Showing posts with label ALHIJRAH ONLINE. Show all posts
Showing posts with label ALHIJRAH ONLINE. Show all posts

Thursday, April 16, 2020

5869) FASZZFOOD HANTAR PRODUK MAKANAN SYED BERMULA HARI INI - ALHIJRAH ONLINE - 15/04/2020

KUALA LUMPUR: Operator penghantar makanan halal, Faszz Technology (M) Sdn Bhd bekerjasama dengan Syed Food Industry untuk menghantar produk makanan Syed di sekitar Lembah Klang bermula hari ini.
Khidmat penghantaran makanan halal itu bermula jam 10 pagi hingga 7 petang setiap hari membabitkan 30 penghantar makanan FaszzFood, meliputi Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Ampang.
Pengasas Faszz Technology, Datuk Ishak Mohd Ishtiaq berkata FaszzFood adalah satu-satunya khidmat penghantaran makanan halal diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, khidmat disediakan sejajar dengan garis panduan Halalan-Toyyiban dikeluarkan JAKIM.
“Kita beri jaminan khidmat diberikan rider kami mematuhi garis panduan dari segi keselamatan makanan dan kebersihan selain menepati standard tempoh penghantaran.
“Faktor ini amatlah penting dalam situasi mencabar ketika ini dan akan diterima baik pelanggan kami, menjurus kepada kerjasama dengan Syed Food Industry,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pesanan bagi khidmat penghantaran FaszzFood boleh dibuat dengan menelefon atau Whatsapp di talian +6017 626 8289 mengikut menu disediakan.
Portal one-stop halal http://www.faszzfood.com boleh diakses bermula 20 April depan.
Syed Food Industry menyediakan pelbagai juadah makanan pilihan rakyat Malaysia, khususnya nasi Bukhara Briyani sejak lebih 30 tahun lalu di negara ini.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula menyifatkan pelancaran khidmat penghantaran makanan halal itu selari dengan kedatangan bulan Ramadan dan Syawal selain penting untuk orang ramai yang kini berdepan dengan COVID-19. — AlHijrah Online

Artikel oleh: AlHijrah Online
FASZZFOOD HANTAR PRODUK MAKANAN SYED BERMULA HARI INI

Friday, October 11, 2019

5380) MEKANISME SEMAKAN DALAM TALIAN ATASI PENIPUAN UMRAH: PPIM - ALHIJRAH ONLINE - 10/10/2019


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak kerajaan mewujudkan mekanisme khas yang membolehkan bakal jemaah menyemak status syarikat pengendali umrah dan status visa umrah dalam talian.
Cadangan itu disuarakan ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan bagi mengatasi masalah penipuan umrah yang terus berleluasa di negara ini.
Katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan peningkatan kes dilaporkan dari tahun ke tahun itu, membuktikan kedegilan pihak tidak bertanggungjawab menipu orang ramai.
“Penipuan ini bukan sehari dua, kita harap pihak kerajaan akan memantau kes penipuan umrah ini dengan lebih dekat.
“Kita rasa perlu ada mekanisme semakan dalam talian, untuk semak siapa-siapa yang pergi umrah dengan butiran terperinci (pengendali umrah, visa dan maklumat berkaitan) bagi atasi masalah ini.
“Ia perlu dilakukan dengan segera,” katanya ketika diminta mengulas laporan khas penipuan umrah Berita AlHijrah kelmarin.
Statistik terkini PDRM berkaitan penipuan pakej umrah dan ziarah yang diperoleh AlHijrah Online menunjukkan 311 kes penipuan membabitkan kerugian RM10.8 juta dicatatkan dari 2014 hingga 2018.
Jika diteliti, trend penipuan umrah adalah semakin parah apabila mencatat peningkatan daripada 64 kes pada 2014 kepada 104 kes pada 2018.
Statistik sama turut menunjukkan 38 kes dengan nilai kerugian RM849,980 direkodkan bagi enam bulan pertama 2019.
Situasi ini amat membimbangkan selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memansuhkan Lesen Khas Umrah (LKU) pada 1 September lalu bagi membolehkan lebih ramai ejen mengendalikan pakej umrah dengan memberi kelonggaran kepada syarat lesen khas itu.
Laporan khas AlHijrah Online yang turut menemubual tiga mangsa penipuan umrah membabitkan syarikat dan individu bergelar “dato” yang menawarkan pakej umrah serendah RM1,500 kepada 250 penduduk PPR Kerinchi di Lembah Pantai.
Mangsa sepatutnya diterbangkan ke Tanah Suci pada Oktober tahun lalu, sebaliknya mereka ditipu dan tidak ke Makkah sehingga ke hari ini.
“Memang orang kita mudah ditipu. (Mereka yang menipu) licik dengan guna modus operandi bawa jemaah jumlah kecil dahulu.
“Kumpulan awal akan pergi dulu tapi kumpulan lepas itu tipu. Mereka memang rancang tipu untuk lima tahun akan datang,” kata Nadzim menegaskan ramai menjadi mangsa kerana bayaran murah selain “diyakinkan” dengan kumpulan terdahulu yang dibawa ke Makkah.
Menurut seorang mangsa yang bergelar “haji”, kumpulan pertama hanya membayar RM500 pada 2015 dan diterbangkan ke Makkah untuk ibadah umrah.
Ia diikuti kumpulan kedua setahun berikutnya dengan bayaran RM1,000 setiap jemaah dan bayaran RM3,800 pada 2017.
Namun ketika trip pada tahun lalu (2018), pakej umrah itu dibatalkan tanpa sebarang sebab dengan sekurang-kurangnya 250 mangsa dari PPR Kerinchi ditipu.
“Ramai lagi mangsa yang kena tipu bukan hanya di PPR Kerinchi, di kawasan lain di Lembah Pantai ramai kena tipu dari golongan pesara, ibu tunggal, surirumah dan warga emas,” katanya enggan dinamakan atas faktor keselamatan.
Ditanya mengenai desas desus Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang mungkin dibubarkan, Nadzim yang mendengar berita sama berkata, beliau mahu pihak terbabit menjelaskan sebab tindakan itu diambil.
“Saya ada dengar khabar ini (MKSU) mungkin dibubarkan. Jika benar ia langkah ke belakang dalam menangani penipuan umrah. Ia akan buka ruang kepada lebih banyak penipuan,” katanya. – AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Artikel oleh: Alhijrah Online
MEKANISME SEMAKAN DALAM TALIAN ATASI PENIPUAN UMRAH: PPIM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL