus individu terlibat dengan perniagaan berkenaan terdiri daripada kumpulan gengster dan kongsi gelap menyebabkan mereka dapat beroperasi dengan selesa.

Ujarnya, tanpa kawalan daripada pihak berkuasa, syarikat-berkenaan akan terus memanipulasi khidmat dengan berselindung di sebalik premis.

“Terlalu banyak kes peminjam yang tak dapat lari daripada menanggung hutang yang menimbun disebabkan modus operandi mereka ini. Ada pengguna yang kononnya mahu lari dari pinjam ah long, dan pinjam melalui proses yang teratur, akhirnya memakan diri.

“Status operasi syarikat peminjam yang didakwa berlesen inilah yang menjadi perangkap besar pengguna terdesak,” katanya.


http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/janji-manis-ah-long-berlesen-1.556537#.V7-un4YLf9o



Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...