Showing posts with label SUARA MERDEKA. Show all posts
Showing posts with label SUARA MERDEKA. Show all posts

Thursday, March 26, 2026

HARGA SAYUR DIJANGKA MELONJAK HINGGA 50% MINGGU DEPAN - SUARA MERDEKA - 25/03/2026

Rakyat Malaysia dijangka berdepan kenaikan harga sayur-sayuran seawal minggu hadapan susulan kesan konflik di Asia Barat yang mula menular ke pasaran tempatan.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, harga sayur berpotensi melonjak sehingga 50 peratus dalam tempoh terdekat sebelum mungkin stabil pada sekitar kenaikan 30 peratus.

Menurut beliau, peningkatan kos baja dan diesel menjadi faktor utama, memandangkan kedua-duanya penting bagi operasi mesin, generator serta pengangkutan hasil pertanian.

“Konflik di rantau Teluk, khususnya melibatkan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perdagangan minyak dunia, telah menyebabkan harga minyak global meningkat. Ini memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan termasuk sayur-sayuran,” katanya seperti dilaporkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan menggesa pengguna agar berbelanja secara bijak dalam menghadapi kenaikan harga yang dijangka berlaku.

Beliau turut menggalakkan isi rumah mengamalkan penanaman sendiri secara hidroponik melibatkan sayuran seperti bayam, kangkung dan sawi sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup.

“Pengguna mempunyai kuasa untuk mempengaruhi harga. Dengan membuat pilihan bijak dan membandingkan harga, peniaga tidak mempunyai pilihan selain menurunkan harga,” katanya.

Pada masa sama, cuaca panas melampau di dalam negara turut memburukkan keadaan apabila menjejaskan hasil pertanian tempatan.

Beberapa kawasan luar jelapang padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dilaporkan mengalami penurunan hasil akibat kekurangan sistem pengairan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan gelombang haba dengan suhu harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius di beberapa kawasan, khususnya di utara Semenanjung.

Laporan tempatan turut menyatakan petani, nelayan dan penduduk di Kedah serta Perlis mula menyuarakan kebimbangan apabila paras sungai dan sumber air semakin menyusut, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran makanan negara.

Artikel oleh: Suara Merdeka

HARGA SAYUR DIJANGKA MELONJAK HINGGA 50% MINGGU DEPAN

https://suaramerdeka.com.my/harga-sayur-dijangka-melonjak-hingga-50-minggu-depan/ 

Wednesday, November 4, 2020

6058) PPIM GESA SKMM AMBIL TINDAKAN BENDUNG TALIAN HARAM - SUARA MERDEKA - 04/11/2020

 


PENDEDAHAN yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Ismail mengenai jumlah talian prabayar berdaftar mungkin mencetuskan jenayah penipuan.

Sebanyak 1,377,862 talian prayabar didakwa didaftar secara meragukan bagi tempoh Januari 2018 hingga Oktober 2020.

Hal demikian dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah penipuan seperti ‘scam’ dalam talian yang menyebabkan kerugian sehingga berjuta ringgit.

Oleh demikian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa mengambil tindakan merungkai dan membendung gejala pendaftaran talian prabayar meragukan.

“Kami menyeru agar SKMM menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merancang dan memperhalusi tindakan-tindakan mereka untuk membendung perkara yang kurang sihat ini.

“Kami juga menggesa pihak berkuasa mengesan dan menahan pelaku-pelaku jenayah ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan termasuk pihak-pihak Telco yang menyediakan kemudahan kemudahan talian ini.”

Demikian kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan berhubung jumlah pendaftaran prabayar meragukan itu.

Kata kenyataan itu, satu tindakan siasatan sepatutnya sudahpun diambil oleh pihak berkuasa berkaitan melalui syarikat-syarikat telco yang membenarkan pendaftaran tersebut.

KKMM dan SKMM juga sepatutnya mempunyai jaringan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ini kerana kewujudan talian prayabar meragukan itu didakwa menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia sebagai pengguna.

“Daripada jumlah itu sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah.

“Ini bermakna dalam tempoh tersebut seluruh rakyat Malaysia telah terdedah dengan hampir sejuta talian yang meragukan dan boleh menjadi penyebab ke atas gejala-gejala scamming yang heboh baru baru ini.

“PPIM menggesa agar pihak berkaitan memberi penjelasan sepenuhnya mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftarkan, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini dilaksanakan?

“Pihak berkuasa khususnya SKMM seharusnya boleh membuat jangkaan akan kemungkinankemungkinan yang boleh berlaku dalam era teknologi maklumat sekarang,” tegasnya. 


Artikel oleh: Suara Merdeka

PPIM GESA SKMM AMBIL TINDAKAN BENDUNG TALIAN HARAM

https://suaramerdeka.com.my/ppim-gesa-skmm-ambil-tindakan-bendung-talian-haram/

Friday, May 22, 2020

5982) PROJEK ZERO HUNGER SASAR MEREKA TERCICIR DARI BPN - SUARA MERDEKA - 21/05/2020


WALAUPUN kerajaan telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19, tetapi tidak dinafikan masih ramai yang tercicir daripada kemudahan itu.

Sehubungan itu Projek Zero Hunger menyasarkan golongan berkenaan khususnya Kumpulan B40 memerlukan bantuan secara berterusan untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ada segelintir mereka tercicir daripada menerima bantuan yang diberikan oleh kerajaan malah kebanyakan mereka menggunakan wang BPN untuk membayar sewa rumah.


Malakat Mall mengajak syarikat – syarikat korporat untuk berkolaborasi dan turut sama menyumbang dalam Projek Zero Hunger yang diasaskan pusat beli belah itu bersama Yayasan Brainy Bunch bagi menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat mahupun penyertaan syarikat-syarikat lain untuk menyumbang secara berterusan kepada kepada golongan berkenaan.


Sementara itu Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan yang menyerahkan sumbangan tersebut menjelaskan, wang tersebut hasil sumbangan terkumpul oleh orang ramai untuk diinfakkan kepada yang memerlukan.

“Alhamdulillah apa yang dihulurkan hari ini adalah hasil kutipan bantuan oleh PPIM untuk disalurkan kepada projek Zero Hunger.

Terdapat sebanyak 100,000 keluarga lagi perlu dibantu. Platform bersedekah sentiasa terbuka, teruskan menyumbang mengambil keberkatan bulan Ramadan, “katanya.

Sesiapa yang ingin menderma untuk Projek Zero Hunger boleh masuk ke Sadaqah Market atau https://sadaqahmarket.com/


Artikel oleh: Suara Merdeka

PROJEK ZERO HUNGER SASAR MEREKA
TERCICIR DARI BPN

https://suaramerdeka.com.my/projek-zero-hunger-sasar-mereka-tercicir-dari-bpn/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL