Thursday, January 4, 2018

4277) JANGAN MERUNGUT, LAPOR JE – BERITA HARIAN – 4/1/18




KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya pandai merungut, tetapi mengambil langkah proaktif membuat aduan segera mengenai kenaikan harga barang tidak munasabah.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya hanya boleh mengambil tindakan, termasuk membuat pemeriksaan apabila ada aduan rasmi dibuat.
Katanya, aduan berkenaan adalah prosedur operasi standard (SOP) dasar dan undang-undang kementerian bagi membolehkan pihaknya menyiasat kesahihan aduan.
“Lapor (buat aduan di saluran rasmi) dan KPDNKK akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau mengulas rungutan ibu bapa muda terutama daripada golongan B40 dan M40, yang berdepan kenaikan harga barang keperluan sekolah tidak munasabah serta terlampau tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dijalankan di beberapa premis sekitar negeri berkenaan mendapati, harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30 peratus hingga 40 peratus tahun ini, berbanding tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya banyak mendengar rungutan orang ramai mengenai harga barang keperluan sekolah yang naik mendadak, namun tiada yang tampil membuat aduan rasmi.
Yusof turut mencadangkan supaya kerajaan menempatkan peniaga barang keperluan sekolah di bawah satu bumbung untuk mengelakkan perkara itu berulang pada masa akan datang.
Pada masa sama, beliau mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan lama dan tidak berkualiti, dengan mengenakan hukuman wajib beri potongan sehingga 80 peratus.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengesyorkan kerajaan menyediakan sistem atau saluran membekalkan barangan keperluan sekolah pada harga murah dan mampu milik seperti konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).
“Mungkin kerajaan boleh fikirkan untuk bawa masuk barang keperluan sekolah import, contohnya dari China. Tempatkan barang berkenaan dalam satu kedai dan jual kepada orang ramai.
“Melalui inisiatif ini, saya yakin bukan orang ramai saja mendapat faedah harga murah, malah tindakan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan mudah,” katanya.
Nadzim turut mencadangkan peniaga tempatan diwajibkan menjalani kursus perniagaan beretika supaya mereka tidak berani menipu pengguna.

Artikel Oleh : Berita Harian
JANGAN MERUNGUT, LAPOR JE


4276) IPTS ‘PERDAYA’ PELAJAR DAN PTPTN – SIDANG MEDIA PPIM – 4/1/18



Kuala Lumpur, 4 Januari 2018 – Hanya dengan janji manis dan tawaran yang menarik dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Noraini Muslim, 26 tahun, terpaksa menanggung bebanan hutang hampir RM70,000.00 gara-gara pemotongan bayaran “ghaib” berasingan yang ditolak melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi setiap semester oleh pihak kolej.



“Dalam surat perjanjian PTPTN sendiri hanya menyatakan berapa kita pinjam dan berapa kita perlu bayar balik. Itu sahaja.” keluhan Noraini Muslim yang hadir dalam sidang media ini bagi menceritakan pengalaman pahitnya ditipu sebuah IPTS yang terletak di Kedah.
“Anggaran graduan yang sudah terkena juga melebihi 1000 orang pelajar, melibatkan jumlah pinjaman yang berasingan mengikut kos yang dipilih.”



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada menerima banyak aduan berkaitan isu keculasan dan keengganan IPTS membayar semula baki yuran pemotongan daripada PTPTN selain aduan graduan terpedaya dengan janji manis IPTS bagi mendapatkan peluang pekerjaan selepas tamat sahaja tempoh pengajian.

Ketua Aktivis PPIM, Toqqi @ Nadzim Johan turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa IPTS yang mengambil kesempatan terhadap pelajar terutamanya apabila melibatkan hutang yang bakal ditanggung pelajar itu sendiri.




“Kita menitikberatkan perkara ini kerana tanpa diduga ia berlaku di IPTS, tempat menuntut ilmu, dan tiada penjelasan yang jelas tentang dua kos yang berasingan. Akhirnya nanti, pelajar keluar sahaja terus berhutang.”
“Satu perjanjian mesti jelas dan terang supaya tak terkejut, tetapi kenapa zakat juga dipotong secara tiba-tiba atas faktor wujudnya yuran pentadbiran? Apabila pelajar menyuarakan pendapat tentang isu terbabit, mereka akan dibuang atau digantung dari pengajian.”



Wujud persoalan apabila bantuan zakat yang diterima oleh pelajar pada setiap bulan juga dipotong 50% oleh IPTS tersebut juga tanpa sebarang notis.
Untuk pengetahuan semua, kes pelajar ini bukanlah yang pertama kali berlaku, terdapat ramai lagi graduan yang ditipu hidup-hidup dek promosi kolej yang mementingkan keuntungan semata. Di atas dasar kepercayaan ini juga, pengangguran yang tinggi di malaysia mencecah 504,500 orang yang juga terdiri dari pelajar lepasan IPTS dan IPTA.
Tuntasnya, harapan kita kepada pelajar agar mereka lebih berhati-hati dan berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran pinjaman bagi melanjutkan pelajaran. Bak kata pepatah, “Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang”. Biar mereka jemu dinasihatkan janji perkara ini tidak berbuah dua kali.
“Saya menggesa IPTS sendiri perlu telus dalam menguruskan pelajar. Selain itu, Menteri Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat masalah ini serta menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kelemahan yang mengkhianati agenda pendidikan Negara.” tegas Toqqi di akhir sidang media ini.

https://www.youtube.com/watch?v=4EdS1J5Gafk&feature=youtu.be

4275) PERBINCANGAN RASMI TOQQI BERSAMA KPKT - PUTRAJAYA - 3/1/18


Telah berlangsungnya perbincangan rasmi diantara Ketua Aktivis PPIM, Toqqi bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dipengerusikan oleh Menteri KPKT, YB Tan Sri Noh Haji Omar bagi membincangkan Projek Terbengkalai di bawah urusan UDI Property.

Perbincangan berlangsung di Pejabat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Presint 4, Putrajaya pada Rabu, 3 Januari 2018.







Wednesday, January 3, 2018

4274) HALAU ZAKIR NAIK DEMI KEAMANAN? - PPIM - 3/1/18


Awal Disember 2017 yang lalu, The International Criminal Police Organization (Interpol) menarik semula notis merah ke atas Pendakwah Islam Terkemuka, Dr Zakir Naik yang dikemuka National Investigation Agency (NIA).

Pendakwah berusia 52 tahun itu didakwa di bawah Akta Pencegahan Keganasan di India kerana dipercayai mengetuai persatuan yang menyalahi undang-undang ,dan didakwa menggalakkan belia menyertai kegiatan keganasan dan kumpulan militan global seperti DAESH.


Wakil Aktivis PPIM hadir di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan terbaru permintaan pihak Pemimpin Hindraf yang menuntut supaya Pendakwah terbabit dihalau keluar dan Permanent Resident (PR) dibatalkan.







4273) BANK DISARAN SIASAT PEMINJAM – UTUSAN MALAYSIA – 2/1/18



KUALA LUMPUR 1 Jan. – Bank-bank komersial di negara ini disaran untuk menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan surat penolakan pinjaman daripada bank terdahulu, sebelum meluluskan sebarang permohonan pinjaman sewa beli kenderaan yang dibuat melebihi satu institusi kewangan kepada pelanggan.
Presiden Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, langkah itu amat penting bagi melindungi sistem perbankan daripada pelbagai bentuk penipuan dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan dengan cara yang salah. Mohd Redza berkata, kaedah itu sudah diguna pakai oleh beberapa bank komersial sebelum ini dan ia telah meIambatkan proses pembiayaan kenderaan selama dua hingga tiga minggu.
“Ada beberapa bank sudah Inula melaksanakan kaedah ini seawal enam hingga tiga bulan yang lalu. Ini bukan polisi daripada Bank Negara tetapi peraturan bank sendiri yang mengetatkan kawalan itu.
“Langkah ini dilakukan selepas mendapati banyak kes pembiayaan menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL) ekoran multiple financing (memohon banyak pembiayaan) dibeberapa bank,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jumaat lalu, laporan khas Utusan Malaysia menyiarkan modus operandi individu yang berpendapatan sekitar RM3,000 mampu membeli lapan buah kereta baharu dengan membuat pinjaman ke beberapa buah bank.
Individu tersebut memanipulasi sistem perbankan dengan bantuan daripada jurujual kenderaan serta pegawai bank yang menguruskan pinjaman dengan menandatangani perjanjian sewa beli dengan serentak.
Semalam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendesak syarikat perbankan termasuk Bank Negara menjalankan tanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap individu yang mengambil kesempatan memanipulasi sistem perbankan demi kepentingan diri.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia 

4272) MEMPERKASA KUASA PENGGUNA – UTUSAN MALAYSIA – 2/1/18





TAHUN baharu 2018 masih diramal sebagai satu lagi tahun yang bakal memberikan ca­baran besar kepada aspek ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Walaupun pihak kerajaan cuba melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk dengan pelbagai insentif melalui Bajet 2018 namun jika rakyat sebagai pengguna tidak bijak, maka masalah sama akan terus berlarutan.
Jadi, bagi meneruskan kehidupan pada tahun baharu ini dalam keadaan yang masih tidak begitu pasti eloklah kita sebagai pengguna ambil beberapa langkah yang bijak dan berhemah supaya kita dapat terus bertahan dan meneruskan survival kehidupan harian.
Harus diingat, pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) masih tidak menentu. Namun kenaikan kos sara hidup terus berlaku dan ini sangat mencengkam kehidupan kelompok ini.
Jadi, sekarang terpulanglah kepada kita bagaimana mahu menyusun aturan kehidupan dan perbelanjaan kita supaya dapat meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Sebagai pengguna, sudah tiba masanya untuk kita memperkasakan kedudukan dan kuasa kita sebagai pengguna. Penulis percaya dengan cara ini kita dapat menguruskan dan mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu serta kenaikan kos sara hidup.
Kita tidak mahu peniaga tamak dan rakus menjadi raja dan mengawal selia perbelanjaan dan kehidupan kita. Kita perlu bangkit mempertahankan hak kita sebagai pembeli dan pengguna.
Jangan sama sekali beri muka kepada peniaga dan pemborong yang sentiasa mahu cekik darah pengguna dengan pelbagai alasan yang klise seperti ketidakstabilan mata wang dan kenaikan harga bahan mentah.
Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengguna bijak, kita wajar bangkit menyuarakan isu-isu kepenggunaan yang berkaitan supaya dapat menghalang mahupun mena­ngani masalah kenaikan harga barang yang dilihat menjadi antara punca utama menaikkan kos sara hidup rakyat.
Formulanya mudah, untuk mengurangkan masalah kenaikan kos sara hidup kita perlu selesaikan isu pokok atau dari peringkat akar lagi. Dalam hal ini isu pokok ialah kenaikan harga barang yang membawa kepada kenaikan kos sara hidup. Jadi, pengguna perlu bangkit mengajar para pemborong dan peniaga supaya mereka tidak bermain-main dengan harga atau sesuka hati menaikkan harga barangan.
Selama ini sikap acuh tak acuh dan tidak peduli serta tidak mahu ambil tahu masalah pokok seperti ini cukup merugikan pengguna. Kita hanya mampu ‘bising’ di belakang atau merungut menyalahkan semua orang apabila harga barangan meningkat tetapi kita sendiri gagal bertindak untuk menangani masalah ini secara bersama.
Justeru, marilah kita pasang tekad dan azam agar pada tahun baharu ini kita bukan lagi sekadar ‘bising’ dan cakap belakang.
Tanggungjawab untuk menangani masalah kepenggunaan tidak wajar diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata. Ironinya mana mungkin pihak penguat kuasa misalnya mampu memantau setiap peniaga yang ada di seluruh pelosok negara ini.
Malah peniaga dipantau dan disaman pada hari ini boleh saja mengulangi perbuatan sama pada keesokan hari kerana mereka tahu penguat kuasa tidak mampu datang setiap hari. Jadi akhirnya pengguna juga yang menjadi mangsa keadaan.
Itulah sebabnya kita berharap sangat agar pengguna boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jika ada peniaga yang bermain-main dengan harga barangan segera laporkan kepada pihak berkuasa di samping terus memboikot peniaga terbabit.
Sekali lagi kita perlu bijak dalam urusan membeli-belah. Ambillah sedikit masa untuk me­rancang pembelian dan perbelanjaan kita. Jangan terlalu cepat dan terburu-buru ketika berbelanja.
Ambil masa untuk turun naik beberapa buah kedai untuk mene­liti dan membandingkan harga yang mereka kenakan sebelum membuat keputusan pembelian. Sikap malas dan tidak cermat kita dalam soal perbandingan harga ini jelas merugikan pengguna dan sekali gus menguntungkan peniaga tamak.
Di samping itu kita juga perlu terima hakikat betapa pendapatan kita masih sekadar cukup makan saja. Maka, eloklah ukur baju di badan sendiri dengan melakukan perancangan teliti dalam soal perbelanjaan harian seisi keluarga.
Belanjalah mengikut keperluan dan keutamaan dan bukannya mengikut nafsu dan kehendak. Jangan juga mudah tertipu dan terpedaya dengan pelbagai tawaran diskaun dan potongan harga kononnya menarik dan sangat murah yang sebenarnya memerangkap pengguna. Jangan biarkan perubahan gaya hidup dan cita rasa mempengaruhi gaya perbelanjaan kita sehingga boros dan membazir.
Secara prinsipnya untuk memperkasa kuasa pengguna, kita perlu memiliki ilmu pengetahuan yang baik tentang isu-isu kepenggunaan supaya boleh menjadi pelindung dan juga panduan ketika kita berbelanja serta berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.
Dalam hal ini kita berharap persatuan-persatuan pengguna yang sangat aktif seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama-sama dengan pihak berkuasa akan memantapkan proses menerapkan elemen pendidikan kepenggunaan dalam kalangan anggota masyarakat kita.
Umumnya peningkatan kos sara hidup memang memeritkan. Namun jika kita bijak dan cerdik menggunakan kuasa sebagai pengguna pasti dapat menangani dan mengharungi masalah tersebut serta meneruskan survival kehidupan harian. Semoga tahun 2018 ini mencetuskan sinar keinsafan kepada kita untuk bangkit memperkasakan kedudukan dan kuasa kita sebagai pengguna.
Artikel Oleh :  Utusan Malaysia
MEMPERKASA KUASA PENGGUNA

Tuesday, January 2, 2018

4271) AKAUN KAU, AKAUN AKU – HARIAN METRO – 2/1/18





Kuala Lumpur: Bukan saja memperdaya peminjam dengan kadar faedah tidak masuk akal, ceti haram kini menggunakan taktik terbaru iaitu menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk urusan transaksi akaun menyebabkan mereka kini menjadi buruan pihak berkuasa.
Ini menjadikan along terbabit berurusan menggunakan akaun orang lain dan yang paling teruk ia digunakan untuk tujuan penipuan termasuk menerima deposit secara haram.
Sejak Januari lalu, sebanyak 90 kes diadukan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membabitkan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM250,000 menerusi transaksi dibuat along.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, data peribadi berkenaan diperoleh ketika peminjam mengisi borang maklumat bagi memohon pinjaman.

Lebih malang, mangsa turut menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai jaminan ketika memohon pinjaman menjadikan ia bonus kepada along untuk menggunakan akaun peminjam untuk menipu.
Katanya, mangsa tidak menyedari akaun digunakan pihak ketiga sehingga dihubungi polis memaklumkan wujud penipuan menggunakan akaun mereka.
“Yang menjadi masalahnya adalah ia digunakan secara salah iaitu untuk transaksi deposit pinjaman. Maksudnya, along meminta peminjam memasukkan sejumlah wang sebagai deposit mendapatkan pinjaman.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mendapat duit seperti dijanjikan,” katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, peminjam yang tidak berpuas hati membuat laporan polis dan ketika itu, mangsa baru mengetahui akaun mereka digunakan along untuk kepentingan sendiri.
Menurutnya, PPIM menerima aduan hampir sama iaitu mangsa berdepan tindakan undang-undang kerana semua wang dimasukkan ke dalam akaun mereka tanpa pengetahuan dan membabitkan jumlah yang besar.
“Ini kes penganiayaan kepada mangsa kerana sudahlah mereka meminjam kerana kesempitan, along pula mengambil kesempatan dengan menggunakan butiran peribadi. Along lepas, mereka pula ditahan.
“Ada dua elemen di mana mereka ditipu dengan jumlah yang patut diterima daripada along dan wang deposit yang mereka masukkan untuk membolehkan sesuatu pinjaman diluluskan.
“PPIM akan membawa perkara ini ke Bukit Aman kerana bimbang ramai yang menjadi mangsa seperti ini. Kami harap, ia dapat disiasat kerana ada pengadu yang membatalkan pinjaman, tetapi akaun mereka digunakan along untuk menipu orang ramai,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
“AKAUN KAU, AKAUN AKU”

4270) BANK PERLU AMBIL TANGGUNGJAWAB – UTUSAN MALAYSIA – 1/1/18




KUALA LUMPUR 31 Dis. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak syarikat perbankan termasuk Bank Negara Malaysia menjalankan tanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap individu yang mengambil kesempatan memanipulasi sistem perbankan demi kepen­tingan diri.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu akan membawa masalah yang lebih besar pada kemudian hari seperti peni­puan, muflis, masalah kewangan dan sebagainya yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Menurutnya, perkara itu bukan baharu kerana sudah ada sindiket yang menjalankan kegiatan tersebut dan sering mencari mereka yang mahu mendapatkan keuntungan daripada manipulasi sistem perbankan sedia ada.
“Sistem yang digunapakai antara bank harus dipertingkatkan agar setiap bank mengetahui status permohonan sama ada sudah diterima atau belum kerana sistem sedia ada kini kurang berkesan apabila sindiket mampu mencari ruang membuat pinjaman kepada bank atas produk yang sama daripada bank berlainan.
“Bank Negara juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka agar perkara seperti itu dapat dihalang yang mana tidak mungkin jumlah hutang individu melebihi pendapatan yang diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, laporan khas Utusan Malaysia menyiarkan modus operandi individu yang berpendapatan sekitar RM3,000 mampu membeli lapan buah kereta baharu dengan membuat pinjaman ke beberapa buah bank.
Individu tersebut memanipulasi sistem perbankan dengan bantuan daripada jurujual kenderaan serta pegawai bank yang menguruskan pinjaman dengan menandatangani perjanjian sewa beli serentak.
Nadzim berkata, pembeli kenderaan dengan cara pinjaman perlu mematuhi segala terma dan syarat sewa beli yang ditandatangani serta tidak membenarkan kenderaan tersebut dialamatkan atau berpindah milik kepada orang lain.
Menurutnya, adalah salah di sisi undang-undang apabila kenderaan yang masih berhutang dengan bank diberikan kepada penyewa atau mema­jakkan kenderaan tersebut yang sering dilakukan oleh sindiket itu.
Tambahnya, pengguna harus tahu risiko yang bakal mereka hadapi jika berlaku sebarang perkara tidak diingini seperti kemala­ngan, saman, kecurian kenderaan atau syarikat yang memajak itu mengalami muflis atau berpindah milik.
“PPIM banyak membantu pengguna yang menghadapi masalah sistem pajakan kende­raan kerana tidak mendapat bayaran namun masih ramai yang degil demi mendapatkan keuntungan atas angin,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia 
BANK PERLU AMBIL TANGGUNGJAWAB


4269) LANTIK PENGEDAR PUKAL ELAK KENAIKAN HARGA – UTUSAN MALAYSIA – 31/12/17



KUALA LUMPUR 30 Dis. — Kerajaan disarankan melantik pengedar pukal barangan sekolah bagi membendung kenaikan harga barangan terbabit ekoran peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga atas alasan kelembapan ekonomi, harga minyak dan pelbagai alasan lain.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga barangan sekolah setiap tahun berlaku terutama apabila mendekati permulaan penggal persekolahan baharu apabila peniaga mengambil kesempatan atas peningkatan permintaan.
“Jadi, penyelesaian jangka pendek untuk masalah ini adalah kerajaan melantik pengedar pukal barangan sekolah yang menjual dengan harga murah sebagai alternatif kepada apa yang ditawarkan peniaga di pasaran.
“Tidak munasabah sebuah beg Sekolah dijual dengan harga melebihi RM50 walhal kos sebenarnya tidak mencecah jumlah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan peniaga  menaikkan harga keperluan keperluan persekolahan secara mendadak bagi mengaut keuntungan segera.
Nadzim berkata, pada masa sama, pendidikan kepenggunaan juga diterapkan dalam kalangan rakyat bagi mengubah situasi yang berlaku ketika ini saban tahun.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia

4268) ANDA TANYA PPIM JAWAB - HARIAN METRO - 31/12/17



USAH PERCAYA PASAL WANG 

Sindiket penipuan ini akan menggunakan pelbagai helah supaya orang ramai terjerat dengan tawaran mereka sekali gus menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Malah, mereka juga akan menyamar sebagai polis atau daripada jabatan tertentu supaya memasukkan wang ke dalam akaun bagi mengelak dikenakan tindakan susulan.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau tuntutan oleh sindiket itu dan lebih baik merujuk kepada pihak berkaitan.


BIMBANG PRODUK SUSU TIRUAN

Penjualan pelbagai produk dan barangan makanan tiruan sememangnya semakin menjadi-menjadi, malah sukar dibezakan dengan yang tulen.

Namun, orang ramai seharusnya mengambil langkah susulan dengan menjadi pengguna yang lebih peka dengan melakukan pemeriksaan terlebih dulu bagi mengelak membeli barangan tiruan.

Jangan hanya kerana produk atau barangan makanan yang ditawarkan itu murah dan menarik, pengguna terus membelinya tanpa memeriksa terlebih dulu dengan pihak berkaitan.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL