Petaling Jaya-8hb Oktober 2011 : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama dengan mangsa-mangsa penipuan skim perniagaan Matkiosk, Waterdrop, skim perniagaan vending machine serta kiddie ride telah menyerbu Armada Hotel di Petaling Jaya pagi ini. Setelah menjejaki kumpulan ini sejak lebih 1 tahun, pasukan ini telah mendapat maklumat bahawa salah seorang dari suspek yang terlibat di dalam skim penipuan melibatkan ratusan juta dengan ribuan mangsa ada di sana untuk memberi ceramah.
Di dalam serbuan yang dirancang oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan dipimpin oleh Pegawai Kerja Sdr Mustafa Hamzah serta hampir 30 mangsa yang terdiri dari pelbagai bangsa di kalangan Melayu, Cina dan India. Kumpulan ini telah lama berusaha untuk berjumpa suspek terbabit untuk mendapat penjelasan seterusnya menyelesaikan perkara tersebut.
Malangnya mangsa-mangsa terbabit yang kebanyakannya ditemani oleh sanak-saudara mereka hilang pertimbangan apabila menemui suspek dan meminta suspek memulangkan segera duit mereka yang telah ditipu oleh suspek dan konco-konconmya sehingga berlakunya pergelutan dan pergaduhan sehingga suspek mendapat cedera ringan.
Akhirnya beliau mengakui bahawa beliau bertanggungjawab dengan semua penipuan yang dilakukan serta sedang berusaha untuk memulangkan semula duit yang dituntut oleh mangsa.
Episod tersebut berakhir 15 minit kemudian apabila polis dari cawangan jenayah komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang telah dihubungi oleh PPIM menangkap dan membawa suspek tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.
Mengulas tindakan pantas pihak polis dalam menangani isu tersebut, PPIM dan beberapa orang mangsa terbabit merakamkan penghargaan yang tinggi kepada OCPD daerah Petaling Jaya Tuan Arjunaidi bin Mohamed serta YDH Datuk Tun Hisan Tun Hamzah selaku Ketua Polis Selangor yang membolehkan pihak polis bertindak pantas dalam menangani kes tersebut sehingga suspek ditangkap dan kejadian yang lebih buruk dapat dihindarkan. Harapan mereka agar pihak polis serta yang berwajib dapat menyiasat kes yang dilapor sehingga kesemua mereka yang terlibat di dalam menipu mangsa dikenakan tindakan seadilnya.
Ulasan: Jika sesiapa yang mengetahui ada kenalan yang pernah tertipu oleh skim seumpama ini, diminta menghubungi PPIM bagi tujuan pengumpulan maklumat untuk membolehkan semua yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.
Sekretariat PPIM : 0193591000 / 0199130000
Rujuk juga berita terdahulu :
1 comment:
berikan hukuman setimpal dengan penderitaan mangsa...dan semoga dapat dijadikan pengajaran kepada PENIPU yang lain...
Post a Comment