Awas telur tiruan di pasaran – CAP
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di Malaysia supaya berhati-hati ketika membeli telur kerana terdapat telur tiruan dijual di pasaran.
Pagi kelmarin, seorang pengguna datang ke pejabat CAP bersama sedulang telur yang agak luar biasa bentuknya. Menurut beliau, apabila dimasak, telur itu tidak berbau seperti telur biasa dan tidak mempunyai sebarang rasa. Oleh kerana beliau berasa ragu-ragu dengan kandungan telur yang dibelinya itu, beliau membawa telur-telur tersebut ke pejabat CAP dan terus membuat aduan mengenainya.
Selepas diperiksa, kami mendapati memang benar telur-telur tersebut mempunyai bentuk yang berbeza daripada biasa. Ia besar dan bila dipecahkan tidak kelihatan pusat telur (chalazae - bahan legap yang biasanya terdapat pada putih telur, membendung kuning telur pada bahagian tengah telur). Telur-telur itu juga tidak berbau seperti telur biasa.
Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.
Mengikut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.
Kuning telur dihasilkan hanya dengan mencampurkan pewarna makanan kuning lemon ke dalam adunannya.
Kalsium klorida ditambah ke dalam adunan telur dan kemudian ke dalam acuan untuk menghasilkan membran telur. Cangkerang telur diperbuat dengan lilin parafin, serbuk gypsum, kalsium karbonat dan bahan-bahan lain.
Pada amnya bahan-bahan ini adalah penambah makanan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama. Oleh itu telur tiruan hanya mempunyai sedikit atau tidak langsung berkhasiat berbanding telur sebenar.
Cara mengenal telur tiruan:
1. Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.
2. Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.
3. Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.
4. Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.
5. Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.
6. Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.
7. Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.
8. Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.
Telur adalah sumber protein yang murah dan dimakan oleh penduduk Malaysia. Memandangkan ia merupakan makanan kegemaran ramai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dengan segera berhubung isu telur tiruan ini.
Tambahan pula, telur tiruan mungkin mengandungi gelatin yang haram dimakan oleh orang Islam.
S. M. MOHAMED IDRIS
9 comments:
diharap agar semua pengguna berhati2 dengan barangan di pasaran sekarang....diharap agar perkara ini dapat dibendung sebelum menjadi lebih teruk....
semuanya ini adalah penguatkuasaan dr pihak kerajaan jugak...rakyat sekarang dinasihatkan sentiasa berhati2 semasa membeli..tetapi semua brg makanan dr negara luar tidak dipantau,diseldik terlebih dahulu & dujikaji terlebih dahulu..tlglah pihak yg berkenaan mengambil serius hal2 mcm ni...jgn rakyat sentiasa dinasihatkan berhati2 tetapi pd masa yg sama kerajaan terlalu bebas beri kebenaran pd pihak tertentu utk mengimport dr negara luar..sama2lah kita menjaga hak pengguna dinegara kita sendiri..
Banyak sgt barangan tiruan yang wujud di pasaran pada hari ini, kdg2 barangan tiruan ini sukar utk kita beza kn dgn mata kasar...jd sebagai pengguna kita perlu lebih berhati2 dan melihat label serta membuat penilaian yg betul sblm membeli barang....
Perkara ini perlu dibasmi oleh pihak berkuasa hingga ke akar umbi kerana jika tidak dibendung, ia akan dijual pula di lain-lain tempat dan tidak mustahil bahan-bahan makanan tiruan lain pula akan diedarkan di pasaran, lantas menjejaskan kesihatan para pengguna.
Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/
Sy setuju dgn pendapat administrator, cegahlah sebelum terlambat...sy ada terbaca dlm satu blog menyatakan bahan utama dalam telur-telur tiruan tersebut adalah bahan tambahan makanan, getah damar, kanji, pengeras, dan pigmen-pigmen. Penggunaan yang berlebihan atas bahan-bahan tersebut akan merosokkn perut kita dan menyebabkan gejala-gejala seperti kehilangan ingatan dan keterlambatan mental, dan sbg nya....
Kita sbg pengguna perlu bersama2 menggunakan hak kita sbg pengguna melaporkn kepada pihak berkuasa dgn segera sekiranya mengetahui mana2 kedai yg menjual telur tiruan demi utk kebaikan kita semua
lebih baik kalu kite tak payah makan telur...kalau dalam diri timbul rasa was-was
Masa heboh diperkatakan telor tiruan, saya sendiri pernah terbeli sepuloh biji telor tiruan di sebuah taman perumahan, dlm negeri Selangor. Telor itu kami rebus, konon nak makan sebagai inti roti sandwich. Apa yang paling ketara pada telor itu selain daripada yang tersenarai di atas, ialah susah dikupas walaupun sudah direndam dalam air sejuk sebaik dikeluarkan daripada air panas mendidih. Kuning telurnya terasa kasar/kesat apabila dirasa dengan lidah/jari tangan seperti ada pasir. Rasanya lain daripada rasa kuning telor asli yang ada rasa lemak dan rasa manis sedikit.
Post a Comment