KUALA LUMPUR – Nurazureen, 22, dan adiknya Ina, 17, tidak pernah pergi dan mendapat rawatan dari klinik seumur hidup biar pun pernah sakit teruk ekoran mereka tidak punya sebarang kad pengenalan diri sejak lahir setelah ditinggalkan bapa mereka kepada pengasuhnya.
Mereka dua beradik hanya mampu untuk membeli ubat di farmasi sekiranya sakit, tidak pernah mendapat rawatan secara formal dan kepingin sekali untuk hidup berhak sebagai mana warganegara Malaysia lain yang diiktiraf dengan sekeping kad pengenalan.
“Saya dan adik tak pernah sekali pun ke klinik kalau sakit kerana kami tidak ada kad pengenalan atau surat kelahiran yang membuktikan kami sebagai warganegara Malaysia atau mana-mana negara, hidup tanpa sebarang identiti”, katanya pada satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Mengurut Azureen, dia yang berumur enam tahun dan adiknya hanya berusia lima bulan, ditinggalkan bapanya, yang juga warganegara bumiputera berbangsa Melayu, pada Saerah Shaharin, 65, yang ketika itu mengambil upah mengasuh pada tahun 1994, dan tidak muncul-muncul untuk menjemput mereka kembali.
Mereka pernah cuba mencari ibu bapa kedua beradik tersebut, namun gagal dikesan meskipun pernah meminta akhbar Utusan Malaysia untuk menyiarkan berita mengenai mereka pada tahun 1997, dan mereka berputus asa dengan usaha tersebut, jelasnya.
Saerah, balu kepada bekas anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang menjadi ibu angkat kepada kedua beradik itu berkali-kali memohon dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri mereka, namun jawapan dari jabatan itu mendukacitakan.
Meskipun Saerah sudah melakukan akuan bersumpah dan melaporkan status kedua-dua beradik tersebut dalam usaha mendapatkan kad pengenalan bagi mereka berdua, usahanya tetap gagal serta beroleh jawapan menghampakan dari JPN.
Nurazureen ditemui mynewshub.my pada satu sidang akhbar yang dilakukan oleh pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kesukaran bagi mendapatkan kad pengenalan diri bagi kedua beradik tersebut yang turut menggesa pihak Kerajaan membantu kes-kes seperti ini.
Hidup Azureen dan adiknya jelas sukar ekoran tidak punya identiti rasmi yang mengakibatkan mereka tidak pernah bersekolah, sukar mencari pekerjaan, tidak punya akaun bank, tidak boleh mendaftar di mana-mana agensi atau jabatan perkhidmatan Kerajaan dan sering risau sekiranya ditahan pihak berkuasa.
Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Rahman berkata, pihak Kerajaan sering memberikan kad pengenalan kepada warga-warga asing yang bermastautin di negara ini, dan mengharap agar pihak Kementerian yang bertanggungjawab turut melayan rayuan warganegaranya sendiri. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment