Showing posts with label TANAH KAMPUNG SUNGAI BARU. Show all posts
Showing posts with label TANAH KAMPUNG SUNGAI BARU. Show all posts

Saturday, July 20, 2024

ISU KAMPUNG SUNGAI BARU: PPIM NASIHAT GUNA SALURAN BETUL - KENYATAAN MEDIA PPIM - 20/07/2024

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu semua pihak menggunakan saluran yang betul dalam usaha mendapatkan penyelesaian terbaik dalam isu yang membelenggu pembangunan di Kampung Sungai Baru.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya ada menerima maklumat sebahagian kumpulan majoriti penduduk yang bersetuju dan telah berpindah keluar semenjak menerima arahan mahkamah.

Walau bagaimanapun, PPIM juga sedia maklum ada sebahagian penduduk yang tidak bersetuju dengan tawaran pihak pemaju dan telah membuat rayuan ke mahkamah mengenai isu pampasan.

"Saya yakin komitmen yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) YB Dr. Zaliha Mustafa, mampu menyelesaikan masalah ini," katanya.

Nadzim menegaskan video tular baru-baru ini tidak mewakili pandangan PPIM, serta aktivis PPIM di Kampung Sungai Baru juga tidak mewakili pihak PPIM.

"Dr. Zaliha telah turun padang dan berjumpa dengan kedua-dua pihak yang terlibat, dan saya difahamkan individu di dalam video tersebut tidak turut serta di majlis yang diadakan pada 27 Mei 2024 dan 13 Jun 2024 tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan.

PPIM menawarkan diri untuk bersama-sama berada dengan pihak yang berkepentingan untuk bermusyawarah dan mendengar dari semua pihak agar informasi yang betul dapat dijelaskan kepada orang awam.

"Kita perlu adil mendengar dari semua pihak dan mencetuskan situasi menang-menang (win-win situation) dan mencegah persepsi buruk terutama membabitkan sentimen kaum.

"Masalah ini telah berlanjutan dari tahun 2016, melibatkan tiga menteri sebelum Dr. Zaliha lagi. Maka lagi cepat kita duduk bersama lagi cepat kita mendapat persefahaman," katanya.

Nadzim menegaskan kerjasama semua pihak adalah perlu dan tidak mahu isu ini dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, PPIM mahukan libat urus bersama pemegang taruh di Kampung Sungai Baru bukan sekadar isu pengambilan tanah tetapi juga pembangunan sosio ekonomi, keselamatan, penjagaan alam dan pembangunan insan seiring dengan konsep Malaysia MADANI.

"PPIM berharap Kampung Baru kekal menjadi Kampung Melayu biarpun di celah-celah kemajuan Kuala Lumpur. Kita tidak dapat lari dari pembangunan namun jangan sampai hilang identiti jati diri dan hanya tinggal sekadar sejarah sahaja.

Saturday, June 29, 2024

PATUT DAPAT RM1,500 SATU KAKI PERSEGI' - KOSMO - 29/06/2024

 

Artikel oleh: Kosmo

PATUT DAPAT RM1,500 SATU KAKI PERSEGI' - KOSMO - 29/06/2024

PENJAJAHAN BARU, ISU KG SUNGAI BARU, KAMPUNG BARU - SUARA TV - 28/06/2024

 

Pemilik terpaksa menanggung lebih banyak kerugian. Perlu melawan di mahkamah untuk mendapatkan pampasan yang setara. Mereka adalah pemilik rumah dan tanah bergeran, hak dan tuntutan mereka dinafikan.

Sumber: Suara TV

PENJAJAHAN BARU, ISU KG SUNGAI BARU, KAMPUNG BARU

https://www.youtube.com/watch?v=nvSrVyYgcK0

ISU TANAH KAMPUNG SG BARU: BERI PAMPASAN TIDAK MUNASABAH LANGGAR PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN - PEGUAM - THE MERDEKA TIMES - 28/06/2024

  • Peguam Panel Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Shahrin Satheer berkata sekiranya ia berlaku, pemilik hartanah itu mempunyai hak untuk mencabar dan menyatakan pengambilan tanah mereka perlu diketepikan dan tidak sah.
  • “So kalau kita lihat Fasal 13(1) Perlembagaan Persekutuan secara ringkas menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
  • “Dan Fasal 13(2) berkata tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan ataupun penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai so bagi saya apabila tiada pampasan memadai pengambilan tanah itu adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini dalam satu klip video sidang media bertajuk “Pampasan Terlalu Rendah, PPIM gesa nilai semula harga tanah Penduduk Kg Sungai Baru”.
  • Ia diadakan susulan PPIM menerima aduan dan keluhan lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan nilai pampasan ditawarkan kepada mereka sebelum ini, disifatkan terlalu rendah berbanding nilai sebenar.

KUALA LUMPUR — Seorang peguam berpandangan adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan sekiranya pampasan diterima pemilik hartanah Kampung Sungai Baru di sini tidak mencapai nilai munasabah atau tidak memadai.

Peguam Panel Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Shahrin Satheer berkata sekiranya ia berlaku, pemilik hartanah itu mempunyai hak untuk mencabar dan menyatakan pengambilan tanah mereka perlu diketepikan dan tidak sah. 

“So kalau kita lihat Fasal 13(1) Perlembagaan Persekutuan secara ringkas menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. 

“Dan Fasal 13(2) berkata tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan ataupun penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai so bagi saya apabila tiada pampasan memadai pengambilan tanah itu adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Tapi pada masa sama kita juga ada pengecualian di bawah Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan di mana kuasa diberikan kepada kerajaan untuk mengambil tanah kita dengan beberapa syarat.

“Iaitu syarat pampasan munasabah diberikan dan kalau kita lihat kesan Seksyen 340 (Kanun Tanah Negara 1965) dan Perlembagaan Persekutuan tadi apa yang kita boleh faham dari sini ialah tiada siapa boleh dipaksa untuk jual tanah mereka di bawah nilai harga pasaran,” katanya hari ini dalam satu klip video sidang media bertajuk “Pampasan Terlalu Rendah, PPIM gesa nilai semula harga tanah Penduduk Kg Sungai Baru”.

Sidang media itu diadakan susulan PPIM menerima aduan dan keluhan lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan nilai pampasan ditawarkan kepada mereka sebelum ini dan disifatkan terlalu rendah berbanding nilai sebenar.

Media sebelum ini melaporkan mereka menggesa kerajaan mempertimbang semula nilai pampasan kepada pemilik hartanah Kampung Sungai Baru berbanding apa ditawarkan kerajaan terdahulu melalui undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.

Susulan itu, Muhammad Shahrin menuntut kerajaan meminda semula Seksyen 3 Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960 supaya ia lebih khusus tentang bagaimanakah kerajaan boleh mengambil tanah memandangkan ketika ini maksudnya dilihat sangat meluas.

“Seksyen 3 ini dia punya maksud sangat luas bagi saya perkara ini perlu diubah sebab apa yang berlaku sekarang kita lihat ia telah disalah gunakan sebab sekarang ini kita ada dua nilai penilaian yang berbeza yang sangat ketara ada kerajaan mengatakan 450 per sekaki, swasta pula menyatakan 1,500 ke atas.

“Dan bagi saya yang paling logik adalah 1,500 sekaki dan ke atas sebab saya sendiri dah turun ke sana dan kita melihat Kg Sungai Baru dia sangat dekat dengan KLCC, sebelah dengan Saloma Bridge boleh nampak AKLEH atas sana so bagi saya kita tahulah untuk 450 per sekaki ini tak logik,” katanya. — The Merdeka Times

Artikel oleh: The Merdeka Times

ISU TANAH KAMPUNG SG BARU: BERI PAMPASAN TIDAK MUNASABAH LANGGAR PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN - PEGUAM

https://themerdekatimes.com/news/2024/06/isu-tanah-kampung-sg-baru-beri-pampasan-tidak-munasabah-langgar-perlembagaan-persekutuan-peguam/

Friday, June 28, 2024

PENDUDUK KG SUNGAI BARU DAKWA DITAKUTKAN OLEH PEMAJU - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 28/06/2024

 

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru, dekat Kampung Baru mendakwa pihak pemaju tanah tersebut telah menyalahgunakan kuasa dengan menakut-nakutkan penduduk yang masih berada di kediaman.

Peguam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Shahrin Satheer berkata, pada 10 Jun yang lepas, pihak pemaju telah memotong bekalan elektrik dan air penduduk.

Malah, baru-baru ini satu tembok serta papan tanda mengarahkan penduduk untuk keluar dengan segera telah dinaikkan.

“Ada penduduk yang dipaksa untuk menandatangani borang persetujuan untuk pindah dan mereka diberitahu pihak pemaju tetap akan merobohkan rumah walaupun mereka masih menetap di situ,” katanya dalam sidang media dalam sidang media di sini, hari ini.

Bercakap dalam sidang media bersama penduduk kampung tersebut, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, penduduk telah bertemu dengan mereka kerana mendakwa telah ditindas apabila pihak pemaju menawarkan harga terlalu rendah yang tidak masuk akal jika dibandingkan dengan harga pasaran tanah semasa.

Tawaran yang diberikan oleh pemaju menyebabkan penduduk kampung terbabit buntu.

“Apa yang lagi menyedihkan adalah penduduk hanya ditawarkan harga RM450 untuk satu kaki persegi, sedangkan harga pasaran yang sepatutnya jika dinilai dari sudut pembangunan di situ, penduduk selayaknya mendapat RM1,500 bagi setiap kaki persegi.

“Ini kelihatan seperti kerajaan telah menyalahgunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah, walhal tanpa disedari mereka telah mendatangkan tekanan kepada para penduduk di situ,” tambahnya.

Seorang penduduk di situ, Hashim Mohd Salleh, 63, berkata, dia hanya menerima sebanyak RM30,000 sebagai pampasan.

Beliau juga bingung apabila peguam yang dilantik didakwa berpaling tadah dan berpihak kepada pemaju.

“Peguam yang saya lantik telah memujuk saya untuk menerima jumlah yang ditawarkan dengan alasan ‘lebih baik daripada tiada’,” katanya.

Shahrin meminta kerajaan supaya bertindak segera kerana jika isu ini berlarutan, ia menunjukkan  penduduk di situ ditindas.

Apatah lagi, kebanyakan penduduk terlibat adalah warga emas.

“Jadi kerajaan perlu bersikap lebih bertanggungjawab, berikan mereka penempatan baharu dan pampasan yang sepatutnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PENDUDUK KG SUNGAI BARU DAKWA DITAKUTKAN OLEH PEMAJU - PPIM

https://malaysiagazette.com/2024/06/28/penduduk-kg-sungai-baru-dakwa-ditakutkan-oleh-pemaju-ppim/

PPIM GESA PINDA AKTA, BELA NASIB PENDUDUK KAMPUNG SUNGAI BARU - KOSMO - 28/06/2024

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya meminda Seksyen 3, Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mendapatkan keadilan kepada pemilik-pemilik tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.

Peguam yang mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Shahrin Satheer, berkata, ia perlu lebih jelas supaya perkara yang menimpa penduduk terbabit, tidak berulang.

Katanya, pampasan yang diterima oleh penduduk terlibat, perlu dinilai semula segera dengan jumlah munasabah.

“Paling munasabah bagi saya adalah RM1,500 satu kaki persegi dan ke atas. Kerajaan perlu bertindak segera agar penduduk tidak terus tertekan, membazir masa dan duit bayar peguam.

“Penduduk terkesan juga perlu diberikan kediaman baharu dengan segera kerana mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk warga emas,” katanya ketika sidang akhbar bersama penduduk, di sini, hari ini.

Sebagai pemilik tanah berdaftar jelasnya, penduduk boleh menggunakan kaedah undang-undang bagi menghalang sebarang tindakan pengusiran dilakukan sewenang-wenangnya.

“Nak halau, mereka kena dapatkan perintah mahkamah. Tambahan, penduduk memiliki tanah sah dan pemilik berdaftar Kampung Sungai Baru.

“Pemaju perlu dapatkan perintah mahkamah dulu sebelum boleh potong bekalan air dan elektrik atau sebagainya. Sekarang perintah pun tak ada tau-tau dah potong, itu tak adil,” tambahnya.

Katanya, pemaju ‘berani’ bertindak ke atas penduduk terbabit yang didakwa tidak mempunyai fahaman mengenai undang-undang.

“Andai kata nilai yang diberikan pemaju tidak munasabah, perkara ini adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, penduduk ada hak untuk cabar dan menyatakan bahawa pengambilan tanah ini melanggar Perlembagaan Persekutan maka ia perlu diketepikan,” jelasnya.

Terdahulu, Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masa tindakan untuk gerakkan rakyat diambil supaya kerajaan bertindak sewajarnya.

“Sebarang tindakan perlu dilakukan mengikut undang-undang jika ada kelompongan dan mahkamah juga pelru dirujuk.

“Apabila dapat aduan, kami turun padang beberapa kali menerusi siasatan ‘task force’ kami, didapati ia tidak menepati Akta Pengambilan Tanah 1960,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru diminta menyerahkan kembali projek tersebut kepada kerajaan untuk dibangunkan oleh pihak lain kerana sudah tertangguh sejak enam tahun lalu.

Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan di Kampung Sungai Baru boleh dilakukan oleh syarikat lain yang lebih berwibawa serta berkemampuan atau oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Pemaju sudah pindahkan hampir 200 penduduk dan sehingga hari ini, sudah enam tahun pindah tetapi tidak dapat balik unit (kediaman) mereka.

“Jadi saya nak pemaju yang sudah tak boleh buat kerana tiada kewangan, (sedangkan) kerajaan sudah beri sokongan, kalau tidak boleh teruskan termasuk bawa balik orang yang telah dipindahkan, maka saya cadangkan ‘surrender’ tanah ini kepada syarikat-syarikat atau agensi kerajaan yang lebih berwibawa untuk siapkan. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

PPIM GESA PINDA AKTA, BELA NASIB PENDUDUK KAMPUNG SUNGAI BARU

https://www.kosmo.com.my/2024/06/28/ppim-gesa-pinda-akta-bela-nasib-penduduk-kampung-sungai-baru/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL