Showing posts with label VATICAN. Show all posts
Showing posts with label VATICAN. Show all posts

Sunday, July 14, 2013

829) BERITA MINGGU 14/7/13-Desak usir Duta Vatican



Byline / Author: Oleh Haspaizi Mohd Zain


Kuala Lumpur: Gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Islam semalam terus menyuarakan bantahan dan mendesak kerajaan supaya mengusir Duta Vatican ke Malaysia, Archbishop Joseph Marino serta menutup pejabat kedutaan itu di negara ini.

Ia susulan tindakan pegawai diplomatik itu menyokong penggunaan kalimah Allah oleh agama lain di negara ini yang disifatkan bukan saja mencampuri urusan pentadbiran negara ini, malah menghina umat Islam, apatah lagi ketika menyambut ketibaan Ramadan.

Pengerusi Yayasan Nassar Foundation, Nasharudin Mat Isa, berkata tindakan duta terbabit mengeluarkan kenyataan kontroversi itu pada bulan mulia ini dilihat sebagai satu rancangan sudah diatur, selain dipercayai didalangi pihak tertentu.

Nasharudin yang mewakili gabungan NGO itu juga mahu pemimpin DAP, Teresa Kok supaya tampil menjelaskan hubungan baiknya dengan Archbishop Joseph serta meminta beliau menasihati Duta Vatican itu supaya menghormati kedudukan Islam di negara ini.

"Kami, NGO dan institusi Islam di negara ini bersedia untuk mendidik Duta Vatican mengenai profil masyarakat majmuk negara ini, jangan samakan senario dan pengalaman beliau di Bangladesh sebagai rujukan untuk Malaysia.

Beri kata dua

"Semua NGO menuntut Menteri Luar supaya memanggil Duta Vatican itu dan memberi kata dua, tarik balik kenyataan atau dihalau balik ke Vatican, inilah prinsip diplomatik yang dipegang oleh semua negara berteduh di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dikagumi, walaupun umat Islam hanya 54 peratus, namun agama Islam berada pada kedudukan tinggi dan mungkin ini kurang disenangi pihak tertentu. Apa yang kami bangkitkan ini adalah isu ummah, isu akidah dan isu syarak," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Mohamed Ali dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali mengecam kenyataan Duta Vatican itu serta menuntutnya menarik balik kenyataan berkenaan dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, polemik berhubung kalimah Allah itu tercetus apabila dibangkitkan pembangkang, selain keterbukaan PAS dan PKR dalam menerima budaya agama lain.


"Situasi ini berlaku kerana tindakan awal pembangkang yang begitu terbuka menerima budaya agama lain, misalannya seperti budaya menyalakan lilin, selain Teresa Kok yang secara terangan di mahkamah menolak Islam sebagai agama rasmi negara ini," katanya.

828) MINGGUAN MALAYSIA 14/7/13-Tutup Kedutaan Vatican City


Nasharudin Mat Isa pada sidang akhbar bagi membantah kenyataan Duta Vatican City yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu yang sebelum ini mahu Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino diusir, hari ini mendesak kerajaan menutup pejabat kedutaannya di sini.

Tindakan tegas itu wajar kerana Marino melanggar had sebagai seorang duta sebagaimana peruntukan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 kerana mencampuri urusan dalaman Malaysia dengan menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.

Jurucakap gabungan NGO Islam-Melayu, Nasharudin Mat Isa berkata, Marino dengan sengaja serta berniat jahat membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan Islam-Kristian di Malaysia sekali gus perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

"Kenyataannya yang bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia merupakan perbuatan yang disengajakan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

"Kita menuntut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memanggil Marino dan diberikan kata dua," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, NGO Islam-Melayu mendesak kerajaan mengusir Marino kerana menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.

Gabungan tersebut mewakili beberapa NGO Melayu dan Islam antaranya Yayasan Nassar, Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Turut berada dalam gabungan itu adalah Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia dan Suara Anak Muda 1Malaysia.

Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini kelmarin menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nasharudin yang juga Pengerusi Yayasan Nassar percaya Marino seorang yang arif tentang Malaysia sesuai dengan pelantikannya sebagai Duta Vatican City ke negara ini.

"Saya juga percaya Marino amat mengetahui apa yang patut dan apa yang tidak boleh diperkatakan mengenai Malaysia dan sebagai tetamu negara berstatus duta, salah satu elemen terpenting, beliau sama sekali tidak dibenarkan mencampuri hal dalaman negara.

"Marino juga perlu menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh tujuh hari bermula semalam," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali berkata, tindak-tanduk duta berkenaan boleh memberi ancaman serius kepada negara jika tidak dibendung kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu berikutan kalimah Allah merupakan hak eksklusif dan isu paling sensitif bagi umat Islam di negara ini.

"Penekanan juga perlu dibuat bahawa isu ini bukan isu NGO semata-mata tetapi merupakan isu yang perlu dihadapi bersama setiap umat Islam di negara ini," katanya.

Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad pula berkata, Marino bukan seorang yang bijak selepas bertindak menyentuh urusan dalaman negara apatah lagi isu berkenaan masih di peringkat mahkamah.

"Kita faham kehadirannya ke sini akan memantapkan lagi persefahaman antara Islam dan Kristian, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Saya teringat firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud 'Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan reda kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka'," katanya.





827) MUKA HADAPAN UTUSAN MALAYSIA 13/7/13-USIR DUTA VATICAN



KUALA LUMPUR 12 Julai - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam-Melayu mendesak kerajaan mengusir Duta Vatican City ke Malaysia, Bishop Joseph Marino kerana menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.

Pertubuhan itu dalam kenyataan di sini hari ini berkata, tindakan tersebut perlu diambil kerana beliau mencampuri urusan hal ehwal Islam dan pentadbiran negara.

"Tindakan biadab dan kurang ajar duta tersebut secara jelas membuktikan kehadiran beliau di negara ini bukanlah dengan niat yang baik tetapi tersirat agenda yang lebih licik.

"Seharusnya duta yang dilantik membantu menjalinkan hubungan yang baik di antara negara tetapi perbuatan Marino sudah tentu melampaui batas bidang tugasnya sebagai duta dan berniat jahat," kata kenyataan itu.

Pertubuhan tersebut mewakili beberapa NGO Melayu dan Islam termasuk Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Permuafakatan Wangsa Malaysia (Pewangsa Malaysia), Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) dan Pewaris Bangsa (ProWaris).

Dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini semalam, Marino menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Marino memuji hujah-hujah dikemukakan Persekutuan Kristian Malaysia bagi membolehkan perkataan 'Allah' dalam teks dirujuk kepada tuhan.

Walaupun isu itu masih belum diputuskan di mahkamah selain menjadi isu dalaman di negara ini, Marino tetap menyifatkan hujah-hujah yang dikemukakan sebagai agak logik dan boleh diterima.

Dalam pada itu, pertubuhan itu berkata, mereka bimbang jika perbuatan di luar batasan diplomatik tersebut tidak ditangani dengan segera dan tegas oleh Kementerian Luar maka sehingga menjurus kepada campur tangan yang lebih serius termasuk mendokong gerakan Kristianisasi yang disasarkan kepada umat Islam di negara ini.

Tegasnya, Marino sudah melangkaui bidang tugasnya sebagai seorang diplomat yang mewakili Paus Francis dengan mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan serta memihak kepada penganut Kristian di negara ini dengan menekan umat Islam.

Sehubungan itu kata pertubuhan berkenaan, perbuatan biadab mencampuri urusan negara ini yang dilihat begitu sensitif yang boleh merosakkan perhubungan kaum di negara ini harus ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi sebelum nasi menjadi bubur.

"Kami juga khuatir apa yang dilakukan sudah tentu akan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini yang tidak mustahil akan mengambil tindakan undang-undang sendiri yang boleh menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin serta kemakmuran negara ini dengan berbangkitnya isu-isu keagamaan seperti ini.

"Sehubungan itu kami, mendesak Kementerian Luar mengecam kenyataan Marino tersebut bagi menandakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu ini. Gabungan NGO Islam-Melayu akan menulis surat bantahan kepada Paus Francis mengenai tingkah laku dan kenyataan biadab duta beliau," tegas kenyataan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130713/dn_01/Usir-Duta-Vatican-City#ixzz2Z0JiG7OM
© Utusan Melayu (M) Bhd


PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL