Showing posts with label TEMPAT AWAM. Show all posts
Showing posts with label TEMPAT AWAM. Show all posts

Saturday, January 3, 2026

LARANG BUANG SAMPAH BAIK TAPI KPKT KUAT KUASA TERBURU-BURU - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 01/01/2026

 

KUALA LUMPUR – Tabiat membuang sampah di tempat awam bukan sahaja mencemarkan persekitaran dan alam sekitar bahkan menjejaskan imej negara untuk menyambut kedatangan 43 juta pelancong dari seluruh dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bermula 1 Januari ini, sesiapa sahaja termasuk pelancong yang membuang sampah dan meludah di sekitar ibu kota, tindakan kompaun sehingga RM2,000 boleh dikenakan selain Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam selama dua bulan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan itu menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mendisiplin masyarakat agar lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif kerajaan itu selari dengan tuntutan Islam yang memandang tinggi terhadap aspek kebersihan, apatah lagi dalam membina jati diri rakyat yang berdisiplin.

“Hendak ke arah kebersihan ini cukup bagus, cukup pentinglah terutama dalam Islam, kebersihan ini dipandang amat penting.

“Saya menyokong kaedah ke arah disiplin membina jati diri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, KPKT menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) bermula 1 Januari 2026 sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat-tempat awam.

Hukuman dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama.

Pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Terdapat sampah dibuang di kawasan awam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Bagaimanapun Nadzim menyifatkan langkah KPKT untuk menguatkuasakan undang-undang baharu itu sebagai terburu-buru tanpa melakukan secara berperingkat bukan secara mengejut.

“Biarlah boleh dilaksanakan mengikut peringkat yang rakyat boleh terima. Saya rasa kita harus mendidik dan mengajar rakyat Malaysia supaya bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Nadzim, tiada jaminan undang-undang baharu itu boleh mengubah tabiat membuang sampah di tempat awam sedangkan orang ramai masih merokok di tempat awam tanpa mempedulikan denda sehingga RM10,000.

“Sekarang ini kita tengok orang merokok, walaupun merokok di tempat awam boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara namun orang ramai tetap merokok juga.

“Sekarang ini denda (buang sampah dan meludah) sehingga RM2,000, saya cadangkan lebih baiklah denda sampai RM20,000 dan ia lebih baik sebab kerajaan boleh kutip lebih banyak hasil,” katanya.

Selain itu, katanya, sebelum sesuatu undang-undang baharu mahu dikuatkuasakan, kerajaan perlu menguar-uarkan agar rakyat maklum lebih awal termasuk membuat iklan di media elektronik dan media sosial.

“Sesuatu perkara ini harus dapat sokongan semua pihak. Saya tengok sejak kebelakangan ini banyak perkara dibuat kerajaan tetapi rakyat macam tidak suka.

“Kalau nak buat benda yang ke arah disiplin, bagus tapi kena ajar maksudnya mesti ada pendidikan, jika tidak proses transformasi itu mustahil boleh berlaku,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar tidak memperkenalkan undang-undang yang mendatangkan ‘kesusahan’ kepada rakyat.

“Kita perlu ada undang-undang yang boleh diterima pakai, bukan buat undang-undang sampai tak dapat dilaksanakan. Saya harap pengguna atau pun rakyat perlu dirujuk terlebih dahulu,” katanya.

Terdapat sampah dibuang di kawasan awam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu negara mendapati, ramai pihak menganggap ia masih terlalu awal untuk menilai tahap kesedaran orang ramai terhadap tabiat membuang sampah dan meludah di tempat awam.

Ia kerana sampah-sarap boleh dilihat bertaburan di merata tempat khususnya di sekitar kawasan perniagaan yang terpencil dan berdekatan pusat beli-belah di sini.

Temubual Penduduk Kondominium Villa Puteri, Jan Fazal Eladai mengenai larangan membuang sampah dan meludah di tempat awam di sekitar ibu kota yang dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula 1 Januari 2026. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2026

Menurut seorang penduduk di ibu kota, Jan Fazal Eladi, 40, denda atau kompaun sehingga RM2,000 bagi kesalahan membuang sampah dan meludah di tempat awam agak tinggi dan membebankan rakyat apatah lagi berdepan kos sara hidup.

“Sekarang ini kos sara hidup pun tinggi. Rakyat pun dalam kesusahan. Kalau ditambah dengan denda ini, apa nak jadi? Tapi saya harap menteri kaji balik, sebab meludah tu meludah macam mana?

“Macam mana kita nak kenal pasti meludah yang menyalahi undang-undang. Adakah ludah berkahak atau macam ada dekat selayang tu, ramai makan sirih ludah merata hingga mengotorkan tempat sekeliling,” katanya.

Jelasnya lagi, sebelum kerajaan terburu-buru memperkenalkan sesuatu undang-undang baharu, lebih baik KPKT menangani masalah sampah berlonggok di dalam sungai hingga mengakibatkan banjir kilat.

“Tetapi, sampah-sampah yang banyak di KL ni, sampai sungai pun air melimpah-limpah, patutnya perkara tu ditangani dulu, sampah di KL terlampau banyak.

“Buatlah macam percubaan dahulu sebelum kuat kuasa, kalau eksperimen ini berjaya, barulah kita boleh teruskan tetapi denda RM2,000 tu memang teruklah, membunuh rakyat.

“Sekarang ini rakyat nak makan pun tak ada duit, saya harap lebih menteri cakna dalam perkara ini,” katanya.

Mohd Zolkifli Hasan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2026

Bagi seorang warga emas, Mohd Zolkifli Hasan, 65, undang-undang baharu yang diperkenalkan KPKT kepada warga kota seperti dirinya agak mengejutkan dan menekan rakyat khususnya komuniti miskin.

“Kebanyakan gaji di negara ini antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja, kita bimbang denda yang tinggi boleh mengundang rakyat untuk lompat dari bangunan.

“Kadar denda sepatutnya berpatutan, kalau boleh ikut gaji sebulan, kalau menteri buang sampah sepatutnya kena denda sehingga RM30,000,” katanya.

Selain itu, Zolkifli mempersoalkan sejauh mana perbuatan meludah itu boleh dikategorikan sebagai menyalahi undang-undang dan boleh dihukum kompaun atau dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat.

“Sepatutnya perbuatan meludah itu dikategorikan dengan betul, kita memang suka undang-undang kebersihan ini tapi bagilah notis, tiga atau enam bulan dalam televisyen kalau meludah kena denda RM2,000.

“Saya duduk KL pun hari ini baru dengar. Apatah lagi orang kampung datang KL kena denda RM2,000, balik rumah dia terjun bangunan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu memberikan kesedaran dan pendidikan kepada rakyat sebelum mahu menguatkuasakan sesuatu undang-undang.

“Jangan terus denda RM2,000. Apa kerajaan tak ada duit ke? Nak kutip duit daripada budak-budak dan orang-orang miskin ini. Bagi mereka masa, bagi mereka pendidikan.

“Lepas itu dendalah mereka, tak ada masalah. Kalau mereka tak ada duit, masukkan dia dalam khidmat masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

LARANG BUANG SAMPAH BAIK TAPI KPKT KUAT KUASA TERBURU-BURU - PPIM

https://malaysiagazette.com/2026/01/01/larang-buang-sampah-baik-tapi-kpkt-kuat-kuasa-terburu-buru-ppim

Wednesday, March 6, 2024

PPIM SARAN LANTIK SYARIKAT BEBAS BANTU KKM TINGKAT PENGUATKUASAAN - SINAR HARIAN - 06/03/2024

 

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM SARAN LANTIK SYARIKAT BEBAS BANTU KKM TINGKAT PENGUATKUASAAN

MAKIN RAMAI 'BUAT-BUAT' LUPA LARANGAN MEROKOK - SINAR HARIAN - 06/03/2024

 

LARANGAN merokok di tempat awam termasuk premis makanan yang berkuat kuasa sejak Januari 2019 dilihat semakin diabaikan oleh rakyat Malaysia.

Penguatkuasaan yang lemah dikatakan menjadi punca sebahagian perokok bersikap tidak endah dan tanpa segan silu mengingkari larangan tersebut.

Tindakan itu tidak disenangi para pengunjung lain, terutamanya mereka yang membawa keluarga dan anak kecil.

Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat, wartawan Sinar Harian, MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI mendengar luahan orang ramai yang menuntut pihak berkuasa supaya lebih tegas menangani isu tersebut.

Makin ramai perokok yang sengaja mengingkari atau ‘buat-buat’ lupa larangan merokok dalam premis makanan walaupun menyedari kesan buruknya, sementelahan perbuatan itu bukan hanya memudaratkan diri sendiri malah kepada diri orang lain.

MUHAMMAD HASSIF

Seorang pelajar, Muhammad Hassif Amirun Salleh, 22, menyifatkan golongan perokok yang bersikap sedemikian hanya mementingkan dirinya sendiri.

Justeru, dia menggesa pihak berkuasa meningkat penguatkuasaan dan perokok ingkar ini dikenakan tindakan yang lebih tegas dan serius.

“Walaupun setiap individu mempunyai hak peribadi untuk memilih gaya hidup sendiri, tetapi mereka perlu sedar bahawa merokok di tempat awam boleh merugikan diri dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok dari perokok aktif berdepan risiko kesihatan yang tinggi. Asap rokok mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

“Jadi sudah sampai masanya kerajaan memandang serius perkara ini kerana perlu diingati bahawa larangan ini telah dikuatkuasakan sejak 2019 lagi tapi ramai yang buat-buat lupa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, golongan perokok juga perlu sedar bahawa merokok di tempat-tempat awam boleh mencemarkan kualiti udara.

AMIR FARHAN

Amir Farhan Nordin, 23, turut sependapat dengan Muhammad Hasif dan dia mahu perokok yang keras kepala ini segera dikenakan tindakan.

“Walaupun wujud larangan merokok tiga meter dari meja makan dan notis amaran ditampal di restoran dan kedai-kedai makan, namun masih ada segelintir daripada perokok yang tidak peka serta tidak endah.

“Terdapat segelintir individu yang hanya duduk di restoran semata-mata untuk merokok sedangkan premis itu adalah tempat untuk menjamu selera.

“Jika tidak segera diberikan peringatan dan diambil tindakan, perkara ini akan semakin berleluasa, oleh itu penguatkuasaan yang tegas perlu segera dilakukan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan perbuatan segelintir perokok ini, pengunjung lain menerima tempias.

MUHAMMAD ADLI

Sementara itu, Muhammad Adli Haikal Mohamed Ghazali, 24, berkata, pemilik premis makanan yang dilihat ‘menghalalkan’ tindakan perokok ingkar ini juga perlu dikenakan tindakan.

“Pemilik kedai sepatutnya berkeras dan cakna terhadap situasi seperti menegur golongan perokok kerana mereka juga akan terkesan. Jika pelanggan mengelak datang ke kedai mereka, sudah tentu pendapatan akan berkurangan.

“Golongan yang tidak merokok mungkin memilih tempat yang bebas asap rokok untuk menikmati suasana yang lebih bersih dan selesa” ujarnya.

Tambahan pula katanya, masyarakat kini mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga kesihatan.

PPIM saran lantik syarikat bebas bantu KKM tingkat penguatkuasaan

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan sebuah syarikat bebas dilantik bagi melancarkan penguatkuasaan terhadap peraturan larangan merokok di premis makanan.

Datuk Nadzim Johan

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan itu relevan memandangkan jumlah penguat kuasa yang tidak ramai.

“Saya sarankan kalau boleh lantik syarikat bebas yang boleh dijadikan seperti kakitangan sementara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan mengeluarkan saman.

“Jumlah saman bolehlah dikenakan sebanyak RM100 hingga RM200, cukuplah sebagai memberi kesedaran. Tidak perlulah mengenakan jumlah yang terlampau tinggi misalnya sehingga RM10,000,” katanya.

Pada masa yang sama, bagi memberi kesedaran dan mengingatkan perokok terhadap larangan berkenaan, Nadzim juga mencadangkan supaya satu kempen dilancarkan.

“Kempen ini dibuat bersama dengan media, jadi ini juga boleh membawa kesedaran kepada masyarakat sekali gus dapat memupuk nilai-nilai murni.

“Lama kelamaan orang akan ingat bahawa tidak boleh merokok di premis makanan,” kata beliau.

Jelasnya lagi, kempen itu juga diharap dapat membawa perubahan yang baik terhadap rakyat dan negara.

“Perubahan ini akan dapat membina semula negara kita ke arah yang lebih baik. Malaysia akan lebih bersih dan nilai-nilai positif akan mulai bertebaran,” kata Nadzim.

Artikel oleh: Sinar Harian

MAKIN RAMAI 'BUAT-BUAT' LUPA LARANGAN MEROKOK

https://www.sinarharian.com.my/article/652940/berita/nasional/makin-ramai-buat-buat-lupa-larangan-merokok

Wednesday, November 13, 2019

5487) ADA PIHAK BAYAR PIHAK BERKUASA TUTUP MULUT KES ARAK: PPIM - ISMAWEB - 12/11/2019


BANGI, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal apabila tiada peraturan atau larangan untuk meminum arak di tempat awam di Selangor, seperti yang diwujudkan bagi larangan merokok.
Walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memasang papan tanda peringatan bagi menjaga ketenteraman orang ramai, tetapi ‘tiada peraturan melarang minum arak di tempat awam’ itu sudah cukup membimbangkan, kata ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan.
Beliau berkata, semua maklum tiada sebarang kebaikan diperoleh melalui minuman keras.
“Jika nak minum arak, lebih baik ‘promote’ dekat Parlimen, gereja atau tempat yang sememangnya dikhaskan untuk arak.
“Kalau macam itu lebih baik jangan haramkan vape. Arak dengan vape mana teruk?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor memaklumkan tiada peraturan melarang orang ramai minum arak di tempat awam.
Ng Sze Han menegaskan, peraturan itu sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat Persekutuan atau negeri, lapor Sinar Harian.
Mengulas perkara itu, Nadzim hairan kerana Sze Han menjadikan perkara tidak elok ini sebagai budaya yang sememangnya membuatkan ramai orang terkorban.
Beliau juga mendedahkan, pihaknya telah menerima pelbagai aduan kemalangan mengenai kes minuman memabukkan.
“Namun, mereka (pihak terbabit kemalangan) sudah bayar kepada pihak berkuasa untuk tutup mulut.
“Dan biasanya memang ada ‘group’ tertentu yang tolong bayar untuk ‘backup’ supaya kes mereka ditutup,” katanya.
Justeru, Nadzim menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengeluarkan rekod sebenar mengenai kes jenayah dan kemalangan disebabkan arak.
“Hal ini kerana apabila ada isu, mereka akan bayar polis dan sebab itu isu ini tak keluar. Kita tidak mahu orang mati disebabkan mereka yang mabuk,” katanya.

Artikel oleh: ismaweb
ADA PIHAK BAYAR PIHAK BERKUASA TUTUP MULUT KES ARAK: PPIM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL