Thursday, April 16, 2015

2564) SINAR HARIAN - 02/04/15 - Bank Negara Perlu Serap GST Perkhidmatan MEPS

PUTRAJAYA - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyaran bank-bank di Malaysia menyerap kos Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) enam peratus yang dikenakan pada perkhidmatan sistem pembayaran elektronik (MEPS).
 
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna yang menggunakan perkhidmatan MEPS untuk pengeluaran wang di ATM dikenakan caj RM1 dan kini telah ditambah dengan caj CBP sebanyak RM0.06.
 
"Bank-bank tidak patut mengenakan GST pada perkhidmatan MEPS. Mereka harus memberi pengecualian GST dan menyerap kos enam peratus itu kerana pengguna telah dikenakan caj RM1 ketika pengeluaran wang di ATM.
 
"Saya berharap bank-bank di Malaysia bertimbang rasa, bersikap gentleman dan mencontohi Mydin dengan menyerap kos GST. Memandangkan Mydin akan serap berjuta-juta ringgit, saya berharap bank-bank boleh serap sikit-sikit," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Nadzim memberikan contoh bank-bank di Singapura tidak mengenakan GST pada perkhidmatan MEPS sebagai menyokong usaha kerajaan.
 
Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini mengumumkan bahawa perkhidmatan pengeluaran wang di ATM di bank yang sama tidak dikenakan GST, dan turut menjelaskan hanya perkhidmatan MEPS dikenakan GST pada caj RM1 dan bukan terhadap jumlah wang yang dikeluarkan.
 
Nadzim, yang menaungi persatuan pengguna yang menyokong pelaksanaan GST turut menyaran pengguna memboikot peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan susulan pelaksanaan GST.
 
"Sebenarnya GST tiada masalah kerana lebih 160 buah negara telah melaksanakannya namun terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
 
"Ini sangat tidak beretika dan mereka perlu mengubah sikap mereka," katanya. Menurutnya, beliau menerima pelbagai aduan sejak beberapa bulan yang lalu tentang sikap manipulasi peniaga yang menaikkan harga barang.
 
"Pengguna harus bijak dan memboikot peniaga yang mengambil kesempatan. Nasihat saya, pengguna perlu lebih peka dan membeli di kedai yang menawarkan harga yang murah dan berkualiti," katanya. - Bernama

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...