Wednesday, March 6, 2024

MAKIN RAMAI 'BUAT-BUAT' LUPA LARANGAN MEROKOK - SINAR HARIAN - 06/03/2024

 

LARANGAN merokok di tempat awam termasuk premis makanan yang berkuat kuasa sejak Januari 2019 dilihat semakin diabaikan oleh rakyat Malaysia.

Penguatkuasaan yang lemah dikatakan menjadi punca sebahagian perokok bersikap tidak endah dan tanpa segan silu mengingkari larangan tersebut.

Tindakan itu tidak disenangi para pengunjung lain, terutamanya mereka yang membawa keluarga dan anak kecil.

Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat, wartawan Sinar Harian, MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI mendengar luahan orang ramai yang menuntut pihak berkuasa supaya lebih tegas menangani isu tersebut.

Makin ramai perokok yang sengaja mengingkari atau ‘buat-buat’ lupa larangan merokok dalam premis makanan walaupun menyedari kesan buruknya, sementelahan perbuatan itu bukan hanya memudaratkan diri sendiri malah kepada diri orang lain.

MUHAMMAD HASSIF

Seorang pelajar, Muhammad Hassif Amirun Salleh, 22, menyifatkan golongan perokok yang bersikap sedemikian hanya mementingkan dirinya sendiri.

Justeru, dia menggesa pihak berkuasa meningkat penguatkuasaan dan perokok ingkar ini dikenakan tindakan yang lebih tegas dan serius.

“Walaupun setiap individu mempunyai hak peribadi untuk memilih gaya hidup sendiri, tetapi mereka perlu sedar bahawa merokok di tempat awam boleh merugikan diri dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok dari perokok aktif berdepan risiko kesihatan yang tinggi. Asap rokok mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

“Jadi sudah sampai masanya kerajaan memandang serius perkara ini kerana perlu diingati bahawa larangan ini telah dikuatkuasakan sejak 2019 lagi tapi ramai yang buat-buat lupa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, golongan perokok juga perlu sedar bahawa merokok di tempat-tempat awam boleh mencemarkan kualiti udara.

AMIR FARHAN

Amir Farhan Nordin, 23, turut sependapat dengan Muhammad Hasif dan dia mahu perokok yang keras kepala ini segera dikenakan tindakan.

“Walaupun wujud larangan merokok tiga meter dari meja makan dan notis amaran ditampal di restoran dan kedai-kedai makan, namun masih ada segelintir daripada perokok yang tidak peka serta tidak endah.

“Terdapat segelintir individu yang hanya duduk di restoran semata-mata untuk merokok sedangkan premis itu adalah tempat untuk menjamu selera.

“Jika tidak segera diberikan peringatan dan diambil tindakan, perkara ini akan semakin berleluasa, oleh itu penguatkuasaan yang tegas perlu segera dilakukan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan perbuatan segelintir perokok ini, pengunjung lain menerima tempias.

MUHAMMAD ADLI

Sementara itu, Muhammad Adli Haikal Mohamed Ghazali, 24, berkata, pemilik premis makanan yang dilihat ‘menghalalkan’ tindakan perokok ingkar ini juga perlu dikenakan tindakan.

“Pemilik kedai sepatutnya berkeras dan cakna terhadap situasi seperti menegur golongan perokok kerana mereka juga akan terkesan. Jika pelanggan mengelak datang ke kedai mereka, sudah tentu pendapatan akan berkurangan.

“Golongan yang tidak merokok mungkin memilih tempat yang bebas asap rokok untuk menikmati suasana yang lebih bersih dan selesa” ujarnya.

Tambahan pula katanya, masyarakat kini mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga kesihatan.

PPIM saran lantik syarikat bebas bantu KKM tingkat penguatkuasaan

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan sebuah syarikat bebas dilantik bagi melancarkan penguatkuasaan terhadap peraturan larangan merokok di premis makanan.

Datuk Nadzim Johan

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan itu relevan memandangkan jumlah penguat kuasa yang tidak ramai.

“Saya sarankan kalau boleh lantik syarikat bebas yang boleh dijadikan seperti kakitangan sementara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan mengeluarkan saman.

“Jumlah saman bolehlah dikenakan sebanyak RM100 hingga RM200, cukuplah sebagai memberi kesedaran. Tidak perlulah mengenakan jumlah yang terlampau tinggi misalnya sehingga RM10,000,” katanya.

Pada masa yang sama, bagi memberi kesedaran dan mengingatkan perokok terhadap larangan berkenaan, Nadzim juga mencadangkan supaya satu kempen dilancarkan.

“Kempen ini dibuat bersama dengan media, jadi ini juga boleh membawa kesedaran kepada masyarakat sekali gus dapat memupuk nilai-nilai murni.

“Lama kelamaan orang akan ingat bahawa tidak boleh merokok di premis makanan,” kata beliau.

Jelasnya lagi, kempen itu juga diharap dapat membawa perubahan yang baik terhadap rakyat dan negara.

“Perubahan ini akan dapat membina semula negara kita ke arah yang lebih baik. Malaysia akan lebih bersih dan nilai-nilai positif akan mulai bertebaran,” kata Nadzim.

Artikel oleh: Sinar Harian

MAKIN RAMAI 'BUAT-BUAT' LUPA LARANGAN MEROKOK

https://www.sinarharian.com.my/article/652940/berita/nasional/makin-ramai-buat-buat-lupa-larangan-merokok

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL