Showing posts with label MASJID TANAH. Show all posts
Showing posts with label MASJID TANAH. Show all posts

Wednesday, April 14, 2021

5540) KETUA MENTERI MELAKA SOKONG KUMPULAN MALAKAT, GEMBIRA MALAKAT MALL BEROPERASI DI MASJID TANAH - MALAKAT TRIBUNE - 10/04/2021

 


MASJID TANAH – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi sokongan penuh kepada Kumpulan Malakat untuk memperluaskan operasi di Melaka.

Sulaiman berkata, beliau juga akan memberi sokongan sekiranya Malakat Mall Masjid Tanah mahu beroperasi selama 24 jam sehari.

Bagaimanapun katanya, perkara itu juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya akan memberi sokongan sekiranya Kumpulan Malakat berhasrat untuk membuka cawangan Malakat Mall di seluruh Melaka pada masa akan datang.

“Saya juga akan menyokong jika Malakat Mall Masjid Tanah mahu beroperasi 24 jam. Namun, ia tertakluk kepada MKN, jika dibenarkan saya akan memberi sokongan.

Anak-anak yatim menerima sumbangan di Majlis Perasmian Malakat Mall Masjid Tanah

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak Kumpulan Malakat yang bertungkus lumus membangunkan sebuah ekosistem ekonomi baharu yang bebas daripada riba.

“Semua ini untuk meningkatkan ekonomi usahawan muslim. Walaupun sukar, Kumpulan Malakat tetap berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sulaiman berkata, beliau begitu beremosi ketika mendapat jemputan untuk merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah kerana ia sememangnya amat dinanti-nantikan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika berucap merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah.

“Menyebut sahaja nama majlis ini, saya sendiri benar-benar terasa umpama bangkitnya semangat dan roh perniagaan Melayu itu semakin subur.

“Mana tidaknya, diam tak diam, setelah sekian lama warga Masjid Tanah iaitu kawasan DUN saya sendiri menanti pembukaan Mall ini. Akhirnya saya sendiri berdiri untuk merasmikannya.

“Semenjak Malakat Mall Masjid Tanah ini dibuka pada 13 Mac yang lalu, saya dapati pasar raya ini menjadi tumpuan orang ramai berbelanja dan menjamu selera di restoran serta kiosk di sini,” katanya.

Selain itu katanya, beliau melihat Kumpulan Malakat semakin berkembang dengan kewujudan lebih banyak rangkaian pasar raya di seluruh negara melalui kempen dan galakan perniagaan.

“Saya difahamkan, Malakat Mall diwujudkan tanpa pinjaman riba. Ia ibarat Pasar Madinah yang memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk mereka dengan mudah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah.


“Saya ambil maklum, peranan besar yang dimainkan oleh Kumpulan Malakat dalam menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan dalam misi untuk membina sebuah ekosistem ekonomi Islam bebas riba.

“Saya amat bersyukur, pihak MARA dan Malakat Mall bersetuju mengadakan kerjasama strategik untuk menghidupkan kembali pasar raya yang telah lama terbengkalai ini (bangunan Malakat Mall Masjid Tanah). 

“Tentunya, dengan kerjasama antara kedua-dua pihak ini akan merubah wajah Malakat Mall Masjid Tanah menjadi salah sebuah mercu tanda di bandar Masjid Tanah,” katanya. 

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengucapkan terima kasih kepada Kumpulkan Malakat kerana memberi peluang kepada usahawan-usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.

Malakat Mall Masjid Tanah

“Saya difahamkan, pihak Kumpulan Malakat telah mula mendapatkan bekalan ayam dari sebuah ladang ternakan ayam di Air Limau dan bercadang 12 mendapatkan bekalan sayur-sayuran daripada petani di daerah ini serta telah memberi peluang kepada para usahawan IKS tempatan untuk mempamerkan produk-produk mereka di Malakat Mall.

“Usaha ini selari dengan lapan flagships yang terangkum di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) di mana flagships yang kelima memfokuskan ke arah Melaka Negeri Usahawan demi memperhebat kembali sektor pembangunan ekonomi Negeri Melaka,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

KETUA MENTERI MELAKA SOKONG KUMPULAN MALAKAT, GEMBIRA MALAKAT MALL BEROPERASI DI MASJID TANAH

Saturday, March 20, 2021

5490) KALAU TUNGGU BERSEDIA, SAMPAI BILA TAK TERLAKSANA - MALAKAT TRIBUNE - 13/03/2021

 


MASJID TANAH - Usaha membangunkan eko-sistem ekonomi Islam melalui pembukaan pusat beli-belah Malakat Mall tidak mungkin terlaksana sekiranya 'sikap tunggu sampai sempurna' menjadi pegangan pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim. 

Katanya, beliau tidak berpegang kepada prinsip perlu mencapai kesempurnaan sebelum memulakan sesuatu sebaliknya percaya sesuatu usaha yang baik itu perlu didahului dengan niat dan usaha yang berterusan. 

Mengulas mengenai pembukaan cawangan kedua Malakat Mall di sini, beliau mengaku pernah dikritik teruk semasa peringkat awal pembukaan cawangan di Cyberjaya. 

Bahkan katanya, selepas pembukaan pusat beli belah 3 tingkat itu, masih ramai yang membuat kecaman seolah-olah mahu melihat kegagalan usahanya. 

"Sebenarnya kalau ikutkan kuasa kita, tahun depan pun belum tentu (persediaan) siap, tapi kita putuskan untuk buka seperti di Cyberjaya dahulu. 

"Selebihnya kita serah kepada Allah, sebab tiada yang sempurna di dunia ini. Apa yang perlu kita usaha dan baiki kelemahan," katanya pada majlis pra pelancaran Malakat Mall di sini hari ini. 

Majlis pra pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah hari ini disempurnakan oleh Mohd. Fadzil bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat. 

Orang ramai mengaminkan doa dibacakan tokoh agama pada pra pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pengalaman membuka cawangan di Masjid Tanah tidak jauh berbeza dengan pembukaan Malakat Mall di Cyberjaya kerana pihaknya tidak pernah memiliki pengalaman dalam perniagaan pusat beli belah. 

Bagaimanapun katanya, tawaran untuk mengambill alih bangunan dua tingkat di Melaka Tengah yang sudah lama terbengkalai itu tidak wajar dilepaskan. 

"Semasa ditawarkan mengambil alih bangunan ini, walaupun tidak bersedia kita tetap terima sebab memikirkan peluang membangunkan ekonomi di sini. 

"Satu lagi sebab nama Malakat itu sendiri. Selain Melaka, kita juga menerima tawaran membuka mall di Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

"Alhamdulillah dengan usaha kita yang sedikit ini, Allah bagi kita jauh lebih hebat," katanya yang memilih tarikh hari sempena ulang tahun pembukaan Malakat Mall Cyberjaya. 

Bahkan katanya, berkat sokongan orang ramai dan doa-doa para ulama, pembukaan kedua-dua cawangan pusat beli belah itu juga 'bebas riba' kerana tidak menggunakan pinjaman bank. -MT 

Coach Fadzil meninjau pra pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah hari ini. 

Artikel oleh: Malakat Tribune

KALAU TUNGGU BERSEDIA, SAMPAI BILA TAK TERLAKSANA


Monday, March 15, 2021

5473) TOQQI SEBAK DENGAN PERJUANGAN MALAKAT MALL MASJID TANAH - MALAKAT TRIBUNE - 13/03/2021

 


MASJID TANAH - Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan sebak dan terkejut dengan pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Nadzim berkata, segala kejayaan Malakat Mall terbentuk daripada pengorbanan tinggi pejuang-pejuang ekonomi Islam demi meningkatkan martabat bangsa.

Beliau berkata, kejayaan itu juga hasil pertolongan Allah kepada hamba-hambanya yang berusaha sebaik mungkin dalam perjuangan yang luar biasa.

Seorang pelanggan menadahkan tangan berdoa agar Malakat Mall Masjid Tanah terus berjaya

"Saya serba salah...sukar nak bercakap, biasanya tidak macam ini. Terkejut sebenarnya apabila tengok keadaan semasa pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

"Banyak kawan-kawan saya kata Coach Fadzil (Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim) buat kerja 'gila', sangat berbaloi saya mencari orang sepertinya selama 60 tahun.

"Kalau kita tengok, jika nak buat pusat beli belah seperti ini pasti sukar. Sebenarnya masih ramai orang Melayu tidak berjaya walaupun punyai segalanya.

Mohd Fadzil Hashim dan Datuk Nadzim Johan bertanya sesuatu kepada pelanggan pada hari pertama pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah.

"Kita perlu akui, bukan mudah untuk capai kejayaan ini. Allah tolong mereka yang berusaha, mereka semua ini tidak tidur untuk capai apa yang ada sekarang.

"Ini luar biasa, Allah beri dan jadikan perniagaan ini sebagai perjuangan yang perlu kita buat dan sambut," katanya ketika berucap pada majlis pra pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat.

Majlis Pra Pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Menurut Nadzim, beliau berpendapat kejayaan yang dicapai Malakat Mall ialah datang dari manifestasi pengorbanan yang amat tinggi.

"Kita orang Melayu biasanya berkorban semasa hari raya 'korban' sahaja, sebenarnya kalau mahu berjaya tidak boleh lari daripada berkorban diri.

"Jika diikutkan, Mohd. fadzil tidak payah buat semua ini (berjuang dan berkorban untuk ekonomi Islam) tetapi, kerana mahu kembalikan hak dan maruah, beliau berkorban.

"Banyak perkara yang kita perlu buat untuk kembalikan hak dan maruah orang Islam, cabaran sangat luar biasa dengan pelbagai isu seperti penyakit dan sebagainya," katanya.


Dalam pada itu katanya, beliau amat bersyukur dengan pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah dan mengakui tidak boleh membuat perkara yang sama.

"Saya bersyukur, terima kasih...saya sendiri tiada upaya sebegini walaupun 25 tahun buat kerja bersama PPIM. Dalam bidang ini saya menyerah, tidak mampu," katanya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat

Sementara itu, Masridzi ketika berucap dalam majlis yang sama berkata, Melaka wajib memiliki cawangan Malakat Mall kerana nama pusat beli belah itu sendiri berasal dari nama Melaka.

"Kita bersama-sama kembalikan kegemilangan ekonomi Melaka...ramai orang boleh berniaga sebenarnya tetapi ada yang tidak berjaya kerana gagal menyatukan kekuatan," katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

TOQQI SEBAK DENGAN PERJUANGAN MALAKAT MALL MASJID TANAH

Saturday, March 13, 2021

5470) LEBIH 98 PERATUS PEKERJA MALAKAT MALL MASJID TANAH ANAK TEMPATAN - MALAKAT TRIBUNE - 13/03/2021

 

MASJID TANAH – Pembukaan pusat beli belah Malakat Mall di sini telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 70 anak tempatan di sekitar kawasan Masjid Tanah, sekali gus ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, lebih membanggakan apabila lebih 90 peratus pekerja merupakan tenaga muda yang berusia di bawah 30 tahun.

“Baru-baru ini ketika saya ke sini, saya dimaklumkan sebanyak 98 peratus pekerja ialah orang Masjid Tanah sendiri, dan kita ada lebih 70 pekerja yang mana semua anak Melaka.

“Anak-anak muda ini ialah 90 peratus adalah di bawah umur 30 tahun yng mana dengan perkembangan Malakat Mall di sini ia akan memberikan manfaat kepada masayarakat setempat. Ini yang kita nak, iaitu supaya masyarakat setempat dapat manfaat dahulu,” katanya kepada Malakat Tribune.

Hari ini merupakan hari pembukaan pusat beli belah Malakat Mall Masjid Tanah iaitu cawangan kedua Malakat Mall.

Malakat Mall Masjid Tanah

Lebih menarik pembukaan Malakat Mall di sini mengambil sempena hari ulang tahun pertama pembukaan Malakat Mall di Cyberjaya.

Mengulas lanjut, katanya, keberadaan Malakat Mall di kawasan tersebut ialah menggunakan konsep beli sama kita, jual sama kita dan bantu sama kita.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil meminta penduduk sekitar menyokong Malakat Mall dengan berpindah belanja ke pusat beli belah itu atau menjadi ahli Kelab Malakat.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menjadi pemilik bersama Malakat Mall dengan mendaftar sebagai ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).-MT

Artikel oleh: Malakat Tribune

LEBIH 98 PERATUS PEKERJA MALAKAT MALL MASJID TANAH ANAK TEMPATAN

https://www.malakattribunenews.com/2021/03/lebih-98-peratus-pekerja-malakat-mall-masjid-tanah-anak-tempatan/

Monday, July 27, 2020

6153) KoPPIM SASAR SEJUTA AHLI MENJELANG AKHIR TAHUN INI - BERNAMA - 25/07/2020


ALOR GAJAH, 25 Julai -- Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM) menyasarkan sejuta keahlian menjelang akhir tahun ini bagi menyokong ekonomi usahawan Islam dan melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif KoPPIM Mohd Fadzil Hashim berkata setakat ini, keahlian KoPPIM berjumlah kira-kira 24,000 orang dalam tempoh kurang enam bulan inisiatif itu diperkenal dan kempen secara besar-besaran sedang dilaksana bagi menarik lebih ramai penyertaan.
"Sasaran utama KoPPIM ialah untuk menyatukan sejuta ahli yang mencarum secara konsisten sebanyak RM100 sebulan bagi membolehkan KoPPIM mempunyai dana yang akan dilaburkan untuk memperkasa ekonomi umat Islam melalui pelaburan strategik.
"Ahli KoPPIM dijangka menerima pendapatan minimum RM5,000 sebulan manakala dividen antara lapan hingga 15 peratus, dan ia bukan sesuatu yang kita janjikan tetapi berdasarkan pengiraan yang telah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Program Ayuh Bangkit Masjid Tanah di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Shamsudin.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Malakat Mall berkata antara pelaburan yang dilakukan ialah pembukaan 100 pusat beli-belah Malakat Mall secara berperingkat di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata sebanyak 100,000 usahawan bumiputera juga dijangka terlibat dalam pengoperasian pusat beli-belah itu dalam tempoh tersebut dan cawangan kedua Malakat Mall di Masjid Tanah akan dibuka pada November depan selepas Cyberjaya pada Mac lepas.
"Kita juga mendapat tawaran membuka cawangan Malakat Mall di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Johor dan ia akan dipertimbang dan diteliti secara berperingkat.
“Keutamaan akan diberi kepada jenama produk atau makanan tempatan yang diusahakan usahawan bumiputera," katanya.
Malakat Mall merupakan pusat beli-belah yang menghimpunkan 100 peratus usahawan Muslim untuk berniaga di bawah satu bumbung sekali gus memberi peluang kepada pengguna Muslim menyatukan kuasa pembelian mereka secara berpusat.
Model perniagaan Malakat Mall mengguna pakai konsep pemilikan bersama melibatkan usahawan, koperasi dan komuniti yang akan memberi manfaat secara bersama.

Artikel oleh: Bernama 
KoPPIM SASAR SEJUTA AHLI MENJELANG AKHIR TAHUN INI

6151) MALAKAT MALL MASJID TANAH MAMPU PACU EKONOMI SETEMPAT - MALAKAT TRIBUNE - 25/07/2020


MASJUD TANAH - Pembukaan pusat beli belah BMF pertama di Malaysia iaitu Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka pada November ini dijangka dapat membuat lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pada masa sama, penduduk sekitar juga bakal memperoleh manfaat apabila berpeluang memperoleh purata pendapatan lebih tinggi sesuai dengan kos hidup semasa.

Beliau berkata, selain itu, mereka jumpa mampu menjana pendapatan secara pasif melalui dividen yang diperoleh apabila menyertai Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) .

"Tidak mustahil jika satu hari nanti produk tempatan di Masjid Tanah khususnya akan berada di rak-rak bukan sahaja di pusat beli belah Malakat Mall Masjid Tanah.

"Tetapi juga di semua cawangan Malakat Mall seluruh Malaysia dan juga pasaran global," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Ayuh Bangkit Masjid Tanah di sini hari ini.

Mas Ernieyati menyampaikan ucapan dalam program Ayuh Bangkit di Malakat Mall Masjid Tanah di sini hari ini.
  
Yang hadir sama, Pengerusi KoPPIM, Datuk Ndzim Johan dan Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim.

Mengulas lanjut, Mas Ernieyati turut berharap dengan pembukaan pusat beli belah BMF itu dapat  menggerakkan ekonomi bumiputera Islam dan KoPPIM secara tidak langsung.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil dan seluruh pasukan Malakat Mall yang membawa pusat beli belah itu ke Masjid Tanah.-MT


Artikel oleh: Malakat Tribune

MALAKAT MALL MASJID TANAH MAMPU PACU EKONOMI SETEMPAT

https://www.malakattribunenews.com/2020/07/malakat-mall-masjid-tanah-mampu-pacu-ekonomi-setempat/

Saturday, July 25, 2020

6150) AKTIVITI | PROGRAM AYUH BANGKIT MALAKAT MALL MASJID TANAH - PPIM - 25/07/2020

Ketua Aktivis PPIM yang juga Pengerusi KoPPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri program Ayuh Bangkit Masjid Tanah anjuran Malakat Mall di Malakat Mall Masjid Tanah, Melaka.


Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.






PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL