KUALA LUMPUR – Hampir dua dekad menunggu keadilan, seorang bekas pengusaha stesen minyak masih berharap agar wang hasil penjualan tanah miliknya bernilai RM6.2 juta yang didakwa lesap akibat penipuan diperolehi semula.
Zaidatul Sharifah Zainal Abidin, 57, mendakwa, dia kerugian selepas menjadi mangsa penipuan dalam urusan penjualan tanah bagi sebuah stesen minyak di Johor Bahru pada tahun 2007.
Katanya, semua urusan jual beli dilakukan mengikut prosedur melalui peguam dengan dokumen lengkap, namun wang hasil transaksi itu tidak pernah diterimanya sehingga kini.
“Saya sudah membuat dua laporan polis. Harapan saya hanya mahu mendapatkan semula hak saya,” katanya pada sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Menurut pesara tersebut, setelah menggunakan khidmat seramai 15 peguam bagi menyelesaikan kes berkenaan, ia masih gagal menemui titik penyelesaian.
Turut berkongsi nasib yang sama ialah seorang usahawan, Pan Shiqiao, 43, yang mendakwa kerugian RM2.3 juta selepas diperdaya dalam pelaburan tanah.
Beliau berkata, wang pelaburan dipindahkan kepada peguam mengikut perjanjian, namun individu terbabit menghilangkan diri, manakala tanah yang dijanjikan didakwa tidak boleh diperdagangkan kerana berada di bawah kawalan kerajaan.
Katanya, sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat berhubung kes itu, namun siasatan didakwa berjalan perlahan, manakala pertikaian membabitkan peguam pula diminta dibawa ke mahkamah sivil.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kes penipuan yang belum mencapai penyelesaian membuat mangsa terpaksa menunggu bertahun-tahun.
“Apabila kes dibiarkan terlalu lama, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, malah hilang mata pencarian dan keyakinan terhadap sistem keadilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Artikel oleh: Kosmo
TERTIPU URUSAN JUAL BELI TANAH, MERANA TANGGUNG RUGI RM6.2 JUTA
KUALA LUMPUR: Kes penipuan membabitkan urusan hartanah sebuah stesen minyak yang mengakibatkan kerugian RM6.2 juta sejak hampir dua dekad lalu menjadi antara kes yang didakwa masih belum memperoleh pembelaan walaupun laporan polis telah dibuat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kelewatan tindakan terhadap kes penipuan menyebabkan mangsa terus menanggung kerugian kewangan dan tekanan berpanjangan.
Katanya, ada mangsa yang menunggu sehingga berpuluh-puluh tahun tanpa sebarang penyelesaian walaupun telah mengemukakan bukti serta membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Apabila kes dibiarkan terlalu lama, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, malah hilang mata pencarian dan keyakinan terhadap sistem keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Nadzim berkata, PPIM berharap agensi penguat kuasa mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes penipuan yang telah lama tertangguh supaya mangsa dapat memperoleh pembelaan dan hak mereka dikembalikan secepat mungkin.
Salah seorang mangsa, Zaidatul Sharifah Zainal Abidin, 57, mendakwa, dia kerugian kira-kira RM6.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan dalam urusan penjualan tanah bagi sebuah stesen minyak di Johor Bahru pada 2007.
Katanya, segala urusan jual beli dilakukan melalui peguam dengan dokumen lengkap, namun wang hasil transaksi itu tidak pernah diterimanya.
“Saya sudah membuat dua laporan polis tetapi sehingga kini masih tiada tindakan.
“Harapan saya hanya mahu mendapatkan semula hak saya,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang hampir 20 tahun lalu, beliau turut mendapatkan khidmat kira-kira 15 peguam bagi menyelesaikan kes berkenaan, namun masih gagal.
Beliau yang pernah mengusahakan stesen minyak turut mendakwa kontraknya ditamatkan tanpa menerima surat penamatan rasmi daripada Petronas, sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.
Sementara itu, seorang usahawan, Pan Shiqiao, 43, mendakwa kerugian RM2.3 juta selepas diperdaya dalam pelaburan tanah yang didakwa melibatkan ahli keluarga jauhnya dari tanah besar China.
Katanya, wang pelaburan dipindahkan kepada peguam mengikut perjanjian, namun individu terbabit menghilangkan diri, manakala tanah yang dijanjikan didakwa tidak boleh diperdagangkan kerana berada di bawah kawalan kerajaan.
Beliau berkata, sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat berhubung kes itu, namun siasatan didakwa berjalan perlahan manakala pertikaian membabitkan peguam pula diminta dibawa ke mahkamah sivil.
KESAN penularan pandemik Covid-19, pasaran hartanah tempatan jatuh menjunam dan projek pembinaan turut terjejas.
Menyedari perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) baru-baru ini memperkenalkan beberapa insentif cukai bagi merancakkan semula pasaran hartanah tempatan termasuk memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC).
Melalui kempen itu, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.
Pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai kediaman berkenaan manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman yang berkuat kuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus oleh pihak pemaju.
Kedua, pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah diberikan kepada individu warga Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021. Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.
Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah, ketika tempoh program HOC, tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.
Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, pihaknya menyifatkan kerajaan mengambil langkah tepat untuk merancakkan kembali perkembangan sektor hartanah.
BEBERAPA insentif diperkenalkan untuk merancakkan pasaran hartanah.
"Inisiatif yang diambil kerajaan ini dapat membantu menyelesaikan masalah rumah yang tidak dapat dijual di negara ini berikutan pandemik.
"Langkah ini dapat menarik minat pembeli dengan syarat pemaju dapat nikmati pengecualian ini apabila memberi diskaun sebanyak 10 peratus terhadap hartanah.
"Bagaimanapun, kita harap pemaju tidak mengambil kesempatan menaikkan harga rumah untuk elakkan kerugian susulan diskaun yang ditetapkan ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, bagi pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah diberikan kepada individu warga Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman dilihat dapat menggalakkan transaksi pasaran rumah sekunder.
"Ini tentunya akan menggalakkan pertumbuhan transaksi dan membantu ejen atau perunding hartanah untuk membantu pihak penjual yang ingin mencairkan aset mereka atas sebab tertentu.
"Kita perlu faham ramai penjual dan pemilik terdesak untuk mencairkan aset bagi tangani impak Covid-19. Pengecualian cukai ini dapat memberi keuntungan kepada mereka sebagai modal memulakan perniagaan yang terjejas, katanya.
Menurutnya, menerusi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah, ia dilihat memberi peluang kepada pihak peminjam untuk mempunyai tunai yang lebih.
"Ini secara tidak langsung dapat membantu menggalakkan pertumbuhan transaksi sekali gus merancakkan pasaran hartanah, katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap inisiatif ini turut diperluaskan untuk membantu sektor komersial yang turut terjejas akibat pandemik ini.
"Perlu diakui ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sektor perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa. Situasi ini mengakibatkan ramai peniaga tidak dapat menjelaskan sewa bulanan dan ini memberi kesan kepada pemilik apabila tiada penyewa.
HARTANAH antara pelaburan masa depan.
"Menerusi inisiatif ini, ia dapat membantu pemilik sektor komersial yang terdesak mencairkan aset sedia ada, katanya.
Beliau turut memohon kerajaan memperhalusi inisiatif yang diperkenalkan bagi membantu sektor hartanah untuk jangka masa panjang.
"Pandemik ini memberi kesan yang dahsyat kepada semua sektor dan ia memerlukan penyelesaian jangka masa panjang secara menyeluruh.
"Umpamanya kediaman yang menggunakan konsep lifestyle yang mempunyai kemudahan kolam renang, gimnasium dan sebagainya bukan lagi satu keperluan.
"Oleh itu, kerajaan perlu membantu dengan menyediakan jalan penyelesaian jangka masa panjang untuk pastikan sektor hartanah diselamatkan, katanya.
Sementara itu, Presiden REHDA, Datuk Ir Soam Heng Choon dalam satu kenyataan berkata insentif berkenaan dapat membantu meringankan beban pembeli sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil maklum terhadap cadangan kami dalam sesi libat urus sebelum ini, katanya.
Bagi Pengarah Urusan IJM Land, Edward Chong pelbagai insentif kerajaan yang diumumkan dapat merangsang sektor hartanah dan ekonomi.
"Ini adalah berita baik bukan sahaja untuk sektor hartanah tetapi akan memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian nilai industri berkaitannya, katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meminta satu pasukan ditubuhkan untuk memastikan pemaju tidak mengambil kesempatan dengan langkah yang diperkenalkan kerajaan ini.
"Kita tidak mahu ada pemaju mengambil kesempatan susulan inisiatif diperkenalkan untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik ini.
"Oleh itu, saya cadangkan supaya akta turut diperkenalkan dan mengenakan hukuman berat termasuk senarai hitamkan pemaju yang didapati bersalah, katanya.