Showing posts with label PERKENAL SEMULA GST. Show all posts
Showing posts with label PERKENAL SEMULA GST. Show all posts

Friday, October 4, 2019

5353) 'STRUKTURKAN SEMULA KADAR JIKA PERKENAL SEMULA GST' - MALAYSIA KINI - 02/10/2019


Implikasi kepada rakyat, harga barang selain hasil kerajaan merupakan antara aspek penting yang perlu diteliti dan diberi perhatian dalam membuat keputusan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) wajar diperkenalkan semula.
Sebaik mana pun sistem percukaian itu, namun bagi pengguna usaha itu hanya gagal jika menjadi punca kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang membebankan sebagaimana pelaksanaan GST sebelum ini walaupun dapat meningkatkan hasil kerajaan.
Bagaimanapun, cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) semalam seperti dinyatakan oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih supaya GST diperkenalkan semula pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020, mungkin boleh dilihat dari aspek berbeza.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata adalah sukar untuk mengubah persepsi pengguna terhadap GST berdasarkan pengalaman sebelum ini yang menyaksikan cukai itu memberi impak negatif kepada rakyat sehingga membawa kepada pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Pada pandangan saya mungkin masalah (penolakan GST) berlaku kerana pelaksanaannya yang menyebabkan rakyat terbeban (dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan khususnya yang keperluan). Kadar enam peratus yang dikenakan dahulu adalah tinggi.
"Jika mahu GST diperkenalkan semula, kerajaan perlu menstrukturkan semula kadar itu supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, jika kerajaan dapat memberi jaminan sedemikian beserta penjelasan kukuh dan mengambil kira tahap kemampuan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), beliau yakin perkara itu dapat diterima baik oleh rakyat.
Beliau juga bersetuju dengan pendapat Dr Kamal Salih bahawa hasil pendapatan GST dapat membantu mengukuhkan kewangan kerajaan berbanding pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Mohd Yusof berkata antara kebaikan GST ialah pihak yang sepatutnya membayar cukai tidak boleh melepaskan diri berikutan proses pendaftaran yang dikawal selia oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"GST ada proses pendaftaran oleh pihak kastam dan syarikat tidak boleh mengelak daripada membayar cukai yang dikenakan. Kalau kita lihat hasil pendapatan daripada GST dan SST memang berbeza iaitu pendapatan SST (setahun) dalam RM22 billion manakala GST RM41 billion.
"Oleh itu, tidak dinafikan bahawa pendapatan negara akan lebih meningkat dengan pelaksanaan GST. Namun, sekiranya diperkenalkan semula, sebahagian daripada rakyat tidak akan bersetuju dan boleh menjejaskan kedudukan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berpendapat, GST wajar diperkenalkan semula dengan syarat ia tidak menambah bebanan rakyat dan terbukti memberi manfaat kepada negara.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh dan telus untuk memperkenalkan semula GST terutamanya mengenakan kadar lebih rendah berbanding enam peratus sebelum ini.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap peniaga yang terbukti mengambil kesempatan mengenakan caj lebih mahal jika GST dilaksanakan.
"Perkara ini yang membimbangkan rakyat. Contohnya jika kadar GST yang ditetapkan empat peratus tetapi peniaga naikkan harga sehingga enam peratus atas alasan GST dan ini pastinya menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.
- Bernama
Artikel oleh: Malaysia Kini
'STRUKTURKAN SEMULA KADAR JIKA PERKENAL SEMULA GST'


5351) STRUKTUR SEMULA GST KEPADA KADAR TIGA PERATUS - SINAR HARIAN - 03/10/2019



SHAH ALAM - Sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), penstrukturan semula pada kadar tiga peratus berbanding enam peratus sebelum ini perlu dilakukan bagi meringankan beban rakyat.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukan sahaja membebankan rakyat, malah merugikan negara.

"Maka tidak hairanlah sekiranya GST dicadang semula oleh kerajaan demi meningkatkan pembangunan ekonomi dalam negara.

"Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM ), Datuk Nadzim (Johan) dalam kenyataan media semalam berpendapat pelaksanaan GST sebenarnya memberi keuntungan kepada kerajaan selain menjana pembangunan ekonomi, malah jika dilaksanakan semula ia sangat baik untuk negara. Tetapi kadarnya haruslah berpatutan dan setara dengan kehidupan rakyat dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dominic berkata, beliau berharap jika benar kerajaan serius untuk melaksanakan cukai tersebut, ia perlu dikuatkuasakan dengan lebih baik demi pembangunan ekonomi yang lebih mapan.

"Lebih 143 buah negara maju kerana implikasi pelaksanaan GST. Sebagai contoh United Kingdom, Jepun, Korea dan sebagainya. Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus mempertimbangkan pelaksanaan semula GST pada negara.

"Kerajaan juga disarankan untuk menaikkan bantuan isi rumah daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kadar cukai pendapatan yang lebih minimum pada orang ramai supaya pelaksanaan GST tidak memberi tekanan kepada rakyat jika ia dilaksanakan semula," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

STRUKTUR SEMULA GST KEPADA KADAR TIGA PERATUS



PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL