Showing posts with label PENIPUAN SIBER. Show all posts
Showing posts with label PENIPUAN SIBER. Show all posts

Friday, January 3, 2014

1074) UTUSAN MALAYSIA 1/1/2014 18,000 PENGGUNA DAKWA TERTIPU



KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kira-kira 18,000 pengguna P1 Wimax didakwa tertipu dengan perkhidmatan jalur lebar syarikat itu selepas kegagalan memberikan kemudahan capaian internet terbaik.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dakwaan ini berikutan ramai pengguna melanggan perkhidmatan tersebut terpaksa berdepan tindakan disenaraihitamkan oleh agensi rujukan kredit, Credit Tip Of Service Sdn. Bhd. (CTOS).

Menurutnya, tindakan senarai hitam itu diambil sekiranya pelanggan tidak membayar langganan setiap bulan selepas ‘diikat’ menerusi kontrak selama dua tahun dengan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, syarikat jalur lebar itu juga seolah-olah sengaja mahu ‘lepas tangan’ apabila aduan demi aduan telah dibuat, namun tiada maklum balas diambil malah ada pengguna terpaksa menanggung hutang sehingga RM7,000.
“Berikutan aduan ini, kita mahu kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat ini yang cuba mengaut keuntungan dengan cara menipu dan menganiaya pengguna.

“Sekiranya pihak terbabit gagal memberi maklum balas kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) berhubung kegagalan mereka memberikan khidmat terbaik bersama alasan berhubung tindakan senarai hitam di CTOS selewat-lewatnya 2 Januari ini, kami bercadang mengambil tindakan undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, wakil pengguna khidmat jalur lebar itu, Mohd. Rizuani Mohd. Yahya mendakwa, pihak P1 Wimax melantik ejen pengutip hutang seperti ah long untuk memaksa pengguna melangsaikan bayaran walaupun mereka tidak lagi menggunakan perkhidmatan itu.

Dia mendakwa, syarikat itu juga mengeluarkan surat peguam palsu bertujuan menakut-nakutkan pengguna supaya menyelesaikan bayaran langganan yang tertangguh.

“Selepas kami mewujudkan kumpulan pengguna tertipu dalam laman sosial Facebook iaitu P1 Wimax Sucks, saya menerima surat tawaran untuk tidak dikenakan apa-apa denda kerana tidak lagi membuat penyambungan perkhidmatan dan mereka bersedia memulangkan semula pembayaran yang telah dibuat, tetapi dengan syarat menutup laman itu.

“Biarpun lebih tiga tahun kami berjuang dalam isu ini, namun kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang meyakinkan daripada syarikat itu. Kami tidak mahu pengguna lain turut tertipu dengan perkhidmatan ini yang diuar-uarkan dengan iklan ‘perkhidmatan jalur lebar terpantas’ sedangkan khidmatnya tidak seperti yang dijanjikan," katanya.

Dalam pada itu, seorang wakil P1 Wimax yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut sekadar mencatat komen dan aduan pengguna kerana beliau mendakwa telah dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Sebaliknya, wakil syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Izudeen meminta pengguna membuat aduan menerusi talian aduan mereka atau menghantar melalui e-mel biarpun kedua-dua saluran itu tidak memberi apa-apa manfaat kepada pengguna sebelum ini.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan maklum balas berhubung aduan pengguna itu kepada media pada Khamis ini.

Wednesday, August 29, 2012

615) METRO AHAD : Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber



Headline: Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber
Publication: MA
Date of publication: Aug 26, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 020


KUALA LUMPUR: "Judi Internet biasanya berselindung di sebalik pusat siber. Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati serta mengawasi pergerakan anak yang meminta kebenaran ke pusat siber," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengenai kegiatan judi siber yang semakin berleluasa.

Menurutnya, taktik pusat judi berselindung atas nama pusat siber menyebabkan ramai remaja terjerumus dalam kegiatan judi itu sehingga kerugian mencecah ribuan ringgit.

"Kebanyakan pusat judi siber menawarkan pertaruhan serendah RM1. Jadi remaja terbabit berjudi secara kecil-kecilan antara RM5 hingga RM10.

"Walaupun ada ketikanya mereka menang, kekerapan itu terlalu sedikit dan tanpa sedar, mereka sudah berbelanja ribuan ringgit," katanya.

Nadzim berkata, taktik pusat siber juga sangat licik berikutan tidak membayar wang kemenangan jika nilainya bawah RM100.

Disebabkan itu, katanya, remaja terbabit akan terus mencuba nasib untuk mendapatkan kemenangan melebihi RM100.

"Ini sebahagian taktik digunakan kerana tidak mahu membayar wang kemenangan walaupun menang RM10.

"Mahu tak mahu, mereka terpaksa melabur wang kemenangan yang ditukar kepada percubaan sebanyak 10 kali lagi," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut mengakui menerima aduan daripada ibu bapa mengenai anak mereka bermain judi secara on-line.

Katanya, walaupun kes berkenaan terpencil dan tidak membabitkan nilai besar, ia perlu diberi perhatian.

"Walaupun aduan kita terima membabitkan nilai kecil, kita berharap pemantauan terhadap remaja terbabit diberi perhatian serius.

"Ini kerana kita khuatir ia mendorong mereka mencuba judi dengan taruhan lebih besar. Lebih merisaukan, remaja terbabit mungkin mencuri dan merompak untuk memenuhi kehendak berjudi," katanya.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL