Headline: Syarikat labur emas RM5b tak dilulus BNM
Publication: BH
Date of publication: Aug 2, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 011
Byline / Author: Oleh Shaarani Ismail dan Nor Azizah Mokhtar
Kuala Lumpur: Orang kenamaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli perniagaan didakwa antara pelanggan sebuah syarikat pelaburan emas yang setakat ini dikatakan sudah mengumpul lebih RM5 bilion.
Bagaimanapun, syarikat itu, Genneva Malaysia Sdn Bhd disenaraikan entiti tidak diberikan kebenaran atau kelulusan menjalankan kegiatan pelaburan di bawah undang-undang dan peraturan Bank Negara Malaysia (BNM), kata bank pusat itu dalam kenyataannya, kelmarin.
Awal bulan lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan transaksi pelaburan emas yang dibuat syarikat itu, tidak mematuhi hukum syarak kerana tidak mematuhi garis panduan Pelaburan Emas sebagai mana diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober tahun lalu.
Gagal padamkan maklumat dalam laman web
Semalam, satu laporan polis dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, mendakwa syarikat itu gagal memadam maklumat dalam laman webnya yang menyatakan pelaburan emas dibuatnya mematuhi hukum syarak.
Pegawai kerja PPIM, Mustafa Hamzah, berkata tindakan itu jelas melanggar ketetapan yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bank Negara kerana syarikat berkenaan masih menyatakan pelaburan yang dibuat mematuhi hukum syarak bagi menarik pelanggan.
"PPIM menggesa syarikat itu supaya mengeluarkan perkataan 'produk berlandaskan syariah' yang masih ada dalam laman webnya kerana ia mengelirukan pengguna dan pelabur.
"Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat syarikat berkenaan bagi memastikan pengguna tidak tertipu dengan skim yang meragukan," katanya.
Kes ke IPD Brickfields
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu namun kes dipindahkan ke IPD Brickfields berikutan syarikat pelaburan berkenaan berpangkalan di Jalan Kuchai Lama.
"Bagaimanapun, polis ingin menasihatkan orang ramai yang mahu membuat pelaburan tidak kira apa juga pelaburan, termasuk emas agar melakukan semakan terlebih dulu sama ada bentuk pelaburan itu sah di sisi undang-undang atau sebaliknya," katanya.
No comments:
Post a Comment