Saturday, September 21, 2024

PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL DENGAN GISBH - HARIAN METRO - 21/09/2024

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan pihaknya bersekongkol melindungi ahli kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan turut mengamalkan ajaran sesat.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan menegaskan, persatuan itu hanya bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas kapasiti menyokong usaha mereka meningkatkan jumlah produk halal buatan Islam untuk pengguna di Malaysia.

"Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan ini yang kini sedang tular.

"PPIM tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau bertentangan dengan ajaran Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat laporan yang tidak tepat mengenai pendirian yang diambil PPIM, banyak perkara yang ditularkan di media sosial tidak tepat dan terdapat juga cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang berlangsung.

"PPIM fokus kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain.

"Mengenai isu yang sedang tular susulan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini, PPIM berharap siasatan terperinci dijalankan supaya pihak yang bersalah dihukum manakala mereka yang dianiaya terutamanya kanak-kanak yang dikatakan menjadi mangsa eksploitasi dan jenayah seksual perlu dilindungi serta dibantu untuk masa depan yang lebih baik.

"PPIM menegaskan tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram dan lain-lain sehinggalah perkara itu didedahkan baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya meminta pihak lain jangan memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan persatuan itu dengan isu yang tidak berkaitan.

"Kami bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian serta mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik profil tanpa identiti di media sosial.

"PPIM juga memandang serius budaya buli siber yang semakin melarat dan percaya pihak berkuasa juga sudah tidak dapat mengawalnya," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL DENGAN GISBH

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1136042/ppim-nafi-dakwaan-bersekongkol-dengan-gisbh

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...