Showing posts with label SEWA KENDERAAN. Show all posts
Showing posts with label SEWA KENDERAAN. Show all posts

Friday, November 15, 2013

987) HARIAN METRO 14/11/13-Dibelasah pengarah syarikat


Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling; Nur Hamizah Abd Kadir
  
Kuala Lumpur: "Saya bukan saja ditampar, malah dicekik, disepak dan dipijak sebanyak lima kali oleh enam kakitangan syarikat berkenaan.

"Ia berpunca daripada tindakan saya mahu membocorkan maklumat penyelewengan syarikat berkenaan yang terbukti menipu rakan kongsi selepas akauntan sendiri mendedahkan maklumat yang ada di dalam simpanan," kata salah seorang bekas pekerja syarikat sewa kenderaan yang mendakwa dipukul kakitangan syarikat sehingga menyebabkan kecederaan.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Shahrul, 19, berkata, kejadian bermula apabila dia masuk ke pejabat berkenaan selepas dipanggil kakitangan syarikat ketika sedang makan di gerai makan berhampiran.

"Mereka beri alasan ingin menyuruh saya menandatangani satu surat perjanjian berkenaan dengan notis berhenti kerja yang saya serahkan beberapa hari sebelum itu.

"Tetapi kemudian mereka mula menyoal saya macam-macam sebelum bertindak memukul saya," katanya yang bekerja di situ sejak enam bulan lalu

Katanya, dia ditampar pengarah syarikat terbabit selepas enggan bekerjasama sebelum dicekik dan disepak kakitangan lain termasuk suaminya yang juga pengurus di situ.

"Selepas saya jatuh ke lantai, mereka terus memijak saya berkali-kali sebelum seorang lagi rakan datang untuk menarik saya keluar," katanya.

Menurut Shahrul, dia disoal berulang kali oleh kakitangan berkenaan dan mereka bertindak demikian kerana takut semua penipuan serta penyelewengan syarikat didedahkan kepada umum.

"Saya ada semua bukti membabitkan penipuan mereka. Sebab itu mereka pukul saya dengan teruk untuk mengelakkan rahsia mereka terbongkar," katanya.

Bagaimanapun, Shahrul menegaskan, kejadian berkenaan tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk mendedahkan penipuan dan penyelewengan membabitkan dia dan 16 orang rakan lain seperti yang disiarkan akhbar ini, semalam.

Kelmarin, dia bersama rakan kongsi lain mengadu kes mereka ditipu pengarah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewa kenderaan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.


986) HARIAN METRO 13/11/13-Merana nak untung cepat


Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling; Nur Hamizah Abd Kadir

Kuala Lumpur: Seramai 17 lelaki kemungkinan diisytihar muflis kerana masing-masing menanggung ansuran bulanan beberapa kenderaan yang dibeli untuk disewakan kepada sebuah syarikat sewa kenderaan.

Sehingga kini mereka tidak mengetahui di mana semua kenderaan itu yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM4 juta berada serta digunakan oleh siapa.

Menerusi laman sosial Facebook, mereka mula menyedari ditipu pemilik syarikat itu yang menukar syarat dan terma perjanjian yang berat sebelah serta mengundang risiko bankrap kepada kumpulan pemuda berkenaan yang rata-rata berusia bawah 30 tahun.

Menurut jurucakap kumpulan terbabit, Firdaus Ayob, mereka diperkenalkan dengan perniagaan 'untung cepat' itu menerusi seorang kenalan yang mendakwa mampu menjana pulangan lumayan dan hanya perlu menyewakan kereta kepada orang ramai terutama pelajar universiti.

Mempunyai cawangan di 16 tempat berbeza termasuk Shah Alam, Puncak Alam, Serdang dan Tanjung Malim, Firdaus berkata, pada mulanya dia dijanjikan bayaran RM4,000 sebulan untuk empat kereta dibeli serentak menerusi rangkaian syarikat terbabit berharga antara RM49,000 hingga RM75,000 seunit, awal tahun ini.

"Selama empat bulan saya mendapat bayaran penuh, namun ia berubah sebaliknya apabila kami semua mendapat surat perjanjian perubahan terma menyebabkan saya terkejut kerana perlu membiayai ansuran walaupun kereta digunakan pihak lain," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan di sini, semalam.

Hadir sama 16 lagi mangsa penipuan syarikat itu yang membabitkan pembelian 53 unit kenderaan pelbagai jenis bagi tujuan usaha sama perniagaan berkenaan.

Firdaus berkata, dia dan rakan lain kini bingung memikirkan nasib mereka kerana perlu menjelaskan hutang selain saman yang diterima atas kesalahan penyewa dan pelbagai risiko lain termasuk kemalangan.

"Ada di antara mereka menerima lebih 10 saman yang dilakukan orang lain. Manakala tiga kereta milik mereka dikatakan hilang, dicuri dan sebagainya. Kami sudah beberapa kali adukan kepada pengurusan tapi mereka tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya minta kami patuh kepada perjanjian," katanya yang membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Sungai Besi, minggu lalu.

Nasib sama dikongsi seorang lagi rakannya, Azril, 30, yang kerugian RM5,000 setiap bulan selepas terpedaya dengan pendapatan lumayan yang dijanjikan selain menanggung 11 saman daripada tujuh unit kereta yang dibeli daripada syarikat berkenaan.

"Mula-mula saya beli sebuah kereta dulu dan selepas mendapat keuntungan selain melihat kejayaan syarikat yang sudah beroperasi sejak tujuh tahun, saya menambah lagi pembelian kereta sehingga menjadi tujuh unit.

"Saya mula sedar ditipu apabila beberapa bulan selepas itu hanya memperoleh keuntungan RM50 untuk setiap kenderaan selain dipaksa membayar kos baik pulih salah sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan berjumlah RM2,000," katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, siasatan pihaknya mendapati wujud unsur penipuan di dalam kes itu kerana tiada peraturan yang membenarkan kenderaan persendirian disewakan kepada orang lain.

Katanya, masalahnya ketika ini ialah kemungkinan kereta itu disalah guna pihak tertentu untuk melakukan jenayah serta kesalahan lain yang akhirnya mendatangkan mudarat kepada pemilik kenderaan.

"Satu lagi kita tidak menolak kemungkinan individu ini bersubahat dengan rangkaian gelap kerana dengan begitu mudah boleh meluluskan pinjaman beberapa kenderaan serentak walaupun ada pengadu kita mempunyai pendapatan kurang RM1,200 sebulan.


"PPIM akan membawa perkara ini kepada pihak berwajib bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa. Satu pengajaran kepada kita ialah, jangan terlalu inginkan kemewahan sehingga menggadai masa depan sendiri," katanya. 

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL