Wednesday, August 29, 2012

615) METRO AHAD : Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber



Headline: Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber
Publication: MA
Date of publication: Aug 26, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 020


KUALA LUMPUR: "Judi Internet biasanya berselindung di sebalik pusat siber. Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati serta mengawasi pergerakan anak yang meminta kebenaran ke pusat siber," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengenai kegiatan judi siber yang semakin berleluasa.

Menurutnya, taktik pusat judi berselindung atas nama pusat siber menyebabkan ramai remaja terjerumus dalam kegiatan judi itu sehingga kerugian mencecah ribuan ringgit.

"Kebanyakan pusat judi siber menawarkan pertaruhan serendah RM1. Jadi remaja terbabit berjudi secara kecil-kecilan antara RM5 hingga RM10.

"Walaupun ada ketikanya mereka menang, kekerapan itu terlalu sedikit dan tanpa sedar, mereka sudah berbelanja ribuan ringgit," katanya.

Nadzim berkata, taktik pusat siber juga sangat licik berikutan tidak membayar wang kemenangan jika nilainya bawah RM100.

Disebabkan itu, katanya, remaja terbabit akan terus mencuba nasib untuk mendapatkan kemenangan melebihi RM100.

"Ini sebahagian taktik digunakan kerana tidak mahu membayar wang kemenangan walaupun menang RM10.

"Mahu tak mahu, mereka terpaksa melabur wang kemenangan yang ditukar kepada percubaan sebanyak 10 kali lagi," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut mengakui menerima aduan daripada ibu bapa mengenai anak mereka bermain judi secara on-line.

Katanya, walaupun kes berkenaan terpencil dan tidak membabitkan nilai besar, ia perlu diberi perhatian.

"Walaupun aduan kita terima membabitkan nilai kecil, kita berharap pemantauan terhadap remaja terbabit diberi perhatian serius.

"Ini kerana kita khuatir ia mendorong mereka mencuba judi dengan taruhan lebih besar. Lebih merisaukan, remaja terbabit mungkin mencuri dan merompak untuk memenuhi kehendak berjudi," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL